Tuesday, October 21, 2008

TELUNJUK LURUS, KELINGKING JANGAN MENGAIT - 1


Hari ini sudah 21 Oktober 2008. Ertinya sudah lebih lebih seminggu Persidangan Agung Tahunan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM). Sebenarnya tidak ada perkara pelik sepanjang persidangan tersebut melainkan seperti persidangan sebelumnya yang melibatkan pemilihan kepimpinan parti.

Dr.Koh Tsu Koon telah rasmi dinobatkan sebagai Presiden parti yang sebelum ini hanya sebagai pemangku. Ketua Wanita kekal orang lama YB Datuk Tan Lian Hoe, Timbalan Menteri Penerangan. Dengan kata lain, ada ganti sana, tukar sini. Adatlah! Namanya juga bertanding. Ada yang menang ada yang kalah.

Walau bagaimana pun, Penulis angkat topi dan syabas kepada yang menang dan syabas juga kepada yang tidak menang. Yang menang tidak menang semuanya dan yang kalah tidak kalah semuanya. Itu hakikat!

Namun, dalam ruang ini Penulis ingin berkongsi luahan perasaan yang amat dukacita terhadap ucapan Ketua Wanitanya YB Datuk Tan Lian Hoe pada Persidangan Wanita dan Pemuda pada 10 Oktober. Itu pun setelah Penulis baca teks ucapan yang dikirimkan oleh seorang kawan.

Setelah dua kali baca, Penulis masih meragui isi kandungan teks tersebut. Benarkah ianya salinan dari teks asal Datuk Tan? Atau ia sudah dimodifikasi oleh orang yang memang suka mempolemikkan perkara-perkara yang tertulis dalam teks tersebut?

Apabila dirujuk di sana sini, akhirnya memang itulah teks ucapan Ketua Wanita Gerakan!

Walaupun teks tersebut hanya ada 16 perenggan, namun hanya perenggan pertama sahaja yang normal. Perenggan lain, semua berisi racun berbisa! Olahan bahasanya indah. Mungkin sesuai dengan beliau seorang lulusan Bahasa Melayu dari universiti tempatan.

Kalaulah ruang ini besar, ingin rasanya Penulis muatkan keseluruhan teks tersebut yang berukuran 3 helai lebih (kertas A4). Namun demikian, cukup rasanya Penulis ambil intipati teks dan beri komentar di bawahnya di dalam beberapa siri penulisan blog:-

Perenggan 2:

Pilihanraya Umum ke-12 mencatatkan sejarah buat BN dan parti Gerakan. BN hanya mampu membentuk kerajaan dengan majoriti mudah kerana gagal mendapat majoriti dua per tiga seperti Pilihanraya Umum (PRU) sebelum ini. Malah, empat buah negeri kecundang dan terlepas ke tangan pembangkang dan Kelantan terus berada di bawah kekuasaan PAS. Gerakan kalah teruk.

Komentar 1:

Majoriti mudah tersebut adalah 140 kerusi daripada 222 semua kerusi Parlimen. Namun demikian, berikut adalah pecahan mengikut parti dalam komponen:-

Umno : 79
MCA : 15
Gerakan : 2 (termasuk Datuk Tan Lian Hoe)
MIC : 3
PPP : 0
Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) : 14
Sarawak United People's Party (SUPP) : 6
Sabah Progressive Patty (SAPP) : 2
Parti Bersatu Sabah (PBS) : 3
Liberal Democratic Party : 1
Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) : 1
UPKO : 4
Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) : 4
Sarawak People's Party (PRS) : 6

Melalui data di atas, Gerakan hanya menang 2 kerusi. Malah negeri Pulau Pinang yang diperintah oleh BN di bawah teraju Gerakan tersungkur di tangan DAP. Ertinya, keyakinan rakyat (khususnya masyarakat Cina) terhadap Gerakan merosot jauh. Persoalannya, adakah kemorosotan ini nak ditudingkan jari kepada Umno? Demikian juga dengan komponen parti lain yang turut menerima nasib sepertimana Gerakan. Seharusnya kita muhasabah, di manakah salah silap kita masing-masing?

Komentar 2:

Kegagalan BN mendapat majoriti 2/3 bukanlah perkara luar biasa kepada mana-mana kerajaan yang memerintah di dunia ini. Kelebihan 58 undi sebenarnya sudah dikira kuat. Janganlah 2/3 itu nak dijadikan isu besar sehingga Datuk Tan tega menuding jari seolah-olah angkara Umno. Seharusnya loyaliti dan sifat setiakawan ahli Umno tidak dipersoalkan. Datuk Tan sendiri bertanding di kawasan yang majoritinya adalah orang Melayu dan penyokong setia Umno/BN (lebih 67% Melayu, Cina 20%, India 5%, Lain-lain 8%). Dia seharusnya bersyukur. Kalaulah beliau bertanding di kawasan bukan majoriti Melayu, beliau juga mungkin tersungkur. Kempunanlah untuk jadi Timbalan Menteri! Malah bukan itu saja, nal jadi Ketua Wanita Gerakan pun belum tentu!

Perenggan 3:

Sejarah pahit ini amat sukar ditelan tetapi diperhalusi untuk mencari punca kekalahan teruk ini. Wajar sekali kita ahli-ahli Gerakan mengakui kelemahan-kelemahan kita yang dianggap penakut, tidak berani bersuara dengan lantang dalam menyarakan isi hati dan suara rakyat atas prinsip setiakawan dalam BN. Kita dianggap begitu lemah dan tidak boleh berperanan dalam mengubah BN dan dasar kerajaan kerana duduk di bawah telunjuk Umno, diherdik sesuka hati oleh ahli dan pemimpin Umno. Kita terus dibidas, dikelar, dipijak-pijak dan dihina sedemikian rupa oleh rakan-rakan dalam BN. Inikah semangat setiakawan yang kita laung-laungkan dalam BN.

Komentar 3:

Ungkapan Datuk Tan seperti perenggan di atas dikirakan 'keterlaluan' terhadap seorang 'rakan' dan juga 'abang'. Sangat keterlaluan !! Sebenarnya siapa yang menganggap bahawa Gerakan lemah? Umno ataupun parti rasis DAP? Atau lain-lain parti dalam BN?

Tetapi dalam ayat berikutnya, jelas maksud Tan adalah Umno. Persoalannya, bilakah ada mana-mana insiden pemimpin Gerakan diherdik sesuka hati oleh ahli dan pemimpin Umno? Siapakah dia tukang herdik tu?

Dibidas, dikelar, dipijak-pijak dan dihina sedemikian rupa oleh rakan-rakan dalam BN. Rakan mana yang kelar dan pijak tu?

Tan tidak seharusnya bermain dengan sentimen dan emosi ahli Gerakan. Bila pernah ahli Gerakan dikelar dan dipijak? Sebagai seorang Timbalan Menteri yang tau berbahasa, Tan tidak sewajarnya menggunakan perkataan sedahsyat itu. Bagi orang yang berusia lebih dari usia Tan akan terbayang kejadian berdarah 13 Mei 1969. Kejadian yang tercetus gara-gara permainan sentimen dan emosi selepas keputusan PRU pada 10 Mei 1969. Tercatat dalam http://ms.wikipedia.org/wiki/Peristiwa_1969 (Ensiklopedia Bebas) bahawa ...

"Sebab terjadinya Peristiwa 13 Mei 1969 adalah perarakan kemenangan pihak pembangkang. Penyokong-penyokong Parti Gerakan telah mengutuk dan menghina orang-orang Melayu semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur."

"Peristiwa ini berlaku berikutan pengumuman keputusan Pilihanraya Umum pada 10 Mei 1969. Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan telah menang besar di kawasan Batu, Selangor. Beliau minta kebenaran polis untuk berarak meraikan kemenangan parti tersebut di Selangor yang menyaksikan 50:50 di Selangor. Perarakan tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan hingga ke Jalan Campbell dan Jalan Hale dan menuju ke Kampung Baru. Sedangkan di Kampung Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu yang menjadi kubu UMNO, berasa terancam dengan kemenangan pihak pembangkang. Di sini letaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Harun Idris."

"Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan. Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan menyapu ('menyingkir') orang-orang Melayu ke laut. Dalam masyarakat Melayu, penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial). Ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan."

Tak terfikirkah oleh Tan kesan dan akibat permainan sentimen dan emosi ahli Gerakan yang boleh membakar semangat dan tertanam sifat kebencian di kalangan ahlinya? Sifat kebencian yang akan berkesudahan dengan 'ledakan' yang menghancurkan rakyat dan negara yang telah sama-sama dibina sehingga ke hari ini. Ledakan yang tidak akan menguntungkan sesiapa pun! Atau Tan tidak baca sejarah? Atau juga Tan terlalu kemaruk berpolitik sehingga lupa diri?

Terfikirkah Tan bahawa kata-katanya itu sangat mengguris hati dan perasaan orang Umno dan orang Melayu yang memenangkan beliau sebagai ahli Parlimen. Tak malukah muka Tan apabila balik ke kawasan parlimennya di Grik akan bertemu dengan orang yang telah dilukai hati mereka? Atau Tan sudah tidak ada lagi perasaan malu?

NGUPINGTRUS : Sangat tidak senang dengan orang yang suka bermain kata-kata. Tok Guru kata 'Lidah itu lebih tajam dari mata pedang'.

[Akan bersambung dengan Telunjuk lurus, kelingking jangan mengait - 2]

1 comment:

zenalUTK said...

Setuju sangat dengan ngupingtrus kerana sekaranag ni parti komponen dalam BN sekarang ni telah berani bersuara seperti baru2 ini ucapan calon naib presiden MCA yang mahukan kerusi timbalan presiden BN dibuat satu lagi untuk tempat MCA. Ini adalah amat tidak patut sekali kerana ape sangat lah nak direbutkan kerusi itu kalau untuk berjuan demi rakyat. cukup lah dengan kerusi yang ader.