Monday, November 17, 2008

PERSIDANGAN PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN LIPIS 2008


Pada 9 November lalu, Umno Lipis telah mengadakan Persidangan Tahunan Kali Ke-20 di Dewan Umno Lipis. Seramai 336 perwakilan daripada 87 Cawangan Umno yang bersidang telah menghantar perwakilan. Hanya Cawangan Simpang Tiga Padang Tengku saja yang tak dapat bermesyuarat kerana tak cukup korum. Ini harus menjadi iktibar kepada ketua-ketua Cawangan Umno untuk masa akan datang. Tugas Ketua Cawangan adalah untuk memastikan cawangannya aktif. Jangan hanya dekat pilihanraya atau mesyuarat tahunan (lebih-lebih lagi untuk pemilihan Bahagian) baru nak kumpulkan ahli. Akhirnya, itulah jadinya!


Persidangan kali ke-20 ini telah menyaksikan pertandingan bagi ketiga-tiga pos kepimpinan tertinggi Bahagian. Ketua bahagian yang disandang oleh YB Dato' Ir.Mohd Soffi Tan Seri Abd.Razak, ADUN Benta yang juga Exco Kerajaan Pahang ditentang oleh YB Sdr.Abd.Rahman Muhammad, ADUN Padang Tengku yang juga Timbalan Ketua Bahagian.


Jawatan Timbalan Ketua Bahagian yang dikosongkan oleh YB Rahman telah ditandingi oleh YB Dato' Dr.Mohamed Shahrum Othman, Ahli Parlimen Lipis yang juga Naib Ketua Bahagian dan ditentang oleh Datuk Hj.Suhaimi Ibrahim, Setiausaha Politik Kepada YAB Perdana Menteri.


Sementara jawatan Naib Ketua yang dikosongkan oleh Dato' Shahrum telah ditandingi oleh Sdr.Hj.Zulkifli Othman, Setiausaha Bahagian yang baru dilantik bagi menggantikan Cikgu Jamaludin Othman yang telah dipecat. Beliau ditentang oleh Sdr.Mustapa Long, AJK Umno Bahagian yang juga Pegawai Khas kepada YAB Menteri Besar Pahang.


Walaupun ketiga-tiga jawatan itu dipertandingkan, namun para perwakilan dapat menerima bahawa ianya adalah merupakan satu proses biasa yang diamalkan oleh Umno dalam sistem demokrasi. Ia tidak bercanggah dengan peraturan parti. Malah ia telah memberikan peluang kepada para perwakilan untuk memilih calon-calon yang difikirkan lebih layak memimpin Umno Lipis untuk jangkamasa tiga tahun mendatang.


Perjalanan persidangan boleh dikira lancar. Hanya ada sedikit-sedikit suara yang kurang enak didengar daripada segelintir kecil perwakilan yang mungkin terpancing dengan ucapan pembukaan yang agak beremosi oleh Ketua Bahagian.


Persidangan yang selesai pada jam 7.30 malam berakhir sebaik saja pengumuman keputusan pertandingan oleh Dato' Ahmad Tajudin, Ketua Umno Bahagian Paya Besar selaku Wakil Badan Perhubungan Pahang.


Penulis agak terkesan dan sebak apabila melihatkan dari jauh Dato' Soffi dan YB Rahman berpelukan selepas pengumuman dibuat. Demikian juga dengan Hj.Zul dan Mustapa. Hanya Dato' Shahrum sahaja tidak berada dalam dewan pada waktu itu kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.


Di hati Penulis terdetik, alangkah harmoninya pertandingan seumpama ini sebagai satu petanda suburnya demokrasi dalam Umno Lipis.


Teringat kepada pesan kepimpinan Umno yang menyebutkan bahawa adat bertanding akan ada yang menang dan ada yang kalah. Tetapi harus diingat, yang menang tidak menang semuanya, dan yang kalah tidak kalah semuanya. Justru itu, yang menang dan yang kalah harus duduk semeja untuk memperkasakan Umno Lipis bagi menghadapi cabaran yang lebih getir sedang menunggu di hadapan.


Keputusan pemilihan adalah seperti berikut:-


Pengerusi Tetap : Cikgu Mazlan Awang

Timb.Pengerusi Tetap : Ustaz Abdul Hamid Mat

Ketua Bahagian : YB Sdr.Abdul Rahman Muhammad

Timb.Ketua bahagian : Datuk Hj.Suhaimi Ibrahimj

Naib Ketua bahagian : Sdr.Mustapa Long

AJK :-

1. Dato' Dr.Abdul Halim Mansor

2. Latifah Hamid

3. Taharuddin Yaakob

4. Halim Othman

5. Dato' Abdullah Sulaiman

6. Khairul Nizam Dato' Abu Dahari

7. Sazly Abdul Wahab

8. Cikgu Jamaludin Othman

9. Cikgu Ibrahim Aziz

10. Cikgu Shahidan Hamid

11. Cikgu Mohd Rosmi Din

12. Dato' Hj.Mohd Hashim Idrus (Pak Ngah Hashim)

13. Dato' Mejar (B) Abdullah Dain

14. Hj. Ahmad Abdullah (Pak Andak)

15. Cikgu Ahmad Sudin

16. Dr.Abdul Razak Bedu

17. Cikgu Kamaluddin Ibrahim (Kabib)

18. Mustafa Kamal Sulaiman (Mat Deris)

19. Mansor Salleh (Mansor TEKUN)

20. Kapt. (B) Abdul Latif Mohd Nor


Perwakilan G7 yang akan ke Kuala Lumpur adalah :-

1. Khairul Nizam Dato' Abu Dahari

2. Halim Othman

3. Cikgu Ishak Muhammad

4. Azhar Ahmad

5. Dato' Setia Amar Segara Dato' Hj.Halim Ibrahim

6. Cikgu Rosmi Din

7. Sazly Abd.Wahab


Semoga barisan kepimpinan Umno Bahagian Lipis sesi ini mampu membawa dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab sepertimana yang digariskan oleh parti. Pertandingan telah selesai dan keputusan oleh para perwakilan telah pun dibuat. Biduk lalu hendaknya kiambang biarlah bertaut!


NGUPINGTRUS : Apa perkembangan mutakhir. Akan bertautkah sang kiambang walaupun biduk telah berlalu?

2 comments:

Anonymous said...

Sebagai renungan untuk kita bersama, amatilah apa yang dinyatakan oleh Tun Mahathir...... dari chedet.com...

PENCALONAN UMNO

Posted by Dr. Mahathir Mohamad at November 19, 2008 3:31 PM | Permalink | Comments (376) | TrackBacks (0) | Previous Blog
1. Selesailah sudah mesyuarat bahagian-bahagian UMNO untuk memilih kepimpinan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian serta pencalonan bagi jawatan-jawatan dalam Majlis Tertinggi Parti.

2. Sistem kuota masih berkuat-kuasa dan pemerhati mengikuti jumlah pencalonan yang diperolehi oleh calon-calon tertentu dalam media samada mereka memenuhi kuota atau tidak.

3. Tetapi berita utama bukanlah berkenaan dengan layak atau tidak layak calon-calon. Berita utama ialah berkenaan dengan kegunaan wang sogokan oleh calon-calon tertentu. Di zaman keterbukaan yang dijunjung oleh Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri dan Presiden UMNO, sogokan wang juga dibuat secara semakin terbuka.


4. Agen-agen calon secara terbuka memberi wang sogokan kepada jawatankuasa bahagian dan wakil ke mesyuarat bahagian. Agen-agen ini tidak segan-segan menyebut nama calon yang membekal wang. Mereka menunggu semasa mengundi untuk mengetahui siapa undi siapa.

5. Satu fenomena yang aneh ialah pencalonan bagi calon tertentu meningkat dengan mendadak pada minggu pertama dan ke-dua. Ternampak seolah-olah mereka ini akan menang tanpa bertanding.

6. Tetapi selepas dua minggu pencalonan bagi calon-calon yang nampak popular ini mula merosot. Masuk minggu ke-empat pencalonan mereka tidak bertambah lagi atau hanya sedikit sahaja.

7. Sebaliknya dari jauh di belakang, calon-calon yang mendapat amat sedikit pencalonan pada minggu-minggu awal tiba-tiba mendapat begitu banyak pencalonan. Demikianlah pencalonan yang mereka dapati sehingga mereka melepasi kuota dan layak bertanding.

8. Apakah yang menyebabkan fenomena ini berlaku? Kata orang (saya tak ada bukti) kata orang sahaja, wang yang amat banyak ditaburkan oleh mereka yang mulanya ketinggalan.

9. Kita juga dengar ada perwakilan yang apabila diminta supaya menyokong calon tertentu telah hantar melalui SMS (system pesanan ringkas) namanya dan nombor akaunnya di bank.

10. Yang lain pula berkata tak apalah. Kami terima sogokan dan kami calon mereka tetapi undi semasa pemilihan dalam Mesyuarat Agong belum tentu.

11. Tengku Ahmad Rithaudeen, pengerusi Lembaga Disiplin telah melaporkan yang lembaga telah terima 900 laporan rasuah dalam pencalonan untuk Majlis Tertinggi dan jawatankuasa bahagian. Ini semasa 2-3 minggu bahagian-bahagian bermesyuarat. Apakah angka ini tidak bertambah?

12. Juga dilaporkan bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga mendapat banyak laporan berkenaan sogokan wang semasa pencalonan.

13. Saya tertanya-tanya apa yang telah jadi kepada laporan-laporan ini. Besar kemungkinan bukti tidak cukup dan siapa pun tidak akan didakwa.

14. Sebenarnya rakyat Malaysia semua tahu yang pencalonan dan pemilihan pemimpin UMNO adalah hasil sogokan wang berjuta-juta Ringgit. Anggapan bahawa jika tidak ada bukti yang boleh diterima mahkamah maka ini bermakna tidak ada sogokan, bahawa pemilihan dan pencalonan dalam UMNO adalah bersih seperti kain putih, sukar diterima oleh orang ramai. Mereka bukan bodoh seperti yang dianggap sesetengah Menteri UMNO. Mereka tahu sogokan wang memang berlaku.

15. Sesungguhnya kesan daripada tingkah laku calon-calon untuk jawatan dalam UMNO dan juga ahli-ahli UMNO yang tamak dan begitu bersedia untuk disogok sudah menjadikan UMNO sebuah pertubuhan yang dipandang hina dan dibenci oleh rakyat samada Melayu, Cina atau India. Mereka sedang melihat kelakuan buruk dan kotor orang UMNO tanpa memprotes atau menegur. Kononnya orang bukan UMNO terutama pesara UMNO tidak berhak menegur UMNO. Dan mereka pun tidak menegur. Maka akan selamatlah perasuah.

16. Parti lawan juga turut lihat pendedahan keburukan UMNO dan mereka berdiam diri. Lebih buruk kelakuan orang UMNO lebih baik bagi parti lawan. Kemungkinan mereka menang menjadi lebih cerah apabila UMNO menjadi lebih kotor dan dipandang jijik oleh pengundi.

17. Pada 2008 pengundi termasuk ahli dan penyokong setia UMNO telah tolak UMNO hanya kerana pucuk pimpinan UMNO yang tak mampu memimpin, yang tunduk kepada Singapura, yang tak tahu kenang budi, yang utamakan anak menantu lebih daripada rakyat dan bemacam lagi. Kerana orang ini seorang, pengundi telah dengan berat hati, undi parti lawan. Orang ini hanya seorang sahaja tetapi UMNO dan BN yang menjadi mangsa.

18. Kali ini penolakan UMNO dan Barisan Nasional oleh majoriti pengundi akan disebabkan mereka, Melayu, Cina dan India, memandang jijik keseluruhan UMNO itu sendiri. Dengan mengetahui UMNO terdiri dan dipimpin oleh perasuah, dengan anggapan bahawa siapa sahaja yang menjadi calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13 akan terdiri daripada orang yang telah decalonkan kerana rasuah, dipilih oleh pemimpin perasuah dari parti yang secara terbuka mengamal rasuah, apakah pengundi akan rela beri undi mereka kepada calon-calon UMNO? Saya fikir tidak. Mungkin yang dapat nikmat tertentu akan undi BN. Tetapi ramai yang tidak akan undi BN.

19. Dahulu ramai berpendapat jika dapat tempat dalam UMNO banyak peluang dan keuntungan akan diperolehi. Ada yang akan jadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri dan gelaran-gelaran Tan Sri, Dato dan sebagainya. Yang lain akan dapat kontrak, atau jadi pengarah dan mendapat pendapatan lumayan.

20. Kenapa tidak? UMNO tetap menang dan jadi Kerajaan.

21. Tetapi kerana kelakuan buruk ahli dan pemimpin UMNO kali ini besar kemungkinan BN dan UMNO akan kalah. Lihat 2008. Ketua-ketua perhubungan Kedah, Perak dan Selangor dapat jadi calon dan dapat menang pun. Tetapi BN dan UMNO kalah di negeri-negeri ini. Apabila parti kalah yang menang menjadi pemimpin dalam UMNO tidak akan dapat menjadi Mentri Besar, ahli Exco dan sebagainya. Mereka akan bernasib baik jika dapat jadi pembangkang.

22. Ramai daripada mereka tidak pun dapat jadi ahli Yang Berhormat. Mereka akan kalah.

23. Apakah yang akan jadi pada UMNO yang sudah kalah? Mungkinkah ia memberi nikmat kepada ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO? Tentu tidak. Jika tidak hancur, UMNO akan jadi parti yang tidak bermaya, tidak akan dapat pejuangkan nasib bangsa, agama dan tanahair. Mungkinkah UMNO yang lemah ini dipulih semula. Saya tidak fikir UMNO dan BN juga yang telah dirosakkan oleh pucuk kepimpinan UMNO pada mulanya dan sekarang oleh lain-lain pemimpin dan juga ahli biasa akan dapat dipulihkan oleh mereka yang telah merosakkannya kerana kelakuan buruk mereka.

24. Jika UMNO hendak dipulih semula pemimpin yang telah kotorkannya sehingga kalah perlu diganti dengan yang dianggap bersih oleh masyarakat dan ahli parti yang tidak tercemar dan masih berpegang kepada prinsip perjuangan UMNO.

25. Soalnya siapakah yang layak? Sama-samalah kita fikir. Ingatlah apabila Abdullah umumkan yang dia akan bersara pada tahun 2010, pengumuman ini disambut dengan tepuk sorak. Tidak ada sesiapa yang merayu supaya dia tarik balik pengumumannya. Tidak ada yang menangis. Sebaliknya sejurus selepas pengumuman ini desakan dibuat lagi supaya peralihan kuasa dilakukan lebih awal.

26. Kenapakah UMNO dan rakyat lain hendakkan peralihan kuasa lebih awal? Apakah kerana tidak suka kepada tubuh badan Abdullah atau apakah kerana tidak suka kepada dasar-dasar dan pendekatannya dalam pentadbiran parti dan Negara? Apakah kerana mereka semata-mata mahu pemimpin lain menggantinya?

27. Sesungguhnya sambutan terhadap peralihan kuasa ialah kerana harapan rakyat supaya dasar-dasar, pendekatan dan tingkahlaku Abdullah diganti dengan dasar, pendekatan dan tingkahlaku yang lain, yang berbeza.

28. Jika penggantinya hanya akan teruskan semua dasar dan amalan Abdullah maka sia-sia sahajalah penggantian Abdullah dan peralihan kuasa.

29. Kata Mat Salleh, "You will be back to square one". Dan UMNO akan kalah.

Anonymous said...

ralat!!!!!
salah tulis nama YB