Wednesday, November 12, 2008

NAK TUNGGU APA LAGI KAK FIDAH


Dipanjatkan doa ke hadrat Allah Azzawajalla, semoga pelan peralihan kuasa dalam pucuk pimpinan Umno pada Mac 2009 nanti akan berjalan lancar. Tahap sokongan kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak nampaknya telah memberi isyarat positif ke arah itu. Ia terbukti melalui jumlah pencalonan bagi jawatan Presiden Umno bagi proses pemilihan Persidangan Agung pada Mac 2009 mendatang.

Demikian juga dengan pimpinan Pemuda dan Puteri yang melalui proses pemilihan, juga pada Mac 2009. Ertinya, pada Mac 2009 nanti akan tercatat dalam lakaran sejarah tanah air bahawa Presiden Umno orang baru, Ketua Pemuda orang baru, dan Ketua Puteri juga orang baru. Hanya Ketua Wanita saja yang akan kekal orang lama. Itu pun berdasar kepada keputusan mesyuarat exco wanita pada 10.11.2008 lalu. Keputusan mesyuarat mengekalkan pelan peralihan kuasa Ketua Wanita kepada naibnya pada Jun 2009 nanti, tiga bulan sesudah Perhimpunan Agung.

Ertinya, kalau Datuk Shahrizat akan menjawat jawatan Naib Ketua pada Mac nanti, maka pada Jun 2009 Shahrizatlah yang akan jadi Pemangku Ketua Wanita Umno. Tetapi kalau ada pertandingan bagi jawatan Naib Ketua Wanita pada Mac akan datang, yang ura-uranya Datuk Kamilia Ibrahim, dan dia mengalahkan Shahrizat, maka dia akan jadi Naib Ketua, bererti beliaulah yang akan mewarisi jawatan Pemangku Ketuanya pada Jun 2009.

Namun demikian, sok-sek sok-sek di sana sini membisikkan kehairanan terhadap pelan peralihan kuasa Pergerakan Wanita. Ia terdapat sedikit keganjilan. Akar umbi kata, kalaulah Presiden parti sendiri bersetuju mengawalkan peralihan kuasa dari 2010 kepada Mac 2009, kenapa pulak Ketua Wanita tidak bersetuju untuk melakukan hal yang serupa? Diawalkan dari Jun kepada Mac 2009. Seragam!

Kalaulah peralihan kuasa Wanita kekal pada Jun 2009, ertinya Naib Ketua Wanita, sama ada Shahrizat atau Kamilia, atau siapa-siapa saja) akan memangku jawatan tersebut selama lebih kurang tiga tahun sehingga pemilihan mendatang. Berketuakan seorang pemangku dan penjawat hakiki tidak sama 'bisanya'. Bagi pengikut yang banyak 'songeh' akan menyulitkan si pemangku untuk mentadbir, sedangkan cabaran yang menanti khususnya PRU-13 lebih berat. Mampukah pemangku jawatan Ketua Wanita untuk bergerak kemas dan lancar seperti yang sepatutnya?

Bagi ahli wanita peringkat akar umbi mempersoalkan, apakah muslihat Ketua Wanita sekarang mengekalkan tempoh peralihan kuasa selepas tiga bulan berlakunya pemilihan? Adakah Ketua Wanita masih mengharapkan, Presiden parti yang baru, Najib yang juga akan menjawat jawatan Perdana Menteri akan melantik kembali Ketua Wanita sebagai menteri kabinet? Kalau bukan itu andaian alasannya, maka apa pula logiknya bulan Jun? Mac dan Jun hanya senggang tiga bulan saja. Lebih baiklah alih kuasa itu pada Mac juga seperti mana Presiden, Ketua Pemuda, dan Ketua Puteri.

Biarlah bermula pada Mac 2009, barisan kepimpinan Umno di peringkat pusat membariskan pemimpin baru, walaupun mereka bukanlah 'muka baru'. Hanya baru dari segi jawatan saja.

Rata-rata akar umbi berpendapat, Tan Seri Ketua Wanita lebih wajar melepaskan jawatannya pada mac 2009 nanti. jangan pula sampai ia ditentang oleh Shahrizat yang memang sudah cukup pencalonan bagi jawatan Ketua. Bukan mustahil Shahrizat boleh menumbangkan Tan Seri Ketua, kerana angin perubahan semakin kuat bertiup. Ia ditambah lagi dengan kekuatan yang ada pada Kamilia yang tidak boleh dipandang kecil. Malah Kamilia sudah membuat pendirian bahawa beliau tetap akan bertanding untuk jawatan Naib Ketua pada mac mendatang. Ertinya, Shahrizat akan tersepit. Daripada tersepit, lebih baiklah Shahrizat membuat keputusan bagi menentukan masa depan politiknya. Kalau beliau tidak bertanding untuk jawatan nombor satu, ia dilihat lemah dan takut oleh akar umbi. Kalau ia dilihat lemah, bukan mustahil pula penyokongnya beralih arah untuk menyokong Kamilia. Kalau penyokong Shahrizat berpaling tadah, peluang Kamilia lebih cerah untuk jawatan Naib Ketua. Dan kalau Kamilia sudah jadi Naib Ketua maka dialah yang akan menerima tanggungjawab Pemangku Ketua Wanita yang akan diserahkan oleh Rafidah pada Jun.


Lainlah pula kalau pada Jun nanti Rafidah tak jadi nak serahkan kuasa kepada Naib Ketua. Jawabnya, malapetaka lebih buruk akan menimpa Umno keseluruhannya, lebih-lebih lagi menjelang PRU-13. Ia hanya gara-gara 'isu tiga bulan'.


NGUPINGTRUS : Serahkan sajalah Kak Fidah. Kalau Presiden sanggup, takkan Kak Fidah tak sanggup melakukannya.

No comments: