Tuesday, October 21, 2008

MAT JENIN OH! MAT JENIN




Hmmmm alahai !! Dalam membelek-belek keratan Harakahdaily yang lama, terjumpalah dua artikel lama, pertama pada 7 September 2008 dan satu lagi 16 September tahun yang sama. Walau pun kedua-dua artikel tersebut bukan terbaru tetapi bukan juga terlalu lama. Dalam bulan Ramadhan baru lalu.


Artikel 7 September bertajuk "86 peratus yakin Anwar mampu bentuk kerajaan 16 September", ditulis oleh Sdr.Suhaimi Taib. Suhaimi memetik dari sebuah laman sebuah politik KL Pos yang memaparkan angka tersebut hasil dari tinjauan pendapat awam, sementara 14 peratus lagi tidak bersetuju Anwar mampu bentuk kerajaan pada tarikh itu.

Penulis tidak mempersoalkan dari segi kesahan dan kebolehpercayaan (validity & reliability) tinjauan tersebut. Berapa orang responden, siapakah gerangan sampel dan sebagainya lagi bukan perkara nak dibahaskan. Namun itulah angka yang diperolehi oleh pengkaji.


Kalau dilihat dari segi peratusan, angka tersebut sebenarnya terlalu tinggi sebagai satu ukuran kepada tahap sokong dan tak sokong. Erti kata lain, tidak ada alasan Anwar tidak bentuk kerajaan pada 16/9 lalu.

Akhirnya 16/9 berlalu begitu saja. Anwar masih sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Itu berita sahih. Pada sidang dewan 13 Oktober lalu, Anwar masih duduk di kerusi Ketua Pembangkang. Tidak di kerusi Ketua Kerajaan alias Perdana Menteri. Masih belum layaklah dia di panggil Yang Amat Berhormat.


Bagi Penulis, kalau nak terbalikkan hasil kajian tersebut mudah saja. Ceritanya boleh bertukar jadi begini, "86 peratus dibohongi oleh Anwar pada 16 September". Hanya 14 peratus sahaja yang tidak termakan pembohongan Anwar. Itu termasuklah Datuk Mustapa Ali dan Penulis sendiri!


Sementara artikel kedua pada 16 September pula adalah "Tukar kerajaan bukan angan-angan Mat Jenin - Nik Aziz" yang ditulis oleh Muhammad Yusri Amin.



Yusri memetik Nik Aziz sebagai berkata, "Usaha ke arah membentuk kerajaan baru 16 September dengan diketuai oleh Parti Keadilan Rakyat tidak boleh disifatkan sebagai angan-angan Mat Jenin". Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Nik Aziz ketika menjawab soalan wartawan selepas perasmian Sambutan ulangtahun ke-18 Tabung Serambi Mekah pada 16 September 2008 di Kota Bahru.


Apa dah jadi ni Tok Guru? Tok Guru sindir sapa sebenarnya?

Yang bawak cerita Mat Jenin berhubung dengan 16/9 tu sebenarnya Datuk Seri Haji Hadi. Presiden PAS. Tok Guru jugak!

Ia timbul semasa Muktamar PAS pertengahan Ogos 2008 di Ipoh. Pada masa yang sama kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh sedang rancak berjalan. Anwar, dalam ceramah-ceramahnya berjanji dengan para pengundi, setelah menang di Permatang Pauh beliau akan membentuk kerajaan baru Pakatan Rakyat pada 16 September 2008. Pengganti Pak Lah adalah beliau sendiri.

Oleh kerana orang yang akan menjadi PM itu adalah Anwar, maka ahli-ahli PAS termasuk perwakilan dalam Muktamar jadi bising. Kenapa pulak Anwar yang akan jadi PM? Sedangkan beliau masih berdepan dengan berbagai tuduhan di mahkamah. Belum tentu lagi beliau akan terlepas dari tuduhan dan perbicaraan.

Maka timbullah suara-suara, bahawa Presiden PAS lebih layak jadi PM. Kenapa nak serah kepada Anwar. Dalam PRU-12 dulu pun, bala tenteranya banyak orang PAS. Pemuda PAS. Orang PAS memang tahan banting. Orang PKR hanya kelompok elit dan tak tahan banting.


Apa kurangnya Hj.Hadi? Atau Nik Aziz? Mereka ini tidak ada isu peribadi. PAS nak tukar pemerintahan negara ini kepada cara Islam. Hj.Hadi dan Nik Aziz lebih tau tentang Islam berbanding Anwar. Anwar hanya lebih pidatonya saja. Bla! Bla! Bla! dan bla!


Itu suara dalam Muktamar PAS. Malah ada yang menyuarakan PRK Permatang Pauh perlu diboikot saja oleh PAS.


Maka, atas kehangatan isu-isu berkenaannya, Hj.Hadi kata dia tak mau jadi ahli politik Mat Jenin. Belum apa-apa lagi, belum menang lagi, belum memerintah lagi dah bincang macam-macam.

Ungkapan itu dikeluarkan oleh Hj.Hadi dalam sidang media yang diadakan. Semua orang tau sebab disiarkan oleh surat khabar dan tv. Haji Hadi kata, "Tulis perkataan Mat Jenin tu". "Tau tak cerita mat Jenin"? tanya Haji Hadi kepada para wartawan.

"Mat Jenin ni kerjanya panjat pokok kelapa. Dia berangan-angan nak kawin dengan anak raja sedangkan duit tak ada. Jadi, dia pelihara ayam. Ayam dah biak dan banyak, jual ayam beli kambing. Kambing biak dan banyak, jual kambing beli lembu. Akhirnya jual lembu untuk beli kapal. Dah ada kapal, bolehlah kawin dengan anak raja. Seronoknya lepas kawin dengan anak raja, sehingga lupa bahawa pada waktu itu dia berada di atas pokok kelapa. Tangan terlepas dari memeluk pokok kelapa. Apa lagi, Mat Jenin terjatuh!" (cerita ini dipanjangkan oleh Penulis. Hj.Hadi tidak menyudahkan cerita Mat Jenin itu).

Tup, tup, Datuk Nik Aziz bawa pulak cerita Mat Jenin yang kontradik dengan Hj.Hadi !! Lebih ironis lagi apabila Nik Aziz menyatakan, "Ini kerana istilah angan-angan Mat Jenin itu tidak ada pada orang politik".

Terlupakah Nik Aziz bahawa orang yang menyebut cerita Mat Jenin terhadap pembentukan kerajaan baru 16/9 itu adalah Hj.Hadi. Presiden PAS?

Tak terfikirkah Tok Guru, konotasi dakwaannya itu adalah 'Hj.Hadi itu bukan orang politik!' Kalau Haji Hadi bukan orang politik, buat apa pulak dia dilantik memimpin parti PAS? Tidakkah PAS itu sebuah parti politik? Atau orang tersalah pilih pemimpin?

Dulu Mustapa Ali dianggap telah tersalah pilih oleh orang PAS Terengganu sebagai Pesuruhjaya. Kini Haji Hadi pula! Malang sungguhlah orang Terengganu.

Lebih malang lagi ahli dan penyokong PAS. Berada dalam sebuah parti politik yang dah berusia hampir setengah abad tetapi berketuakan seorang yang bukan orang politik.

Mungkin juga Nik Aziz tak berapa suka kepada Hj.Hadi. Mungkin Nik Aziz selaku Mursyidul Am lebih cocok dengan Husam. Bukan kerana Hj.Hadi tak Islamik atau Husam lebih reti Islam. Mungkin kerana Hj.Hadi tak berapa suka kepada Anwar. Bagi orang politik macam Nik Aziz dia lebih faham bahawa politik itu adalah Art of possibility.

Rupa-rupanya kisah 16/9 lebih kurang sama saja dengan cerita God Must Be Crazy!

Cerita God Mus Be Crazy (GMBC) mengisahkan seorang penyelidik yang menaiki kapalterbang kecil melalui kawasan padang pasir. Sewaktu berada rendah di udara, penyelidik tadi telah melemparkan botol minuman coca-cola yang telah habis diminumnya keluar melalui tingkap kapalterbang. Kaca botol minuman tersebut jatuh di kawasan perkampungan orang asli di padang pasir tersebut, dan kebetulan terjatuh berhampiran kawasan sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain.

Melihatkan 'benda' pelik tersebut, mereka berebut untuk memegangnya. Oleh kerana tak mau terlepas ke tangan orang lain, kanak-kanak yang sedang memegang botol itu mengetuk kepala rakannya yang hendak merebut darinya. Kanak-kanak yang kena ketuk jatuh pingsan.

Gara-gara berebutkan botol coca-cola, hampir sebuah kampung berbalah.

Lebih kurang jugalah dengan cerita 16/9. Hanya kerana ada yang percaya dan ada yang tidak percaya, kepimpinan dalam PAS saling sindir menyindir, walaupun tidak sampai ke tahap pukul kepala seperti kanak-kanak orang asli di padang pasir dalam cerita GMBC. Sindir-menyindir tu bukan Ketua Cawangan. Tidak juga Ketua Kawasan. Tetapi Mursyidul Am dengan Presiden.

NGUPINGTRUS : Akhirnya Datuk Seri Mat Jenin jatuh dari pokok kelapa bersama juak-juaknya. Yang terselamat Datuk Seri Presiden and the gang. Siannnnnnnn!! Datuk Seri Mat Jenin.

3 comments:

Anonymous said...

Memang begitulah DSAI , malah selepas ini, banyak lagi tempat tinggi yang akan diumumkan untuk tujuan "JATUH" dan DSAI tidak pun atau tidak perlu risau, kerana pengikutnya sememangnya telah mendewakannya, buktinya kewujudan replikanya di Batu Caves Selangor baru-baru ini. Apa yang mustahak sekarang ialah buat janji banyak-banyak kepada penyokongnya dahulu, ialah selagi belum jadi PM ni.

Anonymous said...

Yang peliknya, orang-orang PAS termasuk pemimpin PAS termakan dengan dakwaan DSAI tu. Apa punya cara berfikir daaaaa. Kalaulah didapati DSAI bersalah dalam kes liwat Saiful nanti, mana nak taroh muka puak-puak PAS ni, dok beriya-iya mempertahan dan mengampu buntut DSAI tu.

Anonymous said...

Cerita belum tamat lagi. Nanti kita lihat siapa yang kena sebenarnya. Seni politik seni yang khusus untuk ahlinya sahaja.