Monday, May 18, 2009

HUJAH KETUA MUSLIMAT PAS TAK MATANG?

Hanya sedemikian sajalah daya pemikiran Ketua Dewan Muslimat Pas Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan! Menurutnya, fenomena amalan politik wang dalam Pas berpunca daripada ahli baru Pas. Ahli baru tersebut berasal daripada bekas ahli UMNO. Kenyataan beliau dipetik daripada Sinar Harian 18 Mei 2009.
Dengan hujah itu, teringat penulis kepada hujah yang diberikan oleh sebahagian ibubapa di mana anak-anak mereka terlibat dengan masalah gejala sosial --- "Anak saya ni baik, tapi dia jadi nakal macam ni sebab terpengaruh dengan kawan-kawan dia".
Ertinya, si ibubapa tadi tetap menafikan bahawa kenakalan anaknya itu bukan disebabkan tidak cukup didikan yang diberikan. Tetapi lebih meletakkan kesalahan di pihak orang lain.
Hah! Sama jugalah dengan daya fikir Wan Hasrina, gejala politik wang dalam Pas bukan disebabkan orang Pas berkenaan tidak cukup diberi tarbiyah, tetapi disebabkan oleh ahli baru Pas yang sebelumnya bekas ahli UMNO.
Menurut Sinar harian itu juga, Hasrina turut menyatakan bahawa gejala tersebut merupakan tuduhan oleh pihak yang mahu mencemarkan imej Pas yang sejak dahulu lagi dikenali sebagai sebuah parti politik yang bersih.
Beliau terlupa bahawa isu tersebut telah didedahkan oleh Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Ustaz Muhammad Daud Iraqi (Ustaz Mat Iraq). Apakah Hasrina mencurigai kredibiliti Ketua Dewan Ulamak partinya sendiri alias Ustaz Mat Iraq berbohong?
Apakah mungkin Ketua Dewan Ulamak Pas pembohong? Kalau dah Ketua Dewan Ulamak, salah satu sayap parti yang sangat disegani atas kapatisi keulamakannya, sayap-sayap yang lain mungkin lebih bobrok lagi?
Kalau ulamak sudah tidak diyakini, yang bukan ulamak macam Naib Presiden Husam dan Mat Sabu, Mahfuz Ketua Penerangan Pusat, Dr.Hassan Ali Pesuruhjaya Selangor lebih-lebih lagi turut dicurigai oleh Hasrina?
NGUPINGTRUS: Nak bagi tau kepada Wan Hasrina, pepatah orang tua kata, 'Seperti meludah kelangit, nantinya jatuh ke muka sendiri' atau 'paku dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih'. Insaflah Cik Wan oiii!

Saturday, May 9, 2009

KAK ZAH, ITULAH HAKIKAT POLITIK ...!

Saya bukan nak kata kesian, dan bukan juga nak katakan simpati kepada Ustazah Azizah Khatib Mat (Kak Zah - balu kepada Allahyarham Ustaz Alwi yang saya kenali seawal tahun 80-an), di mana sudah 'ditolak' daripada jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang dalam Muktamar Dewan Muslimat PAS Pahang kali ke-23 di Kompleks Imam Syafie, Jerantut baru-baru ini.
Kak Zah yang hampir dua dekad memegang jawatan Ketua DMP Pahang, malah pernah menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat kecundang di tangan Salmiyah Mohd Noor 45.
Menurut Kak Zah, beliau boleh menerima kekalahan tersebut, namun bimbang dengan apa yang sedang berlaku di dalam parti khususnya DMP kerana wujud unsur-unsur negatif yang dibawa pihak tertentu untuk mecorakan kepimpinan PAS.
Katanya, "Dahulu saf kepimpinan parti boleh melakukan 'syura' bagi menentukan siapa untuk memimpin tanpa wujud lobi-melobi untuk mendapatkan jawatan".
"Kini semuanya mulai berubah dan ia adalah budaya yang diimpot daripada parti lawan yang kita tentang, saya harap kepimpinan baru bertindak segera mencantas unsur tersebut sebelum ia menjadi barah," ujarnya.
Menurutnya, beliau tidak bercadang untuk memimpin DMP sampai bila-bila tetapi beliau mempunyai plan peralihan kuasa secara teratur.
Demikianlah sedikit sedutan daripada berita dalam Harakahdaily tulisan Sdr.Basiron Wahab, betapa kebimbangan yang diluahkan oleh Kak Zah terhadap tribulasi dalam perjuangan politik yang sudah menjurus ke arah kusut.
Untuk Kak Zah, demikianlah halnya tingkahlaku manusia. Walau apa pun ia bergelar, ustazah ke, ustaz ke, tok alim ke, tok jahil ke, Umno ke, Pas ke, PKR ke, DAP ke, MIC ke, MCA ke ...... apabila sudah berada dalam dunia politik dia akan mudah lupa prinsip.
Di zaman susah dengan perjuangan yang sangat berliku, Kak Zah tabah berada dalam saf kepimpinan PAS khususnya di Pahang. Dah apabila PAS sudah semakin bersinar dengan dokongan DAP dan PKR, maka ada orang lain yang tak semena-mena dan tanpa segan silu menolak Kak Zah mentah-mentah tanpa menunggu 'pelan peralihan kuasa' yang telah dirancangkan lebih awal.
Itu pun belum lagi Pakatan Pembangkang dapat memerintah Kerajaan Pusat, baru lima buah negeri saja, dah wujud lobi-melobi dan tarik-menarik. Dah mula pandai nak tonjolkan diri kononnya mereka pejuang 'asli'.
Kak Zah, mungkin itulah budaya politik yang diimpot dari Maha Guru Pakatan Pembangkang, Sdr.Anwar Ibrahim secara halus dan licik.
Kak Zah dinilai sudah tidak layak duduk dalam saf kepimpinan PAS fahaman lama warisan perjuangan bimbingan Allahyarham Ustaz Haji Alwi, Pejuang PAS yang tidak kenal erti 'kompromi' dalam soal dasar perjuangan.
Tau tak Kak Zah, bahawa Kak Zah bukan dari kelompok Erdogan!
Kalau anak-anak Kak Zah juga menurut jejak pendirian ayah mereka, mereka juga akan turut disingkirkan. Kita sama-sama lihat!
NGUPINGTRUS : Sabarlah Kak Zah! Segala keperitan perjuangan Kak Zah yang ikhlas akan mendapat ganjaran dari Allah Taala yang Maha Mengetahui akan yang tersurat dan tersirat.

Tuesday, March 3, 2009

ULAR DAN SI-ANU

Ini kenyataan Jabatan Penjara pasal dakwaan Uthayakumar, March 3, 2009 : 02.56 AM, yang dipetik daripada Agenda Daily.com

Kalau mengikut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia Isnin nampaknya perarakan para penyokong Hindraf untuk buat laporan polis Sabtu lalu dakwa tahanan ISA P. Uthayakumar tidak beri rawatan perubatan sewajarnya hanyalah untuk bikin heboh tak tentu pasal. Dalam kejadian di kawasan Balai Polis Brickfields itu pihak FRU terpaksa bertindak termasuk sembur air setelah sebilangan dari lebih 200 penyokong Hindraf itu enggan bersurai. Dalam laporan polis yang dibuat mereka menuntut Uthayakumar yang mendakwa mengidap sakit kencing manis diberi rawatan perubatan yang duperlukan. Ini setelah pada 15 Feb lalu, anggota keluarga Uthayakumar melahirkan kebimbangan tahanan itu akan kehilangan kaki kirinya akibat penyakit kencing manis kerana tidak mendapat rawatan sewajarnya daripada hospital. Kenyataan Jabatan Penjara Malaysia itu berkata tuduhan itu tidak berasas kerana sejak Uthayakumar ditahan pada 13 Dis 2007, beliau telah menerima rawatan dan pemeriksaan kesihatan lebih 40 kali dari doktor panel di pusat berkenaan, Hospital Taiping dan juga hospital lain.

Menurutnya sejak kebelakangan ini, Uthayakumar telah 18 kali enggan diperiksa, dirawat serta enggan makan ubat bagi penyakit kencing manisnya. Jabatan itu berkata tuduhan keluarga tahanan itu tidak berasas dan boleh menjelaskan imej pusat berkenaan dan ekoran itu laporan polis dibuat pada 20 Feb lalu bagi menyiasat dakwaan itu. Ia menegaskan bahawa semua tahanan termasuk Uthayakumar tidak pernah dinafikan hak mereka untuk mendapatkan kemudahan pemeriksaan dan rawatan kesihatan oleh doktor pakar. Katanya Uthayakumar dibekalkan ubat-ubatan secara berkala dari Hospital Taiping. Jabatan itu menafikan kesakitan pada jari kaki yang dialami Uthayakumar ada kaitan dengan penyakit kencing manisnya tetapi sebaliknya pemeriksaan kesihatan dan x-ray menunjukkan jari kelingking kaki kirinya mengalami keretakan kerana tersepak batu pada Januari lepas. Menurut kenyataan itu lagi , pada 31 Jan lalu, setelah mengadu sakit kaki, tahanan enggan diperiksa oleh doktor panel penjara dan enggan sekali lagi diperiksa oleh panel doktor penjara sebelum beliau diiringi ke Mahkamah Kuala Lumpur untuk perbicaraan kesnya pada 3 Feb lepas. Semasa perbicaraan tersebut, tahanan mengadu sakit dan menuduh tidak diberikan rawatan yang sempurna dan hakim mengarahkan beliau dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. Sekembalinya dari Kuala Lumpur, Uthayakumar sekali lagi enggan dirawat di Hospital Taiping yang dijadualkan pada 13 Feb lepas, tetapi setelah dinasihati oleh doktor panel penjara akhirnya beliau bersetuju untuk dirawat di Hospital Taiping empat hari kemudiannya. "Laporan perubatan oleh doktor-doktor yang merawat dan memeriksa Uthayakumar menunjukkan masalah penyakit kencing manisnya adalah tidak serius dan telah diberikan rawatan secara teratur," katanya.

Kenyataan itu juga memberitahu Pengarah Pusat Tahanan Perlindungan Taiping telah membuat laporan polis terhadap keluarga Uthayakumar kerana mendakwa tahanan itu tidak beri rawatan perubatan sewajarnya.- 2/3/2009
NGUPINGTRUS: Sebab itu orang tua-tua sudah kata, kalau jumpa ular sama Si-Anu, pukul Si-Anu dulu. Kemudian baru pukul itu ular. Si-Anu lagi kuat belit daripada ular.

Thursday, February 12, 2009

ULAR LIDI BERLAGAK NAK JADI NAGA

Penulis tertarik dengan tulisan Sdri.Intan Abdullah dalam Harakahdaily, 12 Februari 2009 bertajuk, "Rakyat Muak Dengan Kerajaan Katak di Perak".
"Krisis politik di Perak semakin bercelaru apabila berlakunya sindrom lompat parti hingga menyebabkan rakyat naik muak dengan kerajaan 'katak' yang ditubuhkan". Demikian Intan memetik kenyataan 'Adik' Hishamuddin Abdullah, Pengerusi Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) kepada Harakah.
(Penulis : Oooo baru Aku tau, selama sebelas bulan PR memerintah, rupa-rupanya politik di Perak sudah bercelaru. Ingatkan ia semakin stabil di bawah pimpinan seorang Insinyur PAS yang bersekongkol dengan PKR dan DAP)
Ujar 'Adik' Hishamuddin lagi, "rakyat Malaysia sekarang sedang menghadapi satu perasaan jelek terhadap isu ini dan ia menjadi semakin muak dengan isu penyeberangan ramai-ramai ADUN Pakatan Rakyat ke dalam BN dan menubuhkan kerajaan katak".
(Penulis : Sejak bila pulak ralyat Malaysia mewakilkan 'Adik' Hishamuddin selaku jurucakap mereka?)
Hal yang sama juga berlaku apabila kegagalan mengadakan pilihanraya kecil adalah bercanggah dengan Artikel XVl (6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak yang menyatakan bahawa "If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council".

"Jelas dalam peruntukan ini menyatakan bahawa sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri, yang dijangka bersidang pada 14 April ini.
(Penulis : Adakah ilmu undang-undang antara Paduka Seri Sultan Perak setaraf dengan ilmu undang-undang yang dimiliki oleh 'Adik' Hishamuddin? Bak kata pepatah, "jauh bumi dari langit").
NGUPINGTRUS : 1) Pernahkah 'Adik' Hishamuddin memberi komentar kepada PR yang beriya-iya untuk 'melarikan' 31 Ahli Parlimen BN untuk membentuk Kerajaan 16 September 2008 dulu?
2) Kepada 'Adik' Hishamuddin, belajar pandai-pandai dan dapatkan CGPA tinggi dulu. Dah graduat nanti baru masuk politik dan berjuang dalam parti politik. Kalau tak suka BN, masuk saja PR. Waktu itu, tepuk dada, tanya selera. Buat sementara ini, biarlah 'Adik' Hishamuddin berlagak sebagai ular lidi dulu. Jangan terus nak jadi naga!

Tuesday, February 3, 2009

SAH, KERUSI BEHRANG DAN CHANGKAT JERING KOSONG?

Berikut adalah petikan Harakahdaily pada Selasa 3 Februari 2009 7 Safar 1430 Hijrah, yang bertajuk "Sultan terima penjelasan, rakyat tunjukkan simpati - MB Perak"

IPOH, 3 Feb (Hrkh) - Sultan Perak Raja Azlan Shah menerima perkenan penjelasan Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin berhubung kekosongan kerusi dua DUN, Changkat Jering dan Behrang berikutan perletakan jawatan Adun kawasan terbabit.

Kata Nizar ketika ditemui wartawan selepas siadng media khas di kediaman rasmi Menteri Besar jam 12 tengah malam tadi, Tuanku adalah Raja yang amat arif di bidang perundangan dan mahu kerajaan yang ada diteruskan serta ditadbir seperti biasa.
NGUPINGTRUS: Berita dalam Harakahdaily ini tak mungkin bohong kerana ia melibatkan pemberitaan pertemuan mengadap MB Perak dengan Kebawah Duli Tuanku Sultan Perak.

PAS sokong kosongkan kerusi Behrang dan Changkat Jering


Berikut adalah sebahagian petikan Harakahdaily pada Selasa 3 Februari 2009 7 Safar 1430 Hijrah untuk tatapan dan bahan fikiran kita bersama:-

(Wartawan: Azamin Amin & Tarmizi Mohd Jam Tue Feb 03, 09 2:41:23 am MYT)

IPOH, 3 Feb (Hrkh) - PAS menyokong apa jua keputusan yang diputuskan oleh Pakatan Rakyat termasuk mengosongkan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Behrang dan Changkat Jering berikutan tindakan kedua-dua ADUN yang dikatakan melompat parti.


Perkara ini ditegaskan oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa pada sidang media khas jam 12.00 tengah malam, yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, sejurus selesai Mesyuarat Bersama Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS Pusat bersama Dewan Harian PAS Perak, dekat sini, tengah malam tadi.


Kata beliau, PAS juga menyokong penuh tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar yang menyerahkan surat perletakan jawatan kedua-dua ADUN berkenaan, Jamaluddin Mohd Radzi dan Osman Jailu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi 2 Februari lalu.


Nasharuddin menjelaskan, mesyuarat bersama itu hanya membincangkan senario terkini berkaitan kedua ADUN KeADILan yang melompat parti dan pengosongan kerusi Behrang dan Changkat Jering.

(Maklumat ini seolah-olah Timbalan Presiden PAS mengesahkan dua orang ADUN tersebut telah keluar parti dan mengosongkan kerusi DUN)


Sementara itu, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin pada sidang media itu memberitahu, beliau telah memanggil semua ADUN Pakatan Rakyat di negeri itu dan menjelaskan senario politik terkini.


Tegasnya, Kerajaan Negeri Perak masih stabil dan berjalan seperti biasa. Sehingga kini, katanya, Pakatan Rakyat memiliki 30 kerusi dan ia makin stabil berikutan sokongan dan simpati rakyat tidak berbelah-bahagi atas musibah yang terjadi.

(Perenggan di atas ni telah mengesahkan bahawa dua orang ADUN telah meletakkan jawatan. Sebab itulah bilangan ADUN PR hanya disebut 30 orang. Sebelumnya 32 orang termasuk ADUN Bota)


Kata Nizar, Umno telah mengambil kesempatan atas sejarah hitam "pertuduhan rasuah" kedua-dua ADUN berkenaan sebelum ini dan percubaan sekali lagi oleh Umno itu terbukti gagal.


Ditanya adakah kedua-dua ADUN tersebut akan mengambil perintah injuksi mahkamah, beliau berkata, kemungkinan besar mereka akan berbuat demikian secepat mungkin.


Antara pemimpin utama PAS yang turut hadir pada sidang media itu termasuklah Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali, Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar dan Ahli Jawatan Kuasa Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS Pusat, Khalid Abdul Samad.


NGUPINGTRUS: Nak nguping apa komen pemimpin Parti Keadilan Rakyat, khususnya YB Ahli Parlimen Permatang Pauh.

KERAJAAN PR PERAK CELARU LAGI MENYELARUKAN




Sejak 'kehilangan' dua orang ADUN Kerajaan Pakatan Rakyat Perak, Jamaludin Radzi dan Osman Jailu, bermula 26 Januari 2009, orang yang paling cemas adalah Dato' Seri Nizar. Nizar, bak kata pepatah, 'seperti ibu ayam kehilangan anak'. Apa tidaknya, rada tidak dapat mengesan dua orang hamba Allah tersebut. Apakah mereka masih di bumi, atau di angkasa. Bukan saja radar kerajaan Perak tak dapat mengesannya, malah ahli keluarga mereka juga tak tau ke mana mereka berada.




Hanya sehari sebelum mereka muncul, anak kepada salah seorang ADUN tersebut menyatakan beliau mendapat berita bahawa ayahnya telah keluar dari Parti Keadilan Rakyat dan menjadi ADUN Bebas.




Sebagai Ketua Kerajaan negeri Perak yang diselubungi kerisauan, Nizar telah membuat laporan Polis terhadap dua ADUN berkenaan. Bimbang juga beliau. Kerusi MB yang baru diduduki tak sampai setahun bergoncang kencang. Malah dia sudah terasa akan terpelanting dari kerusi tersebut.




Rentetan itu, dua keping Surat Perletakan Jawatan ADUN oleh Jamaludin dan Osman telah dihantar kepada Speaker DUN Perak yang kemudiannya menghantar surat rasmi kepada SPR Perak, menyatakan bahawa kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering telah dikosongkan oleh ADUN berkenaan. Ia bererti akan ada satu Pilihanraya kecil di DUN Behrang dan Changkat Jering.




Tiba-tiba 'orang hilang' berkenaan muncul. Alasan pertama yang diberikan, mereka bukan menghilangkan diri, tetapi cuti sakit. Kedua-duanya cuti sakit.




Perkara kedua yang diumumkan oleh wakil peribadi mereka, bahawa surat perletakan jawatan tersebut bukan datang dari mereka sendiri. Mereka menafikan menghantar surat perletakan jawatan tersebut.




Menurut Jamaludin dan Osman, surat tersebut telah dibuat dan ditandatangani pada Mac 2008 lalu, tetapi tarikh surat dikosongkan. Tujuannya adalah untuk menghalang semua ADUN PKR keluar parti dengan membawa sekali kerusi DUN yang diwakilinya. Malah kedua-duanya sanggup mencabar di mahkamah terhadap kesahihan surat perletakan jawatan tersebut.




Hari ini, 3 Feb. 2009 pihak SPR akan bermesyuarat berkaitan surat perletakan jawatan tersebut. Sah atau tidak. Kalau sah, maka kerusi Behrang dan Changkat Jering sudah kosong, dan Pilihanraya Kecil akan diadakan dalam tempoh 60 hari.




Demikianlah betapa celarunya pentadbiran PR di Perak. Ia bukan saja celaru, tetapi turut menyelarukan rakyat yang telah memberi mandat kepada mereka dalam PRU-12 tempohari.




NGUPINGTRUS : Biarlah MB PR Perak dapat seorang ADUN Bota, tetapi beliau bakal kehilangan Kerusi Eksekutif Kerajaan Perak. Bak kata orang tua-tua, "Untung secupak, tetapi ruginya bergantang".