Setelah teka-teki berlanjutan selama beberapa minggu terhadap isu Peralihan Kuasa Pergerakan Wanita Umno akhirnya terjawab apabila Tan Seri Rafidah Aziz akan mempertahankan jawatannya dalam Perhimpunan Agung Umno Mac 2009 mendatang.
Pada 19 November lalu Datuk Seri Shahrizat Jalil, Naib Ketua telah memutuskan untuk menentang Rafidah pada Mac 2009 nanti. Beliau difahamkan membuat keputusan tersebut kerana mendapat desakan dan sokongan daripada kepimpinan wanita di peringkat akar umbi yang kelihatannya mula beralih arah kepadanya.
Sewaktu persidangan wanita bahagian sebelumnya, Rafidah mendapat 117 pencalunan sementara Shahrizat hanya 73 sahaja. Namun demikian, oleh kerana pelan peralihan kuasa Presiden sendiri telah dipercepatkan daripada 2010 kepada Mac 2009, maka wanita akar umbi juga menyuarakan agar peralihan kuasa wanita diawalkan daripada Jun 2009 kepada Mac 2009. Namun, Rafidah tetap dengan keputusan yang dibuat pada Ogos lalu, yakni peralihan hanya akan dibuat pada Jun 2009.
Isu untuk diawalkan pelan peralihan kepimpinan wanita meletus apabila Datuk Kamilia Ibrahim yang mendapat cukup pencalunan bagi jawatan Naib Ketua menyuarakan untuk bertanding bagi jawatan tersebut walau pun tidak mendapat 'restu' Ketua Wanita dan barisan exco wanita.
Justru itu, Shahrizat 'terpaksa' menyatakan pendiriannya sama ada untuk mempertahankan jawatan naib Ketua Wanita atau menentang jawatan ketua. Akhirnya beliau bersedia akan melompat ke atas.
Ertinya, mac 2009 nanti kalau Shahrizat menang, maka beliau akan jadi Ketua Pergerakan Wanita yang baru dan kalau kalah, maka peluang Kamilia untuk memangku jawatan Ketua Wanita tiga bulan selepas itu.
Namun demikian, dari bacaan politik atas perkembangan mutakhir, Shahrizat mampu mengalahkan Rafidah.
Pertamanya, bahagian wanita yang dulu telah mencalonkan Rafidah sebagai Ketua dan Shahrizat sebagai naib, sekarang telah menukar 'tune' dan menyatakan sokongan secara terbuka kepada Shahrizat. Sehingga hari ini, majoriti Ketua Wanita Bahagian Kedah dan Perak telah menyatakan demikian. Dan diyakini hari-hari berikutnya tahap sokongan kepada Shahrizat akan semakin meningkat.
Pertandingan bagi jawatan Ketua Wanita ini mendapat respon daripada pelbagai pihak termasuk YAB Perdana Menteri. Apabila ditanya, Pak Lah hanya menyatakan menghormati keputusan kedua-dua Rafidah dan Shahrizat atas hasrat mereka, dengan syarat janganlah pertandingan tersebut boleh menyebabkan perpecahan calam Wanita Umno yang akan merugikan parti.
Penulis angkat topi kepada Tan Seri Rafidah dan juga Datuk Seri Shahrizat atas semangat demokrasi yang subur dalam semangat perjuangan mereka.
Yang semakin pasti akan meraih untung adalah Kamilia.
NGUPINGTRUS : Bertandinglah duhai Sang Pertiwi, asalkan yang menang jangan jadi arang dan kalah jangan jadi abu.
2 comments:
Kalau boleh buat pilihan .... kedua-duanya patut ditolak. Satu dah kalah Parlimen.... ada hati nak jadi ketua. Yang satu lagi dah expire .....dah cukup dah.... cari calon lain aje.
TQ atas pandangan Sdra/i Anonymous. Tapi masalahnya, dah tak ada calon lain yang dicalonkan oleh wanita bahagian sebelum ini. Ertinya hanya ada 2 org tu jer. Jadinya, antara 'yang kalah parlimen' dan 'yang expired' tu .... kenalah juga dibuat pilihan.
Post a Comment