Aneh bin Ajaib juga ya! Tanggal 16 September berlalu begitu saja walaupun ada rakyat Malaysia ternanti-nanti dengan sedikit debaran. Maklumlah, Amerika pun dah tahu kerajaan BN Malaysia akan ditumbangkan oleh Mr.DSAI. Disebut juga tanggal tersebut akan melakarkan satu peristiwa penting dalam lipatan sejarah negara Malaysia tercinta ini. Namun ia berlalu begitu saja! Tidak ada perkara aneh berlaku. Tanggal 16 berlalu, berganti dengan tanggal 17. Seterusnya tanggal 18 dan begitulah selanjutnya!
Sebelumnya, Mr.DSAI berucap berapi-api di mana juga pentas. Bukan saja pentas dalam negeri, malah di luar negeri juga bahawa tanggal 16 beliau akan jadi PM Malaysia yang baru. Di Dewan Rakyat, beliau akan duduk di kerusi PM. Tidak lagi di kerusi yang beliau duduk sekarang. PM Pak Lah pula akan bertukar mengambil alih kerusinya sebagai Ketua Pembangkang. Beliau akan dinobatkan dengan gelar Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Kit Siang pula disebut-sebut akan bergelar YAB Lim Kit Siang, Timbalan Perdana Menteri. Begitulah ceritanya yang dendangkan sejak PRK Permatang Pauh.
Makanya suku sakat Parti Keadilan Rakyat yang sama-sama duduk sebumbung dalam Pakatan Rakyat (PR) percaya habis! Masing-masing sudah berkira-kira nak duduk di blok mana dan bangunan mana di Putrajaya nanti. Walaupun masih ada suku sakat yang tak yakin dengan dakwaan Mr.DSAI itu, namun suaranya tenggelam dek suara-suara yang mempercayainya.
Cikgu Pa Ali Terengganu kena 'marah' oleh Mursyidul Am PAS gara-gara tanggal 16 September.
Bagi kumpulan Endorgan dalam PAS pula, mati balik hidup sangat yakin tanggal tersebut adalah tanggal keramat. Mereka cukup meluat dengan sanggahan dari Cikgu Pa. Dan bila Cikgu Pa kena 'marah' dengan Mursyidul Am, baru mereka puas hati. Senyum sinis mereka pada Cikgu Pa.
Alkisah apabila tanggal 16 kerajaan baru tidak bertukar, Mr.DSAI beri alasan. Sepatutnya dah jadi, tapi Pak Lah bawak lari Ahli Parlimen BN ke Taiwan. Kerana itu, Mr.DSAI hantar pula Group Mission Impossible yang diketuai oleh Pengarah Strategik PKR Mr.Saifuddin Nasution untuk menjejaki puak-puak MP BN di sana. Tapi mereka ibarat Lebai Malang. Mereka ke sana, MP BN balik ke Malaysia. Selisih kapalterbang. Walaupun Mr.Tian Chua kata ada jumpa MP BN, tapi dinafikan oleh MP BN. Akhirnya Tian Chua kena 'marah' oleh DSAI kerana 'lebih sudu dari kuah'.
Bila usaha Mission Impossible tak berjaya, Mr.DSAI berusaha pula mendesak supaya Pak Lah mengadakan Sidang Dewan Rakyat Khas untuk membolehkan Pakatan Rakyat mengemukakan undi tak percaya kepada PM sekaligus menukar kerajaan. Mr.DSAI kata mereka sudah cukup orang untuk menukar kerajaan setelah lebih dari 30 MP BN bersetuju untuk melompat ke PR.
Pak Lah kata tidak sebab untuk adakan Sidang Dewan Khas. Tunggu sajalah 13 Oktober nanti Dewan Rakyat akan bersidang lagi.
Nah! hari ini 13 Oktober. Dewan Rakyat bersidang lagi. Mr.DSAI seharusnya menggunakan sidang pada hari ini untuk mengemukakan undi tak percaya kepada PM. Peluang dan ruang pada hari ini cukup baik sebagai medan Mr.DSAI mencapai cita-citanya.
TETAPI sehingga ke saat tulisan ini dimuatkan dalam blog ini, tidak ada apa-apa benda pelik terjadi di Parlimen. Tak taulah kalau esok, atau lusa, atau tulat, atau tubin atau bila-bila. Yang jelas adalah sewaktu berucap dalam Ceramah Perdana Idilfitri di Padang Perdana, Kelantan baru-baru ini, Mr.DSAI memujuk hati orang Kelantan, "Puluhan tahun kita sanggup tunggu, takkan hendak tunggu sekejap lagi pun tidak boleh", katanya.
Namun, apabila ditanya oleh pemberita di Kota Bahru pada Jumaat lepas, Mr.DSAI meletakkan sasaran baru tarikh pertukaran kerajaan, yakni sebelum Hariraya Aidil Adha, Disember nanti. Tarikhnya tidak dinyatakan.
Yang terbaru, dalam majlis rumah terbuka PKR yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kg.Baru, Kuala Lumpur pada 12 Oktober lalu Mr.DSAI mendakwa, "Saya tidak akan sebut (tarikhnya). Pada ketika yang sesuai .... kita akan menyaksikan perubahan. Kalau rakyat mahukan perubahan ... tidak ada kuasa yang boleh menghalang dan menahan", katanya.
Itulah Mr.DSAI! Beliau memang bijak melakukan provokasi dan bermain dengan sentimen masyarakat. Apatah lagi pidato! Beliau memang petah berpidato. Mengolah bahasa. Mengolah cerita. Orang yang mendengar pidatonya confirm akan melopong mulut. Walaupun cerita itu dah jelas tak betul!
Kapan lagi Mr.DSAI!
Penulis, 101 peratus setuju denganmu duhai Mr.DSAI. Kalau rakyat mahukan perubahan ... tidak ada kuasa yang boleh menghalang dan menahan. Tapi jangan lupa, semua ketentuannya diqudrat Allah swt jua! Kalau Allah berkehendakkan, tidak ada kuasa yang boleh menahannya. Dan kalau Allah swt tidak berkehendakkan, buat macamana pun takkan terjadi.
NGUPINGTRUS : Allah swt berkehendakkan Pak Lah jadi PM selepas Tun Mahathir, maka jadilah ia, walaupun Mr.DSAI telah pernah memangku jawatan PM, tetapi Allah swt tidak berkehendakkan beliau maka beliau tak jadi PM.
No comments:
Post a Comment