Wednesday, October 29, 2008

TELUNJUK LURUS, KELINGKING JANGAN MENGAIT - 3 (Akhir)



[Sambungan daripada 'Telunjuk lurus, kelingking jangan mengait - 2 ]
Merujuk kepada teks ucapan Datuk Tan Lian Hoe, Ketua Wanita Gerakan Kebangsaan pada 10.10.08 :



Perenggan 8:

Jangan dipertikaikan dan dipolitikkan fakta sejarah atau mengambil isu perkauman sebagai modal untuk meraih sokongan dan undi daripada ahli-ahli untuk menjadi jaguh pemimpin dalam parti dan negara. Kita tidak mahu pemimpin yang memecah belahkan kaum dan menindas kaum lain. Pemimpin mentaliti kelas ketiga seperti ini tidak boleh kita terima dan kita benarkan sebagai contohuntuk memimpin negarakerana ia akan mengharubirukan masyarakat melalui konflik hubungan kaum dan menghancurkan perpaduan negarayang telah terbina sekian lama.


Komentar 6 :

Bagi perenggan ini sebenarnya Penulis tidak dapat menyelami isi hati Datuk Tan. Kepada siapa kenyataan-kenyataan itu ditujukan. Apakah ditujukan kepada Umno? Kalau Umno, siapakah gerangan pemimpin yang dimaksudkan? Pemimpin yang mempertikai dan mempolitikkan fakta sejarah hanya sekadar nak jadi jaguh.


Demikian juga dengan kenyataan Tan tentang pemimpin yang disorot sebagai pemecah belah kaum dan menindas kaum lain. Dalam kenyataan seperti di atas, Tan tidak seharusnya berlagak sebagai Tok Dalang yang suka bermain dengan bayang-bayang. Tan kena perjelaskan, pemimpin politik mana dan dari parti mana yang dimaksudkan. Tan mesti bertanggungjawab terhadap tembakan 'merapu'nya itu.


Sebenarnya, Penulis sendiri ada membuat sedikit kajian literatur. Pemimpin politik yang suka mendendangkan lagu perkauman adalah dari DAP. Kemudiannya mutakhir ini ia menular kepada Gerakan dan seterusnya MCA. Merekalah sebenarnya suka mempersoalkan tentang perkara-perkara yang terkandung dalam Kontrak Sosial, satu persepakatan yang telah dipersetujui oleh pemimpin MIC terdahulu (Melayu, India, Cina). Malah Penulis tidak pernah pun mendengar baik secara tertutup apatah lagi terbuka ada di kalangan pemimpin Umno mempersoalkan tentang 'Jusoli' kepada kaum pendatang sebelum Tanah Melayu Merdeka. Secara logikanya, pemimpin Umno lebih matang dan lebih berhati-hati menjaga kerukunan perpaduan antara kaum di negara bertuah ini.


Kalau pun ada isu-isu yang dianggap 'rasis' oleh orang bukan Melayu terhadap ucapan-ucapan lantang ahli atau pemimpin Umno dalam Perhimpunan Agung atau seminar, ia lebih bersifat 'defensif'. Mempertahankan hak orang Melayu sepertimana terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan atau dalam Dasar Ekonomi Baru. Dasar yang dipersetujui oleh pemimpin kaum sejak 1970 lagi.


Pemimpin Umno yang memperingatkan tentang target 30% pemilikan orang Melayu dan Bumiputera terhadap khazanah negara ini bukan perkara baru. Ia perkara yang sudah diketahui umum, bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga bukan Melayu. Malah angka 30% itu sebenarnya masih belum tercapai. Jauh sekali dari mengambil hak kaum lain, termasuk kaum Datuk Tan.


Kaum lain, khususnya kaum Cina masih boleh meraih pemilikan baki daripada 30% tadi. Dan ia ternyata suatu fakta. Sebab itu tidak dinafikan lagi kaum Cina mendominasi ekonomi negara ini. Orang Melayu tidak pernah berdengki dengan kaum Cina terhadap dominasi ekonomi tersebut. Orang Melayu tau bersyukur sebagaimana yang diajarkan dalam agamanya. Seharusnya orang bukan Melayu juga faham erti syukur.


Yang penting adalah, kita sama-sama dapat hidup aman makmur dan bebas mencari kekayaan di bumi bertuah yang telah sama-sama kita merdekakan ini. Keamanan dan kemakmuran yang ada sekarang ini adalah hasil recikan keringat di dahi para pemimpin kita terdahulu yang telah merekayasa satu formula agihan kekayaan negara melalui DEB melalui pengalaman pahit 13 Mei. Kalau tidak dengan suntikan DEB, mungkin saja negara kita sudah jadi sebagaimana negara lain di beberapa bahagian dunia ini yang sering berperang sesama sendiri.


Hal ini Tan harus telaah dengan dalam dan cermat!


Perenggan 9:


Kita Anak Malaysia, Bangsa Malaysia, telah sama-sama memainkan peranan penting dalam membangunkan rakyat dan Negara Malaysia yang tercinta ini. Tanpa kerjasama dan komitmen daripada semua kaum , mustahil Malaysia dapat menuntut kemerdekaan dan dapat mencapai kejayaan yang kita kecapi dan nikmati pada hari ini. Kita jangan jadi kacang lupakan kulit. Sudah berjaya, mewah dan kaya raya, kita lupa jasa bakti orang lain dan cuba menindas-nindas orang lain pula.


Komentar 7:


Dalam hal ini, sebenarnya Tan kelihatan seperti buta mata hati dan hilang deria pendengaran. Pernahkah ada mana-mana pemimpin negara (terkecuali individu) terdiri dari pemimpin Melayu yang pernah secara tertutup dan secara terang, sejak dulu sehingga kini menafikan peranan kaum lain terhadap usaha membangunkan negara ini?


Kalau ada berserta dengan buktinya, Penulis sanggup mencium telapak kaki Tan. Demikian juga sebaliknya. Kalau tidak ada, Tan harus bertanggungjawab melepaskan secara rela jawatan Timbalan Menteri yang dipegang sekarang ini.


Tidak pernah, tidak pernah dan tidak pernah ada mana-mana pemimpin Melayu yang menafikan hal sedemikian. Nah kalau demikianlah, apa perlunya Tan menimbulkan perkara sedemikian? Apa perlunya? Permainan bentuk apa yang Tan inginkan?


Demikian juga dengan usaha bersama di kalangan pemimpin kaum dalam usaha menuntut kemerdekaan dari Inggeris. Ucapan demi ucapan, pernyataan demi pernyataan, malah tercatat dalam buku Sejarah kemerdekaan bahawa usaha memerdekaan Tanah Melayu ini adalah berkat usaha sama oleh kepimpinan kaum negara ini yang diketuai Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra.


Penulis minta Tan tolong tunjukkan, kalau-kalau ada mana-mana buku sejarah yang diperakukan (bukan ditulis oleh Tan sendiri) menafikan usaha sama tersebut. Tolong tunjukkan! Tunjukkan!


[Catatan: Sewaktu menulis komentar ini, tangan Penulis menggigil. Tak tau kenapa!]


Bagi pepatah 'kacang lupakan kulit' mungkin Tan hanya maksudkan kepada dirinya sendiri. Atau mungkin juga kepada kaumnya. Sebab itu jugalah agaknya, Tan menyebutkan, 'Kita jangan jadi kacang lupakan kulit. Sudah berjaya, mewah dan kaya raya, kita lupa jasa bakti orang lain dan cuba menindas-nindas orang lain pula'.


Persoalan yang perlu dijawab, siapa yang sudah berjaya? Siapa yang mewah dan kaya raya? Dan juga siapa yang kelihatan cuba untuk menindas orang lain?


NGUPING TRUS: Tan ternyata cenderung untuk bermain dengan api. Ingatlah, api sewaktu kecil boleh dijadikan kawan, tapi kalau dah besar, ia boleh menjadi lawan dan membakar apa saja yang ditempuhinya.

No comments: