Monday, September 7, 2009

LAIN ULU, LAIN PARANG

PAS KATA, TAK BOLEH LANTIK ORANG BUKAN ISLAM SEBAGAI PEMIMPIN
(SIRI 1)

Dulu sewaktu pilihanraya, baik pilihanraya umum mahu pun pilihanraya kecil PAS sering membacakan ayat Quran, surah Ali Imran ayat 28 yang bermaksud:

“Tidak sayugia orang mukmin mengangkat orang kafir sebagai pemimpin dengan meninggalkan orang mukmin, dan barang siapa yang melakukan demikian (yakni mengangkat orang kafir sebagai pemimpin) maka ia bukan dari golongan Allah”.

Ayat tersebut meletakkan garis panduan kepada orang Islam bagaimana untuk memilih pemimpin. Maka oleh PAS, pemimpin yang dimaksudkan termasuklah pemimpin bagi men-duduki kerusi Dewan Rakyat mahu pun Kerusi Dewan Undangan Negeri.

Bagi pengundi Islam, PAS mengingatkan sekiranya ada calon pilihanraya yang bertanding terdiri daripada calon Islam dan calon bukan Islam, maka pilihan wajib diberikan kepada calon Islam.

Dalam hal ini sememangnya diketahui umum bahawa calon yang bukan Islam adalah dari parti komponan Barisan Nasional, sementara lawannya pula biasanya daripada PAS dan beragama Islam.

Dalam mensyarahkan ayat tersebut, PAS menjatuhkan hukum haram bagi orang Islam mengundi calon bukan Islam dalam pilihanraya. Malah hukum haramnya itu boleh menjurus kepada cacat akidah. Huraian penceramah PAS mudah sahaja :

“Barang siapa melakukan demikian (mengangkat orang bukan Islam sebagai pemimpin) maka ia bukan dari golongan Allah”.

Itulah yang disyarahkan, dan itulah yang dihuraikan kepada pengundi-pengundi Islam.

Memang ramai umat Islam terpengaruh dengan hujah dan syarahan tersebut. Apa tidaknya, kalau undi diberikan kepada orang bukan Islam, ia boleh mencacatkan akidah. Malah ia juga bukan daripada golongan Allah.

Nah! Kalau bukan dari golongan Allah, golongan siapa lagi? Hujah ini yang sangat ditakuti oleh pengundi Islam.

Dalam hal ini PAS memang memfokuskan kepada amalan politik pemimpin UMNO yang bukan sekadar melantik orang bukan Islam selaku pemimpin, malah bersekongkol dengannya memerintah negara.

Ini yang ditentang bermati-matian oleh PAS! Dan inilah juga merupakan titik perbezaan besar antara UMNO dan PAS.

Bagi Penulis, persoalan yang ingin dibawakan di sini bukanlah untuk menghujah maksud ayat Allah s.w.t. yang dinyatakan di atas, tetapi merujuk kepada amalan politik PAS sendiri. Pada satu sisi menjunjung ayat tadi, lebih menuding salah kepada orang lain sedang pada sisi yang lain sangat bertolak belakang dengan ayat tersebut.

Dalam pilihanraya 1995 PAS telah bersekongkol dengan DAP walau pun tidak begitu rasmi. Tetapi dalam pilihanraya 1999 PAS telah membentuk kerjasama yang rasmi dan sangat akrab dengan DAP.

Persoalannya siapa DAP? Siapa pula pemimpin DAP? Pemimpin DAP sangat terang dan nyata menolak sebarang usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam. Dan atas alasan inilah juga DAP menarik diri daripada bersama dalam pakatan politik parti-parti pembangkang sebagaimana yang dikenali sebagai Barisan Alternatif (BA).

Dalam pilihanraya 1999, PAS telah memberikan sokongan kepada calon bukan Islam dari DAP.

Sebagai contoh mudah dan jelas, kemenangan calon DAP di DUN Teriang, Pahang adalah sumbangan sokongan undi daripada ahli dan penyokong PAS. Hal demikian diakui sendiri oleh Saudara Dr.Abdul Wahab Hj.Ismail dalam Harakahdaily.com, lidah rasmi PAS bertarikh 23 Ogos 2001. Pada waktu itu Dr.Wahab selaku Setiausaha Perhubungan PAS Pahang.

Kalau demikian tindakan PAS, kemana perginya hujah ayat Quran yang diketengahkan sebelum ini dalam isu melantik dan bersekongkol dengan orang bukan Islam bagi memerintah negara?

Apakah ayat tersebut hanya khusus kepada pengundi Islam yang berada di luar PAS. Sedangkan ahli dan penyokong PAS dibenarkan mengundi orang bukan Islam dalam pilihan-raya. Dalam erti kata lain bahawa PAS terkecuali daripada hukum ayat tersebut.

Lebih parah lagi amalan memberi undi dan bersekongkol dengan orang bukan Islam ini telah dijadikan kaedah perjuangan PAS di peringkat pusat. Hukum Quran yang diutarakan dan dijunjung sebelumnya di-ketepikan demi untuk tujuan mengalahkan Barisan Nasional dalam pilihanraya.

Itu namanya “Matlamat menghalalkan cara”!

Maka tidak hairanlah sebaik sahaja PAS dapat menawan Terengganu dalam pilihanraya 1999, tanpa segan silu Dato’ Seri Haji Abd.Hadi Awang selaku Menteri Besar Terengganu berpeluk-pelukan dengan kepimpinan DAP, Lim Kit Siang. Aksi tersebut ditunjukkan sebagai lambang kerjasama politik yang akrab di antara kedua-dua pimpinan parti PAS-DAP.

Kesan daripadanya, keakraban PAS-DAP bukan perkara asing lagi dalam persada politik tanah air.

Di Pahang, bukan hanya Dr.Abdul Wahab mengeluarkan kenyataan tentang keakraban itu, tetapi juga seorang ulamak pondok yang disegani Tuan Guru Haji Mohd Baqi Othman, bekas Pesuruhjaya PAS Pahang juga me-rakamkan rasa sedih apabila DAP mengisytiharkan keluar daripada pakatan pembangkang Barisan Alternatif.

NGUPINGTRUS : Ikuti siri 2 nanti.

No comments: