Monday, October 20, 2008

ISA LAGI! ISA LAGI!


Malangnya engkau duhai ISA !! Tak cukup dengan puak-puak parti pembangkang yang terus menerus mendesak supaya ISA (Internal Security Act / Akta Keselamatan Dalam Negeri) dihapuskan, akhir-akhir ini sekutu dalam BN pun turut mendesak ISA dihapuskan.


Penulis pun pelik dan hairan. Kenapa dok pertikaikan ISA yang sifatnya 'preventive' kepada perkara-perkara yang dijangkakan akan menimbulkan masalah kepada keamanan dan keselamatan negara. Pengganggu gugat kepada keamanan negara bukan hanya datang daripada pengganas seumpama komunis, tetapi ia juga boleh datang dari para pencetus masalah dalam negara seumpama isu raja-raja Melayu, isu perkauman, isu agama, isu bahasa, dan juga isu-isu yang terkandung dalam Konttrak Sosial.


Kalau dinilai secara rasional, ISA adalah salah satu elemen berbentuk akta yang selama ini berperanan menstabilkan keamanan negara. Kalau dahulunya banyak negara-negara luar yang menempelak ISA dengan alasan bahawa ISA itu tidak humanistik. Jauh dari amalan keadilan sejagat. Menahan individu dalam tempoh tertentu tanpa melalui proses perbicaraan di mahkamah.


Namun pada akhirnya, negara-negara yang mencemuh negara dalam isu ISA ini pun turut memperkenalkan akta yang sama di negara mereka dengan alasan 'preventive'. Amerika misalnya menggunakan Patriot Act pada 26 Oktober 2001 oleh Presiden Bush, selepas kejadian dahsyat dan memalukan Amerika 11 September 2001 di mana World Trade Center di New York hancur dilanggar oleh pesawat terbang pengganas.

Walaupun banyak pihak di Amerika, terutama pembangkang dan pengamal undang-undang menentang akta tersebut, namun atas sifat kerajaan yang memerintah memikirkan bahawa akta tersebut 'sangat perlu' untuk melindungi keselamatan dan keamanan negara agar tidak diganggu gugat dan dicerobohi seperti kejadian 911 itu, maka ia tetap dipertahan dan didaulatkan di negara Polis Dunia itu. Bagi Amerika, Patriot (Providing Appropriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism) Act bertujuan untuk "Uniting and Strengthening America".


Di negara kita pun demikian, pihak polis bertanggungjawab melaksanakan ISA, dari sudut perisikan maklumat individu atau kumpulan tertentu sehinggalah kepada urusan penahanan. Agensi tersebut tidak terlepas daripada dikecam dan dihina oleh pihak-pihak yang sememangnya tidak berkenan dengan ISA. Pihak Polis dituduh sebagai 'orang suruhan Umno', 'anjing pemerintah', dan berbagai lagi tuduhan liar dan jijik, namun demikian orang terlupa bahawa agensi tersebutlah yang bertanggungjawab untuk menjaga ketenteraman dan keamanan negara Malaysia ini dari sebarang anasir yang boleh mencetuskan huru hara. Justru kerana negara amanlah maka golongan peniaga dapat terus berniaga, kakitangan kerajaan terus boleh bekerja dan menerima gaji, dan orang awam dapat hidup selesa dan tenteram.


Kalaulah nak ikutkan hati 'rajuk', biarkan saja apa yang hendak dilakukan oleh kumpulan pelampau agama, pelampau kaum, pelampau politik dan berbagai lagi jenis pelampau untuk melakukan apa saja yang mereka mau lakukan, beraja di mata bersultan di hati, apa agaknya akan jadi kepada bumi tercinta kita ini?


Kita jangan alpa bahawa kalau negara sudah berada dalam keadaan tidak aman, jangankan nak pergi ke masjid, gereja, tok kong, kuil dan lain-lain tempat ibadat keagamaan, nak tidur pun tak lena. Nak pakai baju pun payah, jangankan nak fikir masalah bertudung dan menutup aurat!!


Ini jarang diperhati dan fikirkan!


Jadi, bagi orang politik, kalau negara sudah tak aman, tak senmpat lagi nak fikir tentang bermuktamar, bersidang, mesyuarat agung, konvensyen dan lain-lain aktiviti politik, nak keluar rumah pun takut. Tak tengok ke bagaimana keadaan negara yang sekarang ini tidak aman?


Oleh itu jangan dipersoalkan sangat tentang ISA. Orang yang banyak mempersoalkan ISA adalah orang atau kelompok yang ada intention untuk melakukan perkara-perkara yang boleh mencetuskan keadaan tidak aman.


Bayangkan kalau ISA sudah dikuburkan, orang Malaysia tanpa segan silu lagi akan mempersoalkan tentang isu raja-raja Melayu, isu agama, isu kaum, dan lain-lain isu yang terkandung dalam Kontrak Sosial, apa akan jadi agaknya?


Waktu itu tidak mustahil akan keluar selepang merah, pedang terbang, kuntau, karate, silambam dan berbagai lagi ilmu pertahanan diri sebagai manifestasi pertembungan antara kaum.


Sedarilah, justru kerana ada ISA dapat turut sama membantu negara ini mengekalkan kemerdekaan dan keamanan walaupun kita dikenali sebagai sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian agama, kaum, adat resam, budaya dan latar belakang.


Oleh itu, tak usahlah kita terlalu persoalkan tentang keberadaan ISA dalam negara kita ini! Yang penting, jangan buat perkara-perkara yang membolehkan ISA dikenakan kepada kita!


NGUPINGTRUS : Sesungguhnya masih banyak lagi perkara-perkara di atas bumi Malaysia ini nak kita perjuangkan, daripada terus berpolemik dengan ISA.

No comments: