Saturday, October 8, 2011

Yusof Qaradawi: Hukum berjabat tangan dengan wanita



Catatan: Tulisan ini diambil secara total daripada "warisan-semasa.blogspot.com" dengan kebenaran pemilik blog tersebut Ustaz Shamsul Muda.

Hukum berjabat tangan dengan wanita, pemansuhan hukuman rejam : Qaradhawi dan Abu Zuhrah sembunyi fatwa!

Qaradhawi menyembunyikan sesetengah fatwa beliau selama beberapa tahun!.
Imam Abu Zuhrah pula menyembunyikan fatwa beliau berkenaan hukuman rejam ke atas penzina yang muhsin (yang telah berkahwin) selama 20 tahun!

Ini didedahkan sendiri oleh al-‘Allamah Yusuf al-Qaradhawi, pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, dalam satu nadwah (seminar) di Doha, Qatar.

Bagi yang membaca karya-karya Qaradhawi, mereka arif tentang pandangan beliau berhubung hukum berjabat tangan antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim.
Qaradhawi tidak sependapat dengan jumhur (majoriti) ulama dalam soal ini.

Bagi jumhur ulama, wanita tidak dibenarkan berjabat tangan dengan lelaki bukan muhrim. Begitu juga sebaliknya.

Kecualilah kalau berjabat tangan dengan lelaki atau wanita yang sudah tua atau dengan kanak-kanak kecil. Jumhur ulama membolehkannya.

Mengapa perkara ini tidak dibolehkan?.
Sebab ditegah berjabat tangan dengan bukan muhrim

Jawapan mudahnya begini...

Ini adalah soal etika. Soal protokol seorang Islam. Sama seperti masuk ke parlimen dengan baju yang tidak berkolar. Mengapa ia tidak dibolehkan?.
Mencemar kemuliaan institusi parlimen kah? Atau biadab kah masuk parlimen dengan baju tidak berkolar?
Tidak. Ini soal etika. Begitu juga soal berjabat tangan dengan orang bukan muhrim. Ini jawapan mudah.

Jawapan yang lebih ilmiah begini...

Islam datang kerana hendak menjaga lima perkara asas kehidupan manusia. Agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Semua agama memelihara dan menjaga lima teras ini.
Antara cara menjaga keturunan ialah dengan menghalang penzinaan. Bukan sahaja zina yang dihalang. Semua perkara yang membawa kepada zina, turut ditegah.

Sama seperti jenayah bunuh.

Bukan membunuh sahaja yang ditegah. Menyimpan pistol pun turut dikenakan hukuman berat. Walaupun sekadar simpan dalam almari, ia tetap salah, kerana ia boleh membawa kepada jenayah bunuh.

Demikianlah halnya berjabat tangan. Berjabat tangan antara lelaki dan wanita (terutama yang muda) boleh merangsang nafsu. Nafsu bila sudah terangsang, akan ’menunggang’ manusia kepada zina.

Dengan sebab itulah, dibolehkan berjabat tangan dengan lelaki atau wanita tua. Sebab nafsu kebiasaannya tidak terangsang bila bersentuhan dengan lelaki atau wanita tua.
Inilah falsafah di sebalik tegahan berjabat tangan antara lelaki dan wanita bukan muhrim. Ia ditegah bukan kerana ’rasa tidak percaya’ kepada orang yang bukan muhrim.
”Ah, aku berjabat tangan dengan wanita, tak terasa apa-apa pun”, dakwa seorang lelaki.

Kata-kata seperti ini tidak boleh diterima. Ia sama dengan kata-kata mat rempit bila ditegah memandu laju kerana menyebabkan kemalangan, ”ah, dah bertahun aku merempit laju, tak kemalangan pun!”.

Prinsipnya, sesuatu yang berpotensi membawa kepada sesuatu yang ditegah atau bahaya, ia mesti ditegah meskipun bahaya belum berlaku. Begitu juga soal berjabat tangan dengan bukan muhrim ini.

Jika begitulah falsafahnya, tidak wajar sama sekali dianggap kolot orang yang tidak mahu berjabat tangan dengan bukan muhrim. Ini kerana, keengganan mereka berjabat tangan dengan bukan muhrim ada falsafah dan pemikirannya yang tersendiri.
Kalau kita masih mahu mengatakannya kolot, maka kita kena buktikan bahawa ’bersentuhan antara lelaki dan wanita boleh membangkitkan nafsu’, adalah kepercayaan kolot.

Hendaklah dibuktikan kaedah ’sesuatu yang berpotensi membawa kepada sesuatu yang ditegah atau bahaya, ia mesti ditegah meskipun bahaya belum berlaku’, adalah kaedah kolot.

Jika falsafah, pemikiran dan kaedah yang dinyatakan ini berjaya dibuktikan sebagai kolot dan tidak tepat, barulah kita boleh mengatakan ’tidak berjabat tangan dengan bukan muhrim’ sebagai kolot.

Perkara ini disebut bagi memupuk rasa hormat kepada pendapat dan pegangan orang lain.

Kalau kita boleh hormat tegahan memakai baju tidak berkolar dalam parlimen, walaupun harganya ratusan ringgit, mengapa kita tidak boleh hormat pegangan yang bersandarkan pendapat jumhur ulama?

Pandangan Qaradhawi

Apa pula pandangan Qaradhawi?.
Pada beliau, diharuskan berjabat tangan dengan bukan muhrim dengan dua syarat.
Pertama, adanya keperluan. Kedua, aman daripada fitnah.
Ia dibolehkan kerana beliau mendapati hadis yang menegah lelaki menyentuh wanita (termasuk berjabat tangan) tidak terbukti kesahihannya.
Beliau juga berdalilkan dengan hadis yang diriwayatkan Anas bin Malik r.a bahawa ”mana-mana hamba wanita di Madinah boleh saja memegang tangan Nabi s.a.w dan memimpin tangan baginda kemana saja yang dikehendakinya”(Hadis sahih riwayat Bukhari).

Selain menunjukkan sikap tawaduk Nabi s.a.w, hadis ini juga menunjukkan bersentuhan tangan antara lelaki dan wanita bukan muhrim, diharuskan jika tidak disertai nafsu.
Fatwa keharusan berjabat tangan dengan bukan muhrim ini, beliau sembunyikan selama beberapa tahun bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai terhadap beliau.
Beliau juga mengatakan, ramai ulama masa kini bimbang untuk mendedahkan kepada awam fatwa-fatwa mereka yang bercanggah dengan pandangan dan pegangan umum masyarakat.
Beliau mendedahkan, beliau tidak berani mendedahkan fatwa ini selama beberapa tahun lamanya. Beliau kemudiannya menyiarkannya dalam bukunya, Fatawa Mu’asirah, juzuk kedua.

Rupa-rupanya, bukan beliau sahaja yang menyembunyikan fatwa-fatwa tertentu. Selain beliau, jelas Qaradhawi, al-Imam Abu Zuhrah, ulama besar al-Azhar, juga berbuat demikian.

Abu Zuhrah dan pemansuhan hukuman rejam ke atas penzina
Abu Zuhrah menyembunyikan fatwanya selama 20 tahun!
Pada pandangan Abu Zuhrah, hukuman rejam sampai mati ke atas penzina yang muhsin berasal daripada ajaran agama Yahudi. Ia diterima oleh Rasulullah s.a.w pada peringkat awal.

Namun, hukuman ini kemudiannya dimansuhkan apabila turunnya ayat dalam surah an-Nur yang menjatuhkan hukuman sebat ke atas penzina.
Ertinya, hukuman rejam itu terbatal. Hukum yang diguna pakai ialah hukuman sebat, tidak kira penzina itu muhsin atau tidak.
Imam Abu Zuhrah, cerita Qaradhawi, menyembunyikan pendapat beliau ini selama 20 tahun.

Selepas 20 tahun, barulah beliau menyatakannya. Itu pun di hadapan para ulama yang berkepakaran, antara mereka ialah Syeikh Mustaffa Zarqa’, Dr. Subhi Soleh, Dr. Husain Hamid Hisan, dalam satu seminar berkenaan perundangan Islam di Libya pada tahun 1972.

Rujuk : http://www.onislam.net/arabic/madarik/culture-ideas/121932-2009-12-20%2015-43-56.html

Sebenarnya, tindakan menyembunyikan sesuatu pandangan atau fatwa kerana bimbang kekeliruan dan kekecohan dalam masyarakat, ada sandarannya dalam syarak.
Imam Bukhari meriwayatkan, Nabi s.a.w berkata kepada Aisyah r.a, “Wahai Aisyah, jika tidak [kerana] kaum mu baru memeluk Islam, nescaya aku [akan] robohkan kaabah dan membuat dua pintu [pada kaabah]; satu pintu [untuk] manusia masuk dan satu pintu [untuk] mereka keluar”.

Nabi s.a.w tidak melakukan apa yang dinyatakannya kerana bimbang kaum Quraisy yang baru memeluk Islam-yang sangat memuliakan kaabah- salah sangka.
Daripada hadis ini dan hadis-hadis yang lain, diasaskan kaedah ‘meninggalkan sesuatu demi mengelakkan kekacauan atau kekeliruan’.

NGUPINGTRUS: Hendaknya janganlah ada di kalangan kita yang terus menghukum mana-mana lelaki yang berjabat tangan dengan wanita bukan muhrim. Fahamilah keadaan pada waktu itu.

Wednesday, October 5, 2011

SEBAB PULUT SANTAN BINASA


Kalau nak baca tulisan ni, kena baca mengikut rentak lagu Allahyarham TS P.Ramlee "Queen Control"

Dengar-dengarlah tuan, ini kisah seorang blogger;
Kerna mulut celupar, dia disaman seorang menteri;
Mau dedah di sana, mau juga dedah di sini;
Bila sampai waktunya, dia ngaku semuanya fitnah

Alah mak !!

Janganlah buat fitnah lain kali,
mesti hati-hati,
Sekarang muka mau sorok mana,
sorok dalam laci .....


Anilah al kisah Mutalib MD seorang blogger hebat dan sangat berani dalam Sabahkini.net.

Tulisannya tentang YB DSU Dr.Rais Yatim yang dituduhnya 'merogol' pembantu rumah bernama Robengah.

Demi membersihkan nama, Pak Menteri menyaman beliau atas beberapa artikel yang berkaitan tuduhannya.

Namun Hero Mutalib MD mencabar Pak Menteri atas tuduhannya sebagaimana petikan berikut:-


SEKALIPUN Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Mohd Rais Yatim telah memfailkan saman terhadap saya berhubung dakwaan Sabahkini.net bahawa beliau terlibat dengan Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang dianggapnya sebagai fitnah, namun saya amat gembira jika beliau menghadiri Persidangan Blogger Asean hari ini (Ahad).

Sebagai Blogger Profesional, saya tidak kisah atau terkilan jika Rais dijemput untuk menjadi moderater bagi sesi pleno forum yang bertajuk ‘Parameters-Thе Fine Between Whаt’s Allowed аnԁ Whаt’s Nοt’ kerana saya rasa Rais wajar berdepan dengan para Blogger termasuk saya, kerana itu tugas beliau sebagai Menteri yang menjadi ‘Penyibuk’ kepada Blogger selama ini.

Mengikut program yang terdapat dalam jadual, saya akan menjadi panel untuk membincangkan tajuk di atas yang dipengerusikan oleh Datuk Zaini Hassan (Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia); namun saya tidak gentar jika Rais hadir bersama peguamnya (atau ditemani Peguam Negara) sekalipun untuk menjadi moderator atau peserta.

Jika Rais ditemani Peguam Negara sekalipun, saya tidak gentar – Mutalib MD



Tetapi .....

Pada 4hb Oktober 2011, Mutalib MD memohon maaf secara terbuka kepada Pak Menteri dan mengakui bahawa artikel tuduhannya adalah fitnah. "Saya berjanji, lain kali takkan buat fitnah lagi", kata Mutalib dengan nada insaf.


NGUPING TERUS : Ha! Tu lahhhh, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengan>

Tuesday, September 13, 2011

HARI-HARI TERAKHIR SEORANG SASTERAWAN NEGARA


Tulisan ini saya rujuk daripada Majalah Mastika september 2011, halaman 6. Artikel tersebut mencoretkan hasil temubual wartawan Mastika sebagai suatu wawancara ekseklusif bersama Sasterawan Negara Profesor Emeritus Datuk Dr.Haji Shahnon Ahmad.

Saya membaca beberapa kali dan mencernanya secara cermat. Antara para yang sangat menarik minat saya adalah, apabila Datuk Shahnon (yang membahasakan dirinya sebagai 'Cikgu') membuat pengakuan secara jujur terhadap soalan berkaitan politik, "Malah sewaktu dalam Harakah inilah aku banyak menangis dari ketawa, banyak berduka lara dari senyum gembira kerana langsung bersimpati dan kasihan belas terhadap insan-insan yang merupakan para pemimpin politik yang terlibat dalam berbagai-bagai kemaksiatan dan kemungkaran. Sewaktu dalam harakah ini jugalah aku dapat membezakan antara kepimpinan yang sejati dengan kepimpinan yang palsu".

Di para terakhir pula, ungkapan Cikgu telah dipetik, "Malah waktu penglibatan dalam politik inilah aku mulai mengenal sebenarnya siapa kawan siapa lawan, siapa insan dan siapa separuh haiwan dan siapa sebenar manusia berlagak haiwan, siapa syaitan, siapa iblis dan siapa malaikat ..."

Pada penilaian saya, demikianlah kekecewaan Cikgu kepada 'harakah' (andaian saya PAS) sebagai sebuah wadah politik kepartian yang pernah diceburinya dulu. Malah, Cikgu pernah menjadi Ahli Parlimen Sik, Kedah atas tiket perti tersebut.

NGUPINGTRUS : Itulah agaknya yang dinamakan 'Indah kabar dari rupa'.