Thursday, September 18, 2008

CAWAN PAS BERKOCAK?

Pelik juga ya! Selama ni saya ingatkan parti politik yang berasaskan Islam, disegani oleh kawan dan lawan, dalam dan luar negeri .... sentiasa tenang dan aman. Bukan apa, apabila saya melihat kepada saf kepimpinan yang terdiri dari orang hebat-hebat sama ada yang berlatarbelakangkan pendidikan agama ataupun akademik. Memang tidak dinafikan lagi, siapa yang tak tahu kehebatan TG Datuk Seri Haji Hadi Awang, TG Datuk Nik Aziz, Datuk Harun Din, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Hj.Mat Sabu, Mahfuz, dan banyak lagi baik di peringkat pusat dan juga negeri. Semuanya memiliki kelebihan dalam bidang ilmu dan kepetahan dalam berpidato.
Tapi, apabila saya terbaca blog antihusam.blogspot.com, saya rasa terkesima. Termenung memikirkannya. "Dalam parti Islam juga ada berbalah. Tidakkah mereka sering bercakap dengan merujuk ayat Quran, Hadis Nabi. Saya ingatkan dalam UMNO saja yang berbalah seperti mana yang umum ketahui. Mereka juga sering hebohkan dalam ceramah-ceramah yang saya dengar." hati saya berkata-kata.
Dalam blog tersebut tercatat tajuk-tajuk yang menarik untuk dibaca dan memang terasa ingin tahu .... Deklarasi Dubai, Hatta Ramli Kurang Ajar, "Aku Engkau" Dengan Tuan Guru, Jawapan Kepada Khalid Samad, Dato' KJ Minta Talian Hayat, Apa Dah Jadi Dengan Tuan Guru Nik Aziz?, Husam Tidak Ada Adab Berjemaah, dan Husam Jangka PAS Pecah. Hanya itu yang sempat saya baca.
Memang saya telah membaca semua tulisan dan komen-komen dalam blog tersebut dengan penuh minat. Bagi saya menilai bahawa orang yang menulis dalam blog tersebut adalah orang PAS sendiri. Tak mungkin orang luar PAS, kerana maklumat-maklumat yang disebutkan satu persatu menggambarkan bahawa dia tahu sungguh cerita dalam 'kelambu PAS' seumpama Peristiwa dalam Muktamar di Ipoh baru-baru ini. Si Penulis manyatakan kronologi maklumat yang dilihat atau didengar.
Mungkin bagi yang minat untuk membacanya, boleh melayari blog tersebut. Hanya secara peribadi, saya dapat simpulkan buat sementara ini bahawa PAS sedang bergolak, dan pergolakan tersebut adalah di antara kepimpinan yang taksub kepada Anwar dengan pemimpin yang 'biasa-biasa saja' dengan Anwar.
Hal tersebut diperkukuhkan lagi dengan sidang media yang dibuat oleh Dato' Mustapha Ali, Pesuruhjaya PAS Terengganu yang tidak meyakini bahawa Anwar boleh menjatuhkan Kerajaan BN pada 16 September lalu. Mustapha tetap dengan pendiriannya bahawa pada tarikh itu tak mungkin BN tumbang. Namun demikian kumpulan-kumpulan Taksub Anwar (disebut juga Kumpulan Erdogan) mati-matian percaya dengan tarikh keramat tersebut. Yang jelas, round pertama ini, Mustapha yang menang. Sebab itulah kumpulan Erdogan terlalu marah dengan Mustapha. Malah Mustapha diberikan peringatan oleh Nik Aziz dalam satu suratnya yang tidak dibenarkan disiarkan dalam Harakah. Walaupun menurut penulis blog Antihusam mangandaikan bahawa surat tersebut tidak 'genuine' dari Nik Aziz, dan orang yang disebut-sebut dalang kepada isi surat tersebut adalah Husam sendiri.
Mungkin itu jugalah Haji Hadi pernah membuat komentar dalam sidang media semasa Muktamar PAS di Ipoh tentang politik 'Mat Jenin'. Pada waktu itu tidak terfikir bahawa ungkapan Mat Jenin itu mungkin sindiran kepada Anwar. Belum apa-apa lagi (waktu itu belum selesai PRK Permatang Pauh) sudah menyatakan akan menjatuhkan BN pada 16 September secara penuh yakin dan meyakin para pengikut dan penyokong. Termasuklah kumpulan Erdogan. Barisan Kabinetnya pun sudah ada. Lim Kit Siang disebut-sebut sebagai TPM.
Marahlah orang PAS. Bagaimana mungkin Anwar jadi PM dan Kit Siang TPM sedang Anwar jelas-jelas tidak akan menjadikan Malaysia sebagai negara Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh PAS. Apatah lagi Kit Siang. DAP sampai kiamat pun tidak akan bersetuju dengan kemahuan PAS. Malah ada suara-suara dalam PAS membandingkan di antara MCA, MIC, dan Gerakan yang tidak menyelar pelaksanaan Islam seperti yang dilakukan oleh DAP.
Namun bagi Haji Hadi menyatakan bahawa tak kira siapa yang akan jadi PM. Tetapi yang penting Islam wajiblah dijadikan dasar pemerintahan. Apa guna BN jatuh dan diganti dengan Pakatan Rakyat, sedangkan Islam diabaikan.
Hal inilah yang mungkin jadi pemisah di antara pemimpin PAS yang meletakkan Islam terlebih dahulu dan Politik hanya sebagai alat dengan kumpulan Erdogan.
Bagi kumpulan Erdogan, yang penting adalah Anwar naik jadi PM !
Kalau cawan PAS terus berkocak sebegini, tidak mustahil PRU-13, Kerajaan PR di negeri-negeri tertentu akan jatuh dan kembali diperintah oleh BN. PAS akan berdiri dengan sendiri, dan hanya PKR dan DAP sahaja yang berpakat. Tidak ada lagi jentera 'super' dari kalangan orang PAS. Maka rakyat akan menilai bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat lebih teruk daripada BN.

No comments: