Thursday, November 27, 2008

KENAPA DESAK TUAN GURU BERSARA AWAL?


Kaget juga apabila akhbar arus perdana semalam melaporkan bahawa wujud suara-suara yang sampai ke cuping-cuping telinga masyarakat khususnya orang PAS mendesak atau dengan kata lunaknya memohon agar YAB Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat (DNA), Menteri Besar Kelantan supaya berundur daripada jawatan Menteri Besar.


Dalam Harakahdaily.net hari ini (27.12.2008) telah mengeluarkan kenyataan sebagai menafikan berita yang tersiar dalam akhbar termasuk Watan sebelumnya.


Menurut YB Zulkifli Mamat, ADUN Pulai Chondong, menyatakan bahawa pihaknya mahukan Mursyidul Am PAS itu agar dipanjangkan umur supaya boleh mentadbir kerajaan negeri lebih lama lagi. Menurut rakan-rakan yang membahaskan isu ini, bertanyakan kepada Zulkifli, apa maksud beliau 'pihaknya' itu? Siapa dia? Adakah Zulkifli menyarakan pendapat tersebut bagi mewakili lain-lain wakil rakyat PAS Kelantan. Atau hanya diri beliau sendiri sahaja.


Kalau mewakili Wakil Rakyat PAS Kelantan, kenapa pula mereka sendiri yang tidak mengeluarkan kenyataan? Walaupun Zulkifli merupakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan, namun dalam isu besar dan sensitif seumpama ini seharusnya kenyataan dikeluarkan hasil daripada mesyuarat atau perbincangan rasmi kelab.


Mengulas isu yang sama, selain daripada Zulkifli hanya YB Abdul Fatah Harun, ADUN Bukit Tuku dan YB Hassan Mahmood, ADUN Tawang saja yang cuba mempertahankan DNA. Kemana perginya Timbalan Menteri Besar? Husam dan Tok Pendekar yang lainnya?


Bagi orang politik yang berpengalaman dalam selok belok dan sepak terajang politik di negara ini berpendapat bahawa pepatah orang tua-tua harus diambil kira, 'Kalau tidak ada angin, masakan pohon bergoyang'. Demikian juga dengan teori politik yang sering disebutkan bahawa 'politic is an art of possibility' - sesuatu yang serba mungkin.


Ertinya bukanlah suatu yang mustahil telah wujud di kalangan orang politik PAS yang pernah terkeluar di mulutnya tentang perkara ini, "Bila Tok Guru nak berundur?" Dan ia didengar oleh orang lain. Terus tersebar. Maka jadilah isu. Ia perkara harus!


Mungkin ada di kalangan orang PAS yang sudah tidak sabar suasana pergerakan yang dilihat 'slow' di bawah kepimpinan DNA. Malah bukan juga mustahil isu ini dihembus oleh kolisi dalam Pakatan Rakyat yang melihat bahawa DNA sebagai resisten kepada kelancaran kerjasama PKR, DAP dan PAS.


Ia termasuklah isu tentang cadangan PAS supaya Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PKR supaya menghapuskan atau mengurangkan kelulusan lesen penjualan arak. Dalam isu tersebut DNA menyatakan bahawa PKR masih mentah dalam menangani isu-isu yang ditimbulkan oleh rakan kolisi PR.


Maka oleh itu, di kalangan kepimpinan PAS khususnya di Kelantan boleh saja mengambil isu itu secara positif. Ertinya, bersedia melatih pemimpin pelapis selepas pemergian DNA (pemergian di sini bukan sahaja bermaksud DNA dijemput kembali oleh Allah Azzawajalla, tetapi juga seandainya beliau tidak lagi menjadi MB).


Malah adalah jauh lebih baik seandainya pemimpin tersebut dilatih selaku kepimpinan negeri sewaktu DNA masih ada dan boleh memberikan tunjuk ajar di mana perlu, berbanding seandainya pemimpin tersebut menggantikan DNA selepas beliau dijemput Allah.


Tetapi dalam hal ini mungkin ada yang menghujahkan bahawa Sayyidina Abu Bakar menggantikan kepimpinan Rasulullah s.a.w. selepas kewafatan baginda. Hujah itu juga benar, tetapi taraf kepimpinan PAS yang ada di Kelantan itu tak seorang pun yang seperti Sayyidina Abu Bakar. Hatta air kaki Amirul Mukminin tersebut. Itu permasalahannya.


Nak dikatakan sayang kepada DNA, ya memang terlalu sayang. DNA memang tokoh politik yang disegani kawan dan lawan di negara ini sejak dulu sampai kini. Beliau memang bapa perpaduan bagi PAS. Tempat rujukan bagi ahli-ahli PAS. Kelembutan dan waraq beliau mencairkan hati orang yang mendengar ceramahnya.


Tetapi mungkin suara yang meminta beliau berundur awal itu tidak bermakna tak sayang dan tak hormat padanya. Mereka tetap menyanjungi Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat.


NGUPINGTRUS : Hakikat hidup manusia pasti menemui ajal. Yang patah pastikan ada pengganti. Namun pengganti harus dipersiapkan dengan sebaik mungkin untuk memastikan kelestarian PAS.

Wednesday, November 26, 2008

GUAN ENG HINA KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ

Setelah beberapa minggu menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berikrar akan mentadbir Pulau Mutiara tersebut sebagaimana cara pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz. Khalifah Umar memerintah wilayah Kerajaan Umayyah pada tahun 717 - 720. Kerajaan Umayyah merangkumi tanah Arab, Parsi dan Turki.
Walaupun zaman pemerintah Khalifah Umar cuma sekitar 4 tahun, namun kemasyhuran pentadbirannya menjadi dambaan kepada seluruh umat Islam. Beliau bukan sahaja warak dan zuhud, tetapi juga tersohor dengan pembaharuan yang dibawa dalam masa pemerintahannya. Antaranya adalah pembasmian kemiskinan.
Malah tercatat dalam sejarah bahawa seorang gabenor Yahya ibn Said telah diutuskan ke Afrika Utara untuk membahagikan zakat kepada fakir miskin di sana. Tetapi perutusan tersebut menyatakan bahawa tidak terdapat seorang pun fakir miskin yang ditemui dan layak menerima zakat. Ertinya, di zaman pemerintahan Khalifah Umar, beliau telah berjaya menghapuskan kemiskinan di kalangan rakyat dalam jajahan takluk pemerintahannya. Demikian kehebatan Khalifah Umar.
Persoalannya adalah, layakkah Lim Guan Eng untuk mengkuti cara kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz. Atau Guan Eng hanya seperti burung tiung yang mempu menyebut perkataan 'Khalifah Umar Abdul Aziz' tetapi tidak tahu siapa sebenarnya Khalifah Agung tersebut!
Guan Eng jangan hanya lihat Khalifah Umar dari beberapa sisi sahaja, tetapi perkara yang paling pokok adalah bahawa Khalifah Umar adalah seorang mujaddid Islam. Beliau membawa pembaharuan bukan hanya kepada cara pemerintahannya menurut Islam, tetapi juga diri beliau sendiri sebagai suri teladan sebagai seorang pemimpin Islam. Ertinya, penilaian kepada Khalifah Umar bukan hanya dari sudut lahiriah tetapi juga dari sudut spiritualnya.
Jauh bumi dari langit bagi Guan Eng untuk mengikuti jejak Khalifah Umar. Guan Eng tak mungkin dapat merasai spiritual Islam yang dimiliki Khalifah Umar kerana Guan Eng sendiri belum Islam. Penilian Islam tidak boleh dibuat berdasarkan logik akal semata-mata, seperti mana yang difikirkan oleh Guan Eng.
Di sinilah letaknya pertentangan Lim Guan Eng dengan kepimpinan PAS. Sebab itu tak heranlah Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin membantah Guan Eng yang membenarkan yang membenarkan Konsert Jom Heboh di batu Kawan, P.Pinang baru-baru ini. Malah Pemuda PAS menganggap bahawa Guan Eng tidak peka Islam.
Menurut Hafiz, tindakan Guan Eng memang tidak mengendahkan hukum Islam, pada hal sebelum ini Guan Eng sendiri telah memaklumkan bahawa kerajaan P.Pinang akan mengikut sistem pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Surat bantahan rasmi telah dihantar kepada Ketua Menteri dan Majlis Perbandaran Seberang Prai.
Pemuda PAS juga menyelar tindakan Guan Eng selaku salah seorang pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat yang tidak menghormati pandangan parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat yakni PAS.
Bagi Penulis, PAS tidak harus berdukacita terhadap tindakan Guan Eng tersebut kerana ia seharusnya telah difikir sejak awal oleh PAS, Bagaimana mungkin Guan Eng yang sememangnya bukan Islam akan melaksanakan kehendak Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Guan Eng bukan hanya tidak Ilam, tetapi juga pejuang sebuah parti cauvinis Cina, DAP yang secara terang-terangan menentang kehendak Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
Apakah Guan Eng boleh dikira menghina Khalifah Umar Abdul Aziz?
Bagaimana PAS boleh lupa perkara tersebut ???? Penentangan terhadap Islam tidak akan pudar dalam DAP sebagaimana yang dilaung-laungkan oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh. Dah lupa ke?
NGUPINGTRUS : Sewaktu ceramah dalam PR Kecil Permatang Pauh, Guan Eng juga menyatakan akan memerintah Pulau Pinang sebagaimana cara Khalifah Umar Abdul Aziz. Dan disambut dengan laungan Allahu Akbar! oleh penyokong dan pengikut PAS. Pemimpin PAS diam membisu !

Saturday, November 22, 2008

'TAHNIAH' MELAYU PULAU PINANG


Salah satu berita utama dalam berita internet Utusan Online hari ini 22 Nov.2008 ialah mengenai isu papan tanda jalan di Pulau Pinang, "Pulau Pinang teruskan rancangan walau pun dikritik".

Ia merujuk kepada dasar yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP bahawa papan tanda jalan di negeri Pulau Pinang khususnya di George Town akan menggunakan bahasa kedua di samping Bahasa Melayu. Bahasa tersebut sama ada Bahasa Cina, India, Arab, atau Inggeris.


Ketua Menteri Guan Eng dalam kenyataannya menjelaskan bahawa penggunaan pelbagai bahasa pada papan tanda jalan tersebut bertujuan untuk meningkatkan lagi industri pelancungan Pulau Pinang. "Dalam masa yang sama kerajaan negeri tidak mengurangkan status Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan", katanya lagi.


Dalam isu ini, Penulis nak geleng pun tidak nak angguk pun tidak. Hanya terkenangkan hari pengundian dalam PRU-12 Mac lalu, di mana pada hari itulah segala pertimbangan secara masak dan matang seharusnya jadi pertimbangan kepada seluruh pengundi di Pulau Pinang khususnya Melayu Pulau Pinang.


Apabila kuasa sudah diberikan kepada orang lain, maka inilah akibatnya. Orang lain akan menggunakan kuasa yang mereka dapat seoptimal mungkin untuk mencapai cita-cita 'cauvinis' mereka. Dalam keadaan sekarang, menangis air mata darah sekali pun tak boleh nak buat apa dah!


Nak harapkan orang Melayu dalam PAS dan PKR, mereka tidak kisah tentang isu-isu seumpama itu. Mereka sekarang hanya pentingkan kuasa yang dimiliki bersama DAP.


Sebaik sahaja menduduki kerusi Ketua menteri selepas PRU-12 dulu, Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan sulungnya yang sangat kontroversi bahawa konsep DEB akan dihapuskan di Pulau Pinang. Tidak ada lagi sistem kuota bagi kaum di Pulau Pinang sebagaimana yang digariskan dalam DEB tersebut.


Ertinya pemansuhan prinsip DEB tersebut adalah laluan ke arah hasrat DAP menjadikan Malaysian-Malaysia. Sama rata dan sama rasa. Tiada lagi pembelaan untuk yang lemah!


Sekarang isu bahasa pula yang dihakis oleh Guan Eng. Tidak hairanlah ianya akan semakin menular kepada perkara-perkara yang lain pula oleh kerajaan Pulau Pinang. Pepatah orang tua-tua ada menyatakan, 'Telus jarum teluslah kelindan'. Ertinya, satu perkara yang telah dilakukan tidak mendapat tentangan daripada masyarakat, maka akan diikuti dengan tindakan yang lain pula.


Yang boleh membetulkan keceluparan DAP khususnya di Pulau Pinang hanyalah rakyat Pulau Pinang, khususnya Melayu. Bila? Dalam PRU-13 nanti, sekitar 3-4 tahun dari sekarang!


NGUPINGTRUS : Demikian juga dengan Kedah, Perak dan Selangor. Mereka akan buat apa saja mengikut kehendak hati mereka kerana mereka yang memerintah. Pisau dan timun ada di tangan mereka.

Friday, November 21, 2008

AKHIRNYA JAWATAN KETUA WANITA 'BERTEMBUNG'



Setelah teka-teki berlanjutan selama beberapa minggu terhadap isu Peralihan Kuasa Pergerakan Wanita Umno akhirnya terjawab apabila Tan Seri Rafidah Aziz akan mempertahankan jawatannya dalam Perhimpunan Agung Umno Mac 2009 mendatang.


Pada 19 November lalu Datuk Seri Shahrizat Jalil, Naib Ketua telah memutuskan untuk menentang Rafidah pada Mac 2009 nanti. Beliau difahamkan membuat keputusan tersebut kerana mendapat desakan dan sokongan daripada kepimpinan wanita di peringkat akar umbi yang kelihatannya mula beralih arah kepadanya.


Sewaktu persidangan wanita bahagian sebelumnya, Rafidah mendapat 117 pencalunan sementara Shahrizat hanya 73 sahaja. Namun demikian, oleh kerana pelan peralihan kuasa Presiden sendiri telah dipercepatkan daripada 2010 kepada Mac 2009, maka wanita akar umbi juga menyuarakan agar peralihan kuasa wanita diawalkan daripada Jun 2009 kepada Mac 2009. Namun, Rafidah tetap dengan keputusan yang dibuat pada Ogos lalu, yakni peralihan hanya akan dibuat pada Jun 2009.


Isu untuk diawalkan pelan peralihan kepimpinan wanita meletus apabila Datuk Kamilia Ibrahim yang mendapat cukup pencalunan bagi jawatan Naib Ketua menyuarakan untuk bertanding bagi jawatan tersebut walau pun tidak mendapat 'restu' Ketua Wanita dan barisan exco wanita.


Justru itu, Shahrizat 'terpaksa' menyatakan pendiriannya sama ada untuk mempertahankan jawatan naib Ketua Wanita atau menentang jawatan ketua. Akhirnya beliau bersedia akan melompat ke atas.


Ertinya, mac 2009 nanti kalau Shahrizat menang, maka beliau akan jadi Ketua Pergerakan Wanita yang baru dan kalau kalah, maka peluang Kamilia untuk memangku jawatan Ketua Wanita tiga bulan selepas itu.


Namun demikian, dari bacaan politik atas perkembangan mutakhir, Shahrizat mampu mengalahkan Rafidah.


Pertamanya, bahagian wanita yang dulu telah mencalonkan Rafidah sebagai Ketua dan Shahrizat sebagai naib, sekarang telah menukar 'tune' dan menyatakan sokongan secara terbuka kepada Shahrizat. Sehingga hari ini, majoriti Ketua Wanita Bahagian Kedah dan Perak telah menyatakan demikian. Dan diyakini hari-hari berikutnya tahap sokongan kepada Shahrizat akan semakin meningkat.


Pertandingan bagi jawatan Ketua Wanita ini mendapat respon daripada pelbagai pihak termasuk YAB Perdana Menteri. Apabila ditanya, Pak Lah hanya menyatakan menghormati keputusan kedua-dua Rafidah dan Shahrizat atas hasrat mereka, dengan syarat janganlah pertandingan tersebut boleh menyebabkan perpecahan calam Wanita Umno yang akan merugikan parti.


Penulis angkat topi kepada Tan Seri Rafidah dan juga Datuk Seri Shahrizat atas semangat demokrasi yang subur dalam semangat perjuangan mereka.


Yang semakin pasti akan meraih untung adalah Kamilia.


NGUPINGTRUS : Bertandinglah duhai Sang Pertiwi, asalkan yang menang jangan jadi arang dan kalah jangan jadi abu.

Monday, November 17, 2008

ANWAR BERSENDIWARA LAGI?

Muka depan Akhbar Sinar Harian hari ini 17/11 berjudul "Anwar beralih ke Sarawak". Anwar dipetik sebagai berkata, "Apabila Sarawak mengubah haluannya, kerajaan Barisan Nasional akan runtuh", ungkapnya dalam majlis makan malam anjuran Friends of PKR di Sibu.

Bagi Penulis, kenyataan Anwar itu memang tepat dan tidak auta. Kalau Ahli Parlimen BN yang disebut seramai 30 orang 'melompat' ke PKR, maka memanglah BN akan tersungkur. Sebenarnya bukan saja kalau MP Sarawak yang melompat, MP Sabah pun kalau melompat, MP Semenanjung kalau melompat, atau MP mana-mana pun asalkan jumlahnya sekurang-kurang 30 orang yang melompat masuk menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat, maka jawabnya Kerajaan BN akan tumbang.

Itu namanya 'Teori Kalau'. Tetapi persoalannya adalah kalau 'Teori Kalau' itu tak jadi, maka tak jadilah. BN tak tersungkurlah. yang jadi adalah, Anwar malu sekali lagi. Itu pun kalau Anwar ada perasaan malu. Tapi kalau dia sudah tak ada perasaan malu, dia akan terus menerus bermain dengan 'Teori Kalau'nya itu.

Yang herannya adalah, masih ada orang yang taksub, percaya dan terus jadi Pak Enggeh kepada Datuk Seri Kalau ni. Mereka dok asyik berpolemik dengan isu lompat-melompat.
NGUPINGTRUS : Datuk Seri aysik dengan cerita orang lain melompat, tup-tup orang Datuk Seri yang melompat keluar. Jamtu barulah air hidung tak semena-mena terkeluaq. Ia bukan mustahil terjadi kerana terlalu bosan.

PERSIDANGAN PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN LIPIS 2008


Pada 9 November lalu, Umno Lipis telah mengadakan Persidangan Tahunan Kali Ke-20 di Dewan Umno Lipis. Seramai 336 perwakilan daripada 87 Cawangan Umno yang bersidang telah menghantar perwakilan. Hanya Cawangan Simpang Tiga Padang Tengku saja yang tak dapat bermesyuarat kerana tak cukup korum. Ini harus menjadi iktibar kepada ketua-ketua Cawangan Umno untuk masa akan datang. Tugas Ketua Cawangan adalah untuk memastikan cawangannya aktif. Jangan hanya dekat pilihanraya atau mesyuarat tahunan (lebih-lebih lagi untuk pemilihan Bahagian) baru nak kumpulkan ahli. Akhirnya, itulah jadinya!


Persidangan kali ke-20 ini telah menyaksikan pertandingan bagi ketiga-tiga pos kepimpinan tertinggi Bahagian. Ketua bahagian yang disandang oleh YB Dato' Ir.Mohd Soffi Tan Seri Abd.Razak, ADUN Benta yang juga Exco Kerajaan Pahang ditentang oleh YB Sdr.Abd.Rahman Muhammad, ADUN Padang Tengku yang juga Timbalan Ketua Bahagian.


Jawatan Timbalan Ketua Bahagian yang dikosongkan oleh YB Rahman telah ditandingi oleh YB Dato' Dr.Mohamed Shahrum Othman, Ahli Parlimen Lipis yang juga Naib Ketua Bahagian dan ditentang oleh Datuk Hj.Suhaimi Ibrahim, Setiausaha Politik Kepada YAB Perdana Menteri.


Sementara jawatan Naib Ketua yang dikosongkan oleh Dato' Shahrum telah ditandingi oleh Sdr.Hj.Zulkifli Othman, Setiausaha Bahagian yang baru dilantik bagi menggantikan Cikgu Jamaludin Othman yang telah dipecat. Beliau ditentang oleh Sdr.Mustapa Long, AJK Umno Bahagian yang juga Pegawai Khas kepada YAB Menteri Besar Pahang.


Walaupun ketiga-tiga jawatan itu dipertandingkan, namun para perwakilan dapat menerima bahawa ianya adalah merupakan satu proses biasa yang diamalkan oleh Umno dalam sistem demokrasi. Ia tidak bercanggah dengan peraturan parti. Malah ia telah memberikan peluang kepada para perwakilan untuk memilih calon-calon yang difikirkan lebih layak memimpin Umno Lipis untuk jangkamasa tiga tahun mendatang.


Perjalanan persidangan boleh dikira lancar. Hanya ada sedikit-sedikit suara yang kurang enak didengar daripada segelintir kecil perwakilan yang mungkin terpancing dengan ucapan pembukaan yang agak beremosi oleh Ketua Bahagian.


Persidangan yang selesai pada jam 7.30 malam berakhir sebaik saja pengumuman keputusan pertandingan oleh Dato' Ahmad Tajudin, Ketua Umno Bahagian Paya Besar selaku Wakil Badan Perhubungan Pahang.


Penulis agak terkesan dan sebak apabila melihatkan dari jauh Dato' Soffi dan YB Rahman berpelukan selepas pengumuman dibuat. Demikian juga dengan Hj.Zul dan Mustapa. Hanya Dato' Shahrum sahaja tidak berada dalam dewan pada waktu itu kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.


Di hati Penulis terdetik, alangkah harmoninya pertandingan seumpama ini sebagai satu petanda suburnya demokrasi dalam Umno Lipis.


Teringat kepada pesan kepimpinan Umno yang menyebutkan bahawa adat bertanding akan ada yang menang dan ada yang kalah. Tetapi harus diingat, yang menang tidak menang semuanya, dan yang kalah tidak kalah semuanya. Justru itu, yang menang dan yang kalah harus duduk semeja untuk memperkasakan Umno Lipis bagi menghadapi cabaran yang lebih getir sedang menunggu di hadapan.


Keputusan pemilihan adalah seperti berikut:-


Pengerusi Tetap : Cikgu Mazlan Awang

Timb.Pengerusi Tetap : Ustaz Abdul Hamid Mat

Ketua Bahagian : YB Sdr.Abdul Rahman Muhammad

Timb.Ketua bahagian : Datuk Hj.Suhaimi Ibrahimj

Naib Ketua bahagian : Sdr.Mustapa Long

AJK :-

1. Dato' Dr.Abdul Halim Mansor

2. Latifah Hamid

3. Taharuddin Yaakob

4. Halim Othman

5. Dato' Abdullah Sulaiman

6. Khairul Nizam Dato' Abu Dahari

7. Sazly Abdul Wahab

8. Cikgu Jamaludin Othman

9. Cikgu Ibrahim Aziz

10. Cikgu Shahidan Hamid

11. Cikgu Mohd Rosmi Din

12. Dato' Hj.Mohd Hashim Idrus (Pak Ngah Hashim)

13. Dato' Mejar (B) Abdullah Dain

14. Hj. Ahmad Abdullah (Pak Andak)

15. Cikgu Ahmad Sudin

16. Dr.Abdul Razak Bedu

17. Cikgu Kamaluddin Ibrahim (Kabib)

18. Mustafa Kamal Sulaiman (Mat Deris)

19. Mansor Salleh (Mansor TEKUN)

20. Kapt. (B) Abdul Latif Mohd Nor


Perwakilan G7 yang akan ke Kuala Lumpur adalah :-

1. Khairul Nizam Dato' Abu Dahari

2. Halim Othman

3. Cikgu Ishak Muhammad

4. Azhar Ahmad

5. Dato' Setia Amar Segara Dato' Hj.Halim Ibrahim

6. Cikgu Rosmi Din

7. Sazly Abd.Wahab


Semoga barisan kepimpinan Umno Bahagian Lipis sesi ini mampu membawa dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab sepertimana yang digariskan oleh parti. Pertandingan telah selesai dan keputusan oleh para perwakilan telah pun dibuat. Biduk lalu hendaknya kiambang biarlah bertaut!


NGUPINGTRUS : Apa perkembangan mutakhir. Akan bertautkah sang kiambang walaupun biduk telah berlalu?

Wednesday, November 12, 2008

NAK TUNGGU APA LAGI KAK FIDAH


Dipanjatkan doa ke hadrat Allah Azzawajalla, semoga pelan peralihan kuasa dalam pucuk pimpinan Umno pada Mac 2009 nanti akan berjalan lancar. Tahap sokongan kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak nampaknya telah memberi isyarat positif ke arah itu. Ia terbukti melalui jumlah pencalonan bagi jawatan Presiden Umno bagi proses pemilihan Persidangan Agung pada Mac 2009 mendatang.

Demikian juga dengan pimpinan Pemuda dan Puteri yang melalui proses pemilihan, juga pada Mac 2009. Ertinya, pada Mac 2009 nanti akan tercatat dalam lakaran sejarah tanah air bahawa Presiden Umno orang baru, Ketua Pemuda orang baru, dan Ketua Puteri juga orang baru. Hanya Ketua Wanita saja yang akan kekal orang lama. Itu pun berdasar kepada keputusan mesyuarat exco wanita pada 10.11.2008 lalu. Keputusan mesyuarat mengekalkan pelan peralihan kuasa Ketua Wanita kepada naibnya pada Jun 2009 nanti, tiga bulan sesudah Perhimpunan Agung.

Ertinya, kalau Datuk Shahrizat akan menjawat jawatan Naib Ketua pada Mac nanti, maka pada Jun 2009 Shahrizatlah yang akan jadi Pemangku Ketua Wanita Umno. Tetapi kalau ada pertandingan bagi jawatan Naib Ketua Wanita pada Mac akan datang, yang ura-uranya Datuk Kamilia Ibrahim, dan dia mengalahkan Shahrizat, maka dia akan jadi Naib Ketua, bererti beliaulah yang akan mewarisi jawatan Pemangku Ketuanya pada Jun 2009.

Namun demikian, sok-sek sok-sek di sana sini membisikkan kehairanan terhadap pelan peralihan kuasa Pergerakan Wanita. Ia terdapat sedikit keganjilan. Akar umbi kata, kalaulah Presiden parti sendiri bersetuju mengawalkan peralihan kuasa dari 2010 kepada Mac 2009, kenapa pulak Ketua Wanita tidak bersetuju untuk melakukan hal yang serupa? Diawalkan dari Jun kepada Mac 2009. Seragam!

Kalaulah peralihan kuasa Wanita kekal pada Jun 2009, ertinya Naib Ketua Wanita, sama ada Shahrizat atau Kamilia, atau siapa-siapa saja) akan memangku jawatan tersebut selama lebih kurang tiga tahun sehingga pemilihan mendatang. Berketuakan seorang pemangku dan penjawat hakiki tidak sama 'bisanya'. Bagi pengikut yang banyak 'songeh' akan menyulitkan si pemangku untuk mentadbir, sedangkan cabaran yang menanti khususnya PRU-13 lebih berat. Mampukah pemangku jawatan Ketua Wanita untuk bergerak kemas dan lancar seperti yang sepatutnya?

Bagi ahli wanita peringkat akar umbi mempersoalkan, apakah muslihat Ketua Wanita sekarang mengekalkan tempoh peralihan kuasa selepas tiga bulan berlakunya pemilihan? Adakah Ketua Wanita masih mengharapkan, Presiden parti yang baru, Najib yang juga akan menjawat jawatan Perdana Menteri akan melantik kembali Ketua Wanita sebagai menteri kabinet? Kalau bukan itu andaian alasannya, maka apa pula logiknya bulan Jun? Mac dan Jun hanya senggang tiga bulan saja. Lebih baiklah alih kuasa itu pada Mac juga seperti mana Presiden, Ketua Pemuda, dan Ketua Puteri.

Biarlah bermula pada Mac 2009, barisan kepimpinan Umno di peringkat pusat membariskan pemimpin baru, walaupun mereka bukanlah 'muka baru'. Hanya baru dari segi jawatan saja.

Rata-rata akar umbi berpendapat, Tan Seri Ketua Wanita lebih wajar melepaskan jawatannya pada mac 2009 nanti. jangan pula sampai ia ditentang oleh Shahrizat yang memang sudah cukup pencalonan bagi jawatan Ketua. Bukan mustahil Shahrizat boleh menumbangkan Tan Seri Ketua, kerana angin perubahan semakin kuat bertiup. Ia ditambah lagi dengan kekuatan yang ada pada Kamilia yang tidak boleh dipandang kecil. Malah Kamilia sudah membuat pendirian bahawa beliau tetap akan bertanding untuk jawatan Naib Ketua pada mac mendatang. Ertinya, Shahrizat akan tersepit. Daripada tersepit, lebih baiklah Shahrizat membuat keputusan bagi menentukan masa depan politiknya. Kalau beliau tidak bertanding untuk jawatan nombor satu, ia dilihat lemah dan takut oleh akar umbi. Kalau ia dilihat lemah, bukan mustahil pula penyokongnya beralih arah untuk menyokong Kamilia. Kalau penyokong Shahrizat berpaling tadah, peluang Kamilia lebih cerah untuk jawatan Naib Ketua. Dan kalau Kamilia sudah jadi Naib Ketua maka dialah yang akan menerima tanggungjawab Pemangku Ketua Wanita yang akan diserahkan oleh Rafidah pada Jun.


Lainlah pula kalau pada Jun nanti Rafidah tak jadi nak serahkan kuasa kepada Naib Ketua. Jawabnya, malapetaka lebih buruk akan menimpa Umno keseluruhannya, lebih-lebih lagi menjelang PRU-13. Ia hanya gara-gara 'isu tiga bulan'.


NGUPINGTRUS : Serahkan sajalah Kak Fidah. Kalau Presiden sanggup, takkan Kak Fidah tak sanggup melakukannya.

JANGAN JADIKAN LAGU NEGARAKU PERISAI DEMONSTRASI


Kekadang, bahan kelakar ni bukan saja datang dari insan seni yang namanya pelawak, atau pun hasil karikatur yang dilakar oleh kartunis.


Bagi Penulis, berita di mana seramai 24 aktivis yang berhimpun beramai-ramai sebagai mengingati ulangtahun 'Bersih' pada 9 November lalu di Petaling Jaya, Selangor turut menggeletek perasaan. Cerita berhimpun itu hanya perkara biasa, lebih-lebih lagi kepada aktivis pembangkang, tetapi dakwaan tangkapan sewaktu menyanyi lagu Negaraku itu yang mencuit hati. Keh! Keh! Keh! Keh! dibuatnya.


Menurut Jurucakap Sekretariat Bersih, Sdr.Faisal Mustaffa, 24 aktivis yang ditahan itu ketika sedang bersemangat menyanyikan lagu Negaraku. Lagu Kebangsaan. Tambahan lagi tangkapan oleh Polis dibuat ketika nyanyian sampai kepada rangkap 'Raja Kita Selamat Bertakhta'. Menurut Faisal lagi, beliau sangat sedih kerana pihak Polis menangkap sewaktu menyanyikan rangkap itu. Ia menunjukkan bahawa pihak Polis telah mencemarkan kedaulatan raja.


Kah! Kah! Kah!


Nasib baik juga pihak Polis tidak menangkap sewaktu mereka menyanyikan rangkap 'Rahmat Bahgia Tuhan Kurniakan'. Kalau pada rangkap ini, pasti Faisal akan mendakwa bahawa pihak Polis tidak menghormati Tuhan. Ertinya, bagi anggota Polis beragama Islam, tidak menghormati Allah s.w.t., sementara anggota Polis yang bukan beragama Islam, mereka juga tidak menghormati Tuhan mereka! Itu yang Penulis tergelak.


Itu pun mujur juga mereka sedang menyanyikan lagi Negaraku. Kalau nampak saja anggota Polis datang untuk menangkap, para demonstran beragama Islam mula membaca Al-Quran atau Surah Yasin, atau buat Tahlil, lagi haru-biru. Sudah pasti pihak Polis didakwa menghina agama Islam. Pasti tajuk berita dalam akhbar tabloid mereka akan lebih hangat lagi, "Anggota Polis Menghina Islam" atau "Polis Kerajaan Islam Hadhari menghina Islam".


Justru itu Penulis nak sarankan kepada kepimpinan Sekretariat Bersih. Lain kali, kalau nak demo lagi, minta mereka bawa Al-Quran (bagi Islam), Bible (bagi Kristian) dan lain-lain kitab sesuai dengan agama mereka. Baru lebih 'kaw'. Polis pun mungkin tak berani nak tangkap!


Seperkara lagi, kalau tak salah ingat dan tak salah dengar, Tony Pua (ahli parlimen Petaling Jaya Utara) sewaktu diwawancara oleh pihak media, beliau menyatakan pihak Polis menangkap para demonstran sewaktu lagu Negaraku dinyanyi pada senikata 'Rahmat bahgia'. Tetapi Faisal mendakwa pada senikata 'Raja Kita Selamat Bertakhta'. Entahlah, siapa yang betul, siapa yang bohong. Kalau Faisal bercakap benar, ertinya Tony Pua berbohong. Kalau Tony Pua bercakap benar, ertinya Faisal yang berbohong. Atau kedua-duanya bercakap benar kerana waktu waktu Polis menangkap Tony Pua, ia sedang menyanyikan bait berkenaan sedangkan sewaktu menangkap Faisal, dia sedang menyanyikan bait yang lain. Atau kedua-duanya berbohong. Semuanya serba mungkin!


Merujuk sepertimana laporan dalam Harakahdaily 11 November, tulisan Wan Nordin Wan Yaakob, bagi mengulas dakwaan Ketua Polis Selangor tentang insiden tersebut, Faisal dipetik sebagai berkata, "Ketua Polis Selangor tidak layak menjadi seorang yang berpangkat di dalam organisasi Polis terutamanya di negeri di bawah jajahan takluk kerajaan Pakatan Rakyat".


Penulis sebenarnya hiba bercampur lucu memikirkan tahap pemikiran Sdr.Faisal. Beliau kelihatan angkuh terhadap penguasaan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, sedangkan baru memerintah sekitar 8 bulan. Dia tak tau ke bahawa negeri Selangor tu salah sebuah negeri yang berada dalam Malaysia, dan negara Malaysia masih diperintah oleh Kerajaan Barisan Nasional.


Dalam hal perhimpunan haram ni kita seharusnya berfikiran waras, rasional dan matang. Kita persoalkan, apa perlunya perhimpunan Bersih itu disambut ulangtahunnya? Atau, kalau nak sambut juga, minta izin dengan kerajaan Selangor untuk gunakan Stadium di Selangor. Nah, berdemolah dalam stadium tu. Nak menjerit ke, nak nyanyi lagu Negaraku ke, nak buat konsert tunjuk punggung ke ..... Buatlah. Lupa ke Faisal bahawa awak tu dah memerintah kerajaan Selangor. Bukan pembangkang. Kerjanya dok asyik berdemo saja, bila nak buat kerja lain?


Tunjukkan prestasi yang baik dalam memerintah. Bantu MB Selangor tu. Kalau rekod cemerlang, PRU 13 nanti rakyat akan sokong lagi. Takut-takut nanti, PR jadi kerajaan di Selangor hanya sepenggal saja. Bunga-bunga ke arah itu sudah ada.


Untuk Faisal, nasihatkan kawan-kawan tu supaya buat kerja lain yang lebih banyak di atas dunia ini. Jaga anak bini lebih baik daripada terus menerus berdemo. Penulis yakin, pihak Polis akan tetap bertegas dalam menjaga ketenteraman awam. Walaupun didakwa bahawa demo tersebut secara aman, tetapi ia boleh mengundang perkara-perkara yang negatif di sampingnya.


NGUPINGTRUS : Jangan jadikan lagu Negaraku sebagai perisai untuk menghalalkan demonstrasi.