
Kaget juga apabila akhbar arus perdana semalam melaporkan bahawa wujud suara-suara yang sampai ke cuping-cuping telinga masyarakat khususnya orang PAS mendesak atau dengan kata lunaknya memohon agar YAB Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat (DNA), Menteri Besar Kelantan supaya berundur daripada jawatan Menteri Besar.
Dalam Harakahdaily.net hari ini (27.12.2008) telah mengeluarkan kenyataan sebagai menafikan berita yang tersiar dalam akhbar termasuk Watan sebelumnya.
Menurut YB Zulkifli Mamat, ADUN Pulai Chondong, menyatakan bahawa pihaknya mahukan Mursyidul Am PAS itu agar dipanjangkan umur supaya boleh mentadbir kerajaan negeri lebih lama lagi. Menurut rakan-rakan yang membahaskan isu ini, bertanyakan kepada Zulkifli, apa maksud beliau 'pihaknya' itu? Siapa dia? Adakah Zulkifli menyarakan pendapat tersebut bagi mewakili lain-lain wakil rakyat PAS Kelantan. Atau hanya diri beliau sendiri sahaja.
Kalau mewakili Wakil Rakyat PAS Kelantan, kenapa pula mereka sendiri yang tidak mengeluarkan kenyataan? Walaupun Zulkifli merupakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan, namun dalam isu besar dan sensitif seumpama ini seharusnya kenyataan dikeluarkan hasil daripada mesyuarat atau perbincangan rasmi kelab.
Mengulas isu yang sama, selain daripada Zulkifli hanya YB Abdul Fatah Harun, ADUN Bukit Tuku dan YB Hassan Mahmood, ADUN Tawang saja yang cuba mempertahankan DNA. Kemana perginya Timbalan Menteri Besar? Husam dan Tok Pendekar yang lainnya?
Bagi orang politik yang berpengalaman dalam selok belok dan sepak terajang politik di negara ini berpendapat bahawa pepatah orang tua-tua harus diambil kira, 'Kalau tidak ada angin, masakan pohon bergoyang'. Demikian juga dengan teori politik yang sering disebutkan bahawa 'politic is an art of possibility' - sesuatu yang serba mungkin.
Ertinya bukanlah suatu yang mustahil telah wujud di kalangan orang politik PAS yang pernah terkeluar di mulutnya tentang perkara ini, "Bila Tok Guru nak berundur?" Dan ia didengar oleh orang lain. Terus tersebar. Maka jadilah isu. Ia perkara harus!
Mungkin ada di kalangan orang PAS yang sudah tidak sabar suasana pergerakan yang dilihat 'slow' di bawah kepimpinan DNA. Malah bukan juga mustahil isu ini dihembus oleh kolisi dalam Pakatan Rakyat yang melihat bahawa DNA sebagai resisten kepada kelancaran kerjasama PKR, DAP dan PAS.
Ia termasuklah isu tentang cadangan PAS supaya Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PKR supaya menghapuskan atau mengurangkan kelulusan lesen penjualan arak. Dalam isu tersebut DNA menyatakan bahawa PKR masih mentah dalam menangani isu-isu yang ditimbulkan oleh rakan kolisi PR.
Maka oleh itu, di kalangan kepimpinan PAS khususnya di Kelantan boleh saja mengambil isu itu secara positif. Ertinya, bersedia melatih pemimpin pelapis selepas pemergian DNA (pemergian di sini bukan sahaja bermaksud DNA dijemput kembali oleh Allah Azzawajalla, tetapi juga seandainya beliau tidak lagi menjadi MB).
Malah adalah jauh lebih baik seandainya pemimpin tersebut dilatih selaku kepimpinan negeri sewaktu DNA masih ada dan boleh memberikan tunjuk ajar di mana perlu, berbanding seandainya pemimpin tersebut menggantikan DNA selepas beliau dijemput Allah.
Tetapi dalam hal ini mungkin ada yang menghujahkan bahawa Sayyidina Abu Bakar menggantikan kepimpinan Rasulullah s.a.w. selepas kewafatan baginda. Hujah itu juga benar, tetapi taraf kepimpinan PAS yang ada di Kelantan itu tak seorang pun yang seperti Sayyidina Abu Bakar. Hatta air kaki Amirul Mukminin tersebut. Itu permasalahannya.
Nak dikatakan sayang kepada DNA, ya memang terlalu sayang. DNA memang tokoh politik yang disegani kawan dan lawan di negara ini sejak dulu sampai kini. Beliau memang bapa perpaduan bagi PAS. Tempat rujukan bagi ahli-ahli PAS. Kelembutan dan waraq beliau mencairkan hati orang yang mendengar ceramahnya.
Tetapi mungkin suara yang meminta beliau berundur awal itu tidak bermakna tak sayang dan tak hormat padanya. Mereka tetap menyanjungi Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat.
NGUPINGTRUS : Hakikat hidup manusia pasti menemui ajal. Yang patah pastikan ada pengganti. Namun pengganti harus dipersiapkan dengan sebaik mungkin untuk memastikan kelestarian PAS.