Tuesday, February 3, 2009

KERAJAAN PR PERAK CELARU LAGI MENYELARUKAN




Sejak 'kehilangan' dua orang ADUN Kerajaan Pakatan Rakyat Perak, Jamaludin Radzi dan Osman Jailu, bermula 26 Januari 2009, orang yang paling cemas adalah Dato' Seri Nizar. Nizar, bak kata pepatah, 'seperti ibu ayam kehilangan anak'. Apa tidaknya, rada tidak dapat mengesan dua orang hamba Allah tersebut. Apakah mereka masih di bumi, atau di angkasa. Bukan saja radar kerajaan Perak tak dapat mengesannya, malah ahli keluarga mereka juga tak tau ke mana mereka berada.




Hanya sehari sebelum mereka muncul, anak kepada salah seorang ADUN tersebut menyatakan beliau mendapat berita bahawa ayahnya telah keluar dari Parti Keadilan Rakyat dan menjadi ADUN Bebas.




Sebagai Ketua Kerajaan negeri Perak yang diselubungi kerisauan, Nizar telah membuat laporan Polis terhadap dua ADUN berkenaan. Bimbang juga beliau. Kerusi MB yang baru diduduki tak sampai setahun bergoncang kencang. Malah dia sudah terasa akan terpelanting dari kerusi tersebut.




Rentetan itu, dua keping Surat Perletakan Jawatan ADUN oleh Jamaludin dan Osman telah dihantar kepada Speaker DUN Perak yang kemudiannya menghantar surat rasmi kepada SPR Perak, menyatakan bahawa kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering telah dikosongkan oleh ADUN berkenaan. Ia bererti akan ada satu Pilihanraya kecil di DUN Behrang dan Changkat Jering.




Tiba-tiba 'orang hilang' berkenaan muncul. Alasan pertama yang diberikan, mereka bukan menghilangkan diri, tetapi cuti sakit. Kedua-duanya cuti sakit.




Perkara kedua yang diumumkan oleh wakil peribadi mereka, bahawa surat perletakan jawatan tersebut bukan datang dari mereka sendiri. Mereka menafikan menghantar surat perletakan jawatan tersebut.




Menurut Jamaludin dan Osman, surat tersebut telah dibuat dan ditandatangani pada Mac 2008 lalu, tetapi tarikh surat dikosongkan. Tujuannya adalah untuk menghalang semua ADUN PKR keluar parti dengan membawa sekali kerusi DUN yang diwakilinya. Malah kedua-duanya sanggup mencabar di mahkamah terhadap kesahihan surat perletakan jawatan tersebut.




Hari ini, 3 Feb. 2009 pihak SPR akan bermesyuarat berkaitan surat perletakan jawatan tersebut. Sah atau tidak. Kalau sah, maka kerusi Behrang dan Changkat Jering sudah kosong, dan Pilihanraya Kecil akan diadakan dalam tempoh 60 hari.




Demikianlah betapa celarunya pentadbiran PR di Perak. Ia bukan saja celaru, tetapi turut menyelarukan rakyat yang telah memberi mandat kepada mereka dalam PRU-12 tempohari.




NGUPINGTRUS : Biarlah MB PR Perak dapat seorang ADUN Bota, tetapi beliau bakal kehilangan Kerusi Eksekutif Kerajaan Perak. Bak kata orang tua-tua, "Untung secupak, tetapi ruginya bergantang".

No comments: