Saturday, December 6, 2008

MAT SABU : IDOLA MURSYIDUL AM PAS

”Saya gemar kepada Mat Sabu”, kata Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am Pas. Beliau dipetik sebagai berkata demikian oleh wartawan sebagaimana yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia 4 Disember lalu.

Nik Aziz mengulas apabila ditanya siapakah yang akan ditonjolkan oleh Pas untuk bertanding dalam Pilihanraya Kecil (PRK) di kawasan Parlimen Kuala Terengganu berikutan meninggalnya Dato’ Razali Ismail, Ahli Parlimen Kuala Terengganu pada 28 November lalu.

Mengulas lanjut mengenai perkara sama, Nik Aziz berkata, ”Bagaimana pun ini merupakan pendapat peribadi saya, pimpinan parti masih belum bermesyuarat untuk memutuskan calon ......”.

Rupa-rupanya, baru beberapa bulan saja Nik Aziz sudah lupa apa yang telah diungkapkan beliau kepada Datuk Mustapa Ali, Pesuruhjaya Pas Terengganu berhubung dengan komentar Mustapa terhadap isu Anwar Ibrahim nak menggulingkan kerajaan BN pada 16 September 2008.

Dalam mengulas dakwaan Anwar tersebut Mustapa secara peribadi menyatakan bahawa tanggal 16 September tak mungkin kerajaan BN akan berjaya digulingkan oleh Anwar. Hujah diberikan oleh Mustapa berdasarkan pengalaman luasnya dalam kaedah politik demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

Mengetahui komentar tersebut, lantas Nik Aziz telah menegur Mustapa secara terbuka. Mustapa dianggap tidak faham bahawa walaupun beliau memberikan pendapat peribadi namun pada masa yang sama Mustapa juga adalah Pesuruhjaya Pas Terengganu. Pada diri Mustapa tidak boleh dipisahkan kata-kata bersifat peribadi dan atas sifat seorang Pesuruhjaya Pas Negeri.

Nik Aziz menyifatkan bahawa orang Pas Terengganu telah tersalah pilih seorang pesuruhjaya. Bagi Nik Aziz, Mustapa tak layak memegang jawatan Pesuruhjaya Pas Terengganu. Lebih ironis lagi, suara Mustapa dianggap senada dengan suara Umno dalam isu 16 September.

Demikian prestasi Mustapa Ali dari kacamata Nik Aziz. Malang Mustapa!

Tetapi dalam isu calon Pas untuk PRK Parlimen Kuala Terengganu, Nik Aziz telah memberikan pandangannya secara peribadi bahawa orang yang paling sesuai adalah Mat Sabu. Menurut Nik Aziz, Mat Sabu merupakan calon kegemarannya untuk Kuala Terengganu. ”Saya gemar kepada Mat Sabu”, katanya.

Nik Aziz mungkin terlupa bahawa dalam memberikan pendapat peribadi, beliau juga adalah Mursyidul Am Pas. Nik Aziz juga mesti ingat bahawa pandangan peribadinya itu, adalah juga pandangan Mursyidul Am. Jadi, kalau dah suara itu daripada Mursyidul Am, takkan Presiden dan kepimpinan Pas yang lain nak ingkar terhadap suara Mursyidul Am. Dalam haeraki Pas, Mursyidul Am duduk lebih tinggi daripada Presiden.

Kalau pandangan Mursyidul Am diabaikan, nanti boleh ditafsirkan bahawa Pas sudah mula meminggirkannya. Nanti boleh juga diandaikan bahawa soksek-soksek tentang Nik Aziz kononnya sudah tidak disenangi oleh ADUN Pas di Kelantan mungkin ada benarnya?

Walau pun demikian, berita yang agak mengejutkan apabila mendengar cakap-cakap di warung kopi di Cabang Tiga Kuala Terengganu, mungkin Datuk Nik Aziz tak suka dengan Cikgu Pa (Datuk Mustapa Ali) jadi calon bagi parlimen Kuala Terengganu kerana kes 16 September. Sebab itulah, awal-awal lagi dia lonjakkan Mat Sabu.

Lagi pun Mat Sabu dianggap oleh Nik Aziz sebagai idolanya dalam soal kepetahannya berceramah. “Walaupun saya dah lama menjadi penceramah, lidah saya masih tidak sehebat dia, puji Nik Aziz kepada Mat Sabu.

Bertuahnya Mat Sabu menjadi orang yang disenangi oleh Mursyidul Am!

NGUPINGTRUS : Datuk Pa Ali tak mungkin ‘berani’ memulangkan paku buah keras kepada Mursyidul Am Pas. Mungkin masih rasa hormat kepada orang tua!

3 comments:

Anonymous said...

Nik Aziz terpaksa menganggap Mat Sabu sebagai calon Idolanya kerana.... Nik Azizlah yang membantu Mat Sabu dalam kes Khalwatnya.... dan juga kambing hitam nombor satu.... bacalah lagi

KESILAPAN NIK AZIZ - ISU CARUT

Pada pandangan saya, kesilapan pertama yang dilakukan oleh Haji Nik Aziz ialah beliau berijtihad di tempat yang ada nas. Ini menyalahi manhaj ijtihad yang disepakati oleh para ulama. Khalifah Umar Bin Abdul Aziz menyatakan: "Tidak boleh berijtihad apabila terdapat Sunnah Rasulullah S.A.W. Menurut Imam Syafiei: "Seluruh ulama telah ijma'(sepakat) mengatakan bahawa apabila terdapat Sunnah yang jelas daripada Rasulullah S.A.W., maka tidak harus sesiapa meninggalkan beramal dengan Sunnah tersebut untuk mengambil pendapat orang lain" (lihat Ibnu al-Qayyim, I'laam al-Muwaqqi'in jld. 4).

Kesilapan kedua ialah: Cara istidlal atau berdalil yang beliau gunakan tidak mengikut mana-mana kaedah yang diterima oleh para ulama mujtahid seperti yang terdapat dalam ilmu Usul alFiqh. Umat Islam dilarang menggunakan fikiran semata-mata tanpa mengikut kaedah yang sah dalam soal pengambilan hukum seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah dalam sebuah Hadis yang bermaksud: "Umatku akan berpecah kepada lebih daripada tujuh puluh puak; yang paling besar kerosakannya ialah golongan yang memakai kias dalam menentukan agama dengan menggunakan fikiran mereka semata-mata. Melaluinya mereka mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, dan menghalalkan apa yang diharamkan olehnya". Saidina Umar Bin al-Khattab berkata: "Sesungguhnya mereka yang menggunakan fikiran semata-mata (dalam menentukan hukum-hukum agama) merupakan musuh pada Sunnah. Mereka tidak mengetahui Hadis-Hadis dan tidak pula mengingatinya, Ialu mereka mengeluarkan pendapat dalam hukum agama dengan fikiran semata-mata" (Ibid, jld. 1).
Dalam menyokong fatwanya bahawa:"Islam tidak melarang umatnya mencarut asalkan kena pada tempatnya", beliau berhujah: "Allah sendiri gunakan perkataan memaki, mencemuh atau mencarut, jadi manusia sendiri berpeluang mengunakan maki hamun, tetapi terserahlah kepada manusia dimana tempatnya"(Utusan Malaysia, Rabu 28 April 1999). Ada beberapa pemerhatian yang ingin saya bangkitkan mengenai hujah tersebut. Pertamanya, kita Umat Islam diperintahkan mengikut apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang oleh Allah S.W.T.; bukan melakukan apa yang Allah lakukan. Dalil mengenainya terlalu banyak sama ada dalam Quran mahupun Sunnah dan diketahui umum. Sebelum ini saya telah memetik nas-nas yang jelas daripada Quran dan Sunnah yang melarang umat Islam memaki, mencarut dan mengucapkan kata-kata yang kotor.

Pemerhatian saya yang kedua ialah mengenai kaedah yang beliau gunakan, iaitu "manusia boleh melakukan apa yang Allah lakukan". Apa yang disebutkan itu tidak terdapat dalam kaedah-kaedah pengambilan hukum yang digunakan oleh para mujtahid. Menggunakan kaedah seperti ini boleh menjerumuskan seseorang ke lembah dosa besar, malah boleh membawa kepada syirik. Misalnya, dalam Quran Allah bersumpah dengan makhluk, seperti: "Demi masa", "Demi waktu fajar", "Demi matahari" dan sebagainya; sedangkan manusia dilarang bersumpah dengan mahkluk, malah ianya termasuk dalam dosa besar seperti yang dinyatakan dalam Sabda Nabi yang bermaksud: "Barang siapa bersumpah dengan yang lain daripada Allah, maka sesungguhnya ia telah melakukan perbuatan kufur dan syirik"(al-Tirmizi). AlQuran menerangkan bahawa: Allah menghalal dan mengharamkan sesuatu; menyembuhkan penyakit; memberi pemerintahan kepada orang yang dikehendakinya; memberi hidayat kepada orang yang dikehendakinya; memasukkan orang dikehendakinya ke dalam syurga atau ke dalam neraka dan seterusnya. Apakah manusia juga boleh melakukan perkara-perkara di atas kerana Allah boleh melakukannya? Tidakkah ini syirik namanya?

Dalam mempertahankan fatwanya, Haji Nik Aziz membawa sebuah Hadis yang bermaksud: "Berakhlaklah kamu dengan akhlak Allah". Penggunaan Hadis ini memperlihatkan bahawa fatwa telah dikeluarkan terlebih dahulu sebelum mencari dalilnya. Ini ialah kerana Hadis yang disebutkan itu bukan sahaja tidak menunjukkan keharusan mencarut, malah penggunaannya tanpa kefahaman yang betul boleh membawa satu kesalahan lain yang lebih besar. Hadis di atas perlu difahami bersama dengan sebuah Hadis lain yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mempunyai seratus tujuh belas akhlak (sifat); sesiapa yang berakhlak dengan salah satu daripadanya, ia akan masuk syurga" (al-Baihaki dan al-Tirmizi). Imam Ghazali dalam kitabnya "al-Maqsid al-Asna Fi Syarh al-Asma' al-Husna" telah membuat huraian yang agak panjang tentang maksud kedua-dua Hadis ini, kerana kesalah fahaman tentang pengertiannya boleh membawa kepada syirik.


Menurut al-Ghazali, maksud daripada Hadis di atas ialah: seseorang hamba itu hendaklah berusaha menghayati makna yang sesuai dengan makhluk daripada makna sifat-sifat Allah (al-Asma' al-Husna) supaya dengan itu ia dapat mencapai mertabat 'rabbaniy', yakni hampir dengan Allah. Misalnya, penghayatan seseorang hamba daripada sifat "Arrahim" ialah kasih sayang dan belas kasihan terhadap sesama makhluk. Oleh itu Hadis di atas sama sekali tidak boleh dijadikan dalil bagi keharusan mencarut atau memaki, kerana ini membawa makna bahawa antara akhlak atau sifat Allah itu ialah "Pencarut" dan "Pemaki" (Maha Suci Allah daripada sifat-sifat kekurangan yang tidak layak dengan keagungan, kebesaran dan kesempurnaanNya). Seperkara lagi yang menimbulkan kemusykilan ialah Haji Nik Aziz tidak menjelaskan tempat dan keadaan bagaimanakah seseorang itu diharuskan mencarut. Perkara ini perlu dijelaskan dan tidak boleh diserahkan kepada sesiapa sahaja menentukannya, kerana ia adalah masalah hukum syarak. Imam Ghazali ketika membicarakan mengenai hukum berdusta menjelaskan keadaan di mana seseorang itu harus berdusta dengan dalilnya sekali (lihat al-Ehya' jld. 3).

Oleh kerana fatwa beliau timbul daripada soalan tentang novel yang ditulis oleh Shannon Ahmad, dan novel tersebut jelas membicarakan suasana politik semasa; bolehkah kita mengatakan bahawa kata-kata maki hamun dan carut yang terdapat dalam novel tersebut ditujukan kepada golongan pemerintah yang ada pada hari ini ? Dan inikah tempat yang dikatakan mencarut dan memaki itu harus dalam Islam ? Maka bagi menguji kebenaran fatwa Haji Nik Aziz ini, kita perlu merujuk kitab-kitab yang ditulis oleh para ulama berasaskan Quran dan Sunnah dan mereka pula tidak terlibat dalam pertikaian politik semasa serta tidak juga menjadi pemimpin mana-mana parti politik.


Buat Renungan kita bersama....

Anonymous said...

A'kum saudaraku, terima kasih atas perkongsian maklumat dan ilmu yang sangat berguna ini. Semoga akan dijadikan manfaat kepada rakan-rakan pembaca yang lain. Salam

Kassim Baba said...
This comment has been removed by the author.