Saturday, December 6, 2008

AL-FATIHAN UNTUK ALLAHYARHAM DATUK RAZALI ISMAIL

Al-Fatihah! Dengan setulus doa kehadrat Allah swt memohon agar roh sahabatku Dato’ Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajar merangkap Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang telah kembali kepangkuanNya secara mengejut pada 28 November lalu.

Pemergian Allahyarham sangat terkesan kepada warga Kementerian Pelajaran yang diketuai oleh Dato’ Seri Hishamudin Tun Hussin dan juga seluruh rakan taulan yang mengenali hati budinya semasa hayat. Apatah lagi isteri dan anak-anak serta keluarga.

Bagi warga Kementerian Pelajaran, sangat merasakan kehilangan Allahyarham yang dianggap idola kepada warga pendidik tanpa mengira batas kaum, agama dan kefahaman politik. Walaupun beliau baru sebagai Timbalan Menteri Pelajaran, kira-kira 9 bulan, selepas Pilihanraya Umum Mac dulu, namun dalam dunia kependidikan beliau telah lama, telah menjawat pelbagai jawatan. Beliau pernah jadi guru, pensyarah Maktab Perguruan, Pengetua Maktab Perguruan, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, dan Pengerusi PTPTN.

Bagi masyarakat Terengganu, lonjakan pencapai cemerlang dalam UPSR merupakan bekas tangannya semasa menjawat jawatan pengarah Pelajaran Terengganu. Hal ini diangkat bukan bererti menidakkan usaha-usaha yang telah dipelopori oleh pengarah-pengarah sebelumnya.

Peribadinya disenangi oleh masyarakat khususnya di Kuala Terengganu. Sebab itulah, dalam perkiraan orang politik, Dato’ Razali memiliki kekuatan tersendiri.

Dalam PRU 1999 kerusi parlimen Kuala Terengganu telah dimenangi oleh Dr.Syed Azman dari PAS dengan majoriti sebanyak lebih 14 ribu. Kemdian PRU 2004, calon-calon dari BN merasa ‘cuak’ untuk bertanding di Kuala Terengganu, kerana pengaruh PAS masih kuat. Apatah lagi majoriti lebih 14 ribu kepada pembangkang itu bukanlah satu kawasan berpotensi untuk menang kepada BN.

Namun kepimpinan BN memikirkan Dato’ Razali sesuai untuk mewakili BN menentang Dr.Syed Azman bagi kerusi Kuala Terengganu dalam PRU 2004 itu. Walhal, kalau diikutkan, beliau bukanlah orang yang dikenali ramai dalam bidang politik kepartian. Beliau waktu itu sebagai Pengarah bahagian Pendidikan Guru. Satu jawatan yang dikirakan sudah selesa bagi seorang penjawat awam, malah berpotensi untuk ‘keatas’ lagi.

Beliau akur dengan pilihan dan keputusan kepimpinan BN. Meletakkan jawatan, dan bertanding kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Tidak siapa menduga, sama ada BN maupun PAS. Keputusan pemilihan rakyat mengejutkan pelbagai pihak. Dato’ Razali menang dengan majoriti 1933 undi. Ertinya, ’u-turn’ sebanyak hampir 17 ribu pengundi telah memihak kepada Allahyarham. Angka minus 14 ribu bertukar jadi plus hampir 2 ribu.

Dalam PRU 2008, tsunami politik telah melanda BN. Banyak pemimpin BN ’terpukang’. 4 negeri jatuh ke tangan pembangkang sementara Kelantan gagal ditawan.

Namun, kawasan Parlimen Kuala Terengganu mencatat keputusan agak unik. Tiga dari empat kawasan DUN jatuh ke tangan PAS. Hanya DUN Bandar sahaja yang tinggal kepada BN. Wakaf Mempelam, Batu Buruk, dan Ladang semua dalam genggaman PAS. Tetapi kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang diwakili Dato’ Razali telah menang dengan majoriti 628 undi. Ia jarang berlaku.

Demikian sokongan masyarakat Kuala Terengganu kepada Dato’ Razali.

NGUPINGTRUS : Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Semoga isteri, anak-anak dan ahli keluarga Allahyarham tabah menghadapi dugaan Allah ini.

No comments: