Kadang-kadang hati kecil rasa digeletek oleh pandangan-pandangan berhubung dengan kekalahan BN/UMNO di Kuala Terengganu.
Di pihak UMNO, ada yang menuding jari kepada Pak Lah yang kononnya memilih calon yang tidak mesra rakyat. Kalau pilih Cikgu Zubir Embong mungkin BN/UMNO menang. Bagi Penulis, itu hanyalah mainan 'kalau'. Kalau itu, kalau ini dan sejuta macam kalau lagi.
Ada juga yang meletakkan kesalahan kepada kepimpinan UMNO Terengganu yang tidak 'sekepala'. Asyik bercakaran saja. Tidak berperangai macam serigala yang hanya akan bercakaran sesama sendiri waktu musuh tiada. Tetapi kalau musuh sudah ada di depan mata, mereka akan bersatu untuk memburu dan menerjah musuh, sehingga musuh dapat dikalahkan.
Ada juga pihak yang menyalahkan petugas-petugas UMNO yang datang dari luar Terengganu. Kononnya mereka hanya datang 'menyemak' saja.
Malah ada juga yang menyalahkan pemimpin politik dan kerajaan negeri. Alasannya adalah, Kuala Terengganu sebagai sebuah Bandaraya tetapi masalah kemiskinan dan orang susah di pinggir bandaraya masih banyak. Ia hanya dijumpai masa pilihanraya kecil. Masa itulah segala macam bantuan nak dicurahkan. Rumah yang uzur nak dibaiki, atap rumah bocor diganti atap zink, jalan lecak diturap, longkang pecah diganti baru, dan berbagai peruntukan diluluskan dalam sekelip mata.
Yang sedihnya, tidak semua projek segera tersebut dapat menambat hati para pengundi di Kuala Terengganu.
Masyarakat dok tanya, kenapa semasa tidak pilihanraya kecil orang miskin tersebut tidak dijumpai?
Pihak pembangkang pula bersungguh-sungguh mendakwa bahawa kekuatan dan pengaruh mereka semakin hebat. Mereka dapat merampas Kuala Terengganu dari tangan UMNO/BN. Dan Kuala Terengganu juga sebagai salah satu indikator bahawa PRU-13 akan melenyapkan riwayat UMNO/BN. Penggantinya adalah Pakatan Rakyat. Itu dakwaan mereka!
Bagi Penulis, analisisnya mudah saja. Menang-kalah dalam pertandingan adalah perkara biasa. Termasuk pilihanraya. Kalau dikaji secara matematik, Pilihanraya Umum dan Piliharaya Kecil, BN/UMNO ada kalanya menang dan ada kalanya kalah. Tapi ia lebih banyak kali menang berbanding kalah.
Negeri Terengganu sendiri pernah ditawan oleh PAS dalam PRU-10 (tahun 1999). BN/UMNO hanya tinggal berapa puntung saja. Tetapi PAS gagal mempertahankan kerajaan Terengganu dalam PRU-11.
Malah Kerajaan PAS Kelantan sendiri juga nyaris kecundang dalam PRU-13 tersebut. Mereka hanya dapat membentuk kerajaan yang sangat lemah, yakni dengan beberapa kerusi majoriti saja.
Oleh itu, BN/UMNO seharusnya muhasabah diri dari sekarang, khususnya di Kuala Terengganu. Ia bukan mustahil untuk diambil kembali dari tangan PAS. Nak katakan YB Wahid Endut hebat sangat, tidak juga. Dia pernah jadi Exco masa PAS memerintah Terengganu. Tak buat apa-apa juga. Hanya bersyarah dan ziarah orang meninggal saja.
Dari segi fakta pula, undi PAS dalam PRU-12 dulu sekitar 32,000 dan Pilihanraya Kecil baru-baru ini pun sekitar itu juga. Hanya undi BN/UMNO yang merosot. Itu dah dikenalpasti bahawa orang BN/UMNO tak balik mengundi atau pun tak keluar mengundi. Itu saja!
NGUPINGTRUS : Dalam erti kata lain, isi dalam mangkuk PAS tak bertambah banyak mana pun. Orang tu le!
No comments:
Post a Comment