Wednesday, October 29, 2008

TELUNJUK LURUS, KELINGKING JANGAN MENGAIT - 3 (Akhir)



[Sambungan daripada 'Telunjuk lurus, kelingking jangan mengait - 2 ]
Merujuk kepada teks ucapan Datuk Tan Lian Hoe, Ketua Wanita Gerakan Kebangsaan pada 10.10.08 :



Perenggan 8:

Jangan dipertikaikan dan dipolitikkan fakta sejarah atau mengambil isu perkauman sebagai modal untuk meraih sokongan dan undi daripada ahli-ahli untuk menjadi jaguh pemimpin dalam parti dan negara. Kita tidak mahu pemimpin yang memecah belahkan kaum dan menindas kaum lain. Pemimpin mentaliti kelas ketiga seperti ini tidak boleh kita terima dan kita benarkan sebagai contohuntuk memimpin negarakerana ia akan mengharubirukan masyarakat melalui konflik hubungan kaum dan menghancurkan perpaduan negarayang telah terbina sekian lama.


Komentar 6 :

Bagi perenggan ini sebenarnya Penulis tidak dapat menyelami isi hati Datuk Tan. Kepada siapa kenyataan-kenyataan itu ditujukan. Apakah ditujukan kepada Umno? Kalau Umno, siapakah gerangan pemimpin yang dimaksudkan? Pemimpin yang mempertikai dan mempolitikkan fakta sejarah hanya sekadar nak jadi jaguh.


Demikian juga dengan kenyataan Tan tentang pemimpin yang disorot sebagai pemecah belah kaum dan menindas kaum lain. Dalam kenyataan seperti di atas, Tan tidak seharusnya berlagak sebagai Tok Dalang yang suka bermain dengan bayang-bayang. Tan kena perjelaskan, pemimpin politik mana dan dari parti mana yang dimaksudkan. Tan mesti bertanggungjawab terhadap tembakan 'merapu'nya itu.


Sebenarnya, Penulis sendiri ada membuat sedikit kajian literatur. Pemimpin politik yang suka mendendangkan lagu perkauman adalah dari DAP. Kemudiannya mutakhir ini ia menular kepada Gerakan dan seterusnya MCA. Merekalah sebenarnya suka mempersoalkan tentang perkara-perkara yang terkandung dalam Kontrak Sosial, satu persepakatan yang telah dipersetujui oleh pemimpin MIC terdahulu (Melayu, India, Cina). Malah Penulis tidak pernah pun mendengar baik secara tertutup apatah lagi terbuka ada di kalangan pemimpin Umno mempersoalkan tentang 'Jusoli' kepada kaum pendatang sebelum Tanah Melayu Merdeka. Secara logikanya, pemimpin Umno lebih matang dan lebih berhati-hati menjaga kerukunan perpaduan antara kaum di negara bertuah ini.


Kalau pun ada isu-isu yang dianggap 'rasis' oleh orang bukan Melayu terhadap ucapan-ucapan lantang ahli atau pemimpin Umno dalam Perhimpunan Agung atau seminar, ia lebih bersifat 'defensif'. Mempertahankan hak orang Melayu sepertimana terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan atau dalam Dasar Ekonomi Baru. Dasar yang dipersetujui oleh pemimpin kaum sejak 1970 lagi.


Pemimpin Umno yang memperingatkan tentang target 30% pemilikan orang Melayu dan Bumiputera terhadap khazanah negara ini bukan perkara baru. Ia perkara yang sudah diketahui umum, bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga bukan Melayu. Malah angka 30% itu sebenarnya masih belum tercapai. Jauh sekali dari mengambil hak kaum lain, termasuk kaum Datuk Tan.


Kaum lain, khususnya kaum Cina masih boleh meraih pemilikan baki daripada 30% tadi. Dan ia ternyata suatu fakta. Sebab itu tidak dinafikan lagi kaum Cina mendominasi ekonomi negara ini. Orang Melayu tidak pernah berdengki dengan kaum Cina terhadap dominasi ekonomi tersebut. Orang Melayu tau bersyukur sebagaimana yang diajarkan dalam agamanya. Seharusnya orang bukan Melayu juga faham erti syukur.


Yang penting adalah, kita sama-sama dapat hidup aman makmur dan bebas mencari kekayaan di bumi bertuah yang telah sama-sama kita merdekakan ini. Keamanan dan kemakmuran yang ada sekarang ini adalah hasil recikan keringat di dahi para pemimpin kita terdahulu yang telah merekayasa satu formula agihan kekayaan negara melalui DEB melalui pengalaman pahit 13 Mei. Kalau tidak dengan suntikan DEB, mungkin saja negara kita sudah jadi sebagaimana negara lain di beberapa bahagian dunia ini yang sering berperang sesama sendiri.


Hal ini Tan harus telaah dengan dalam dan cermat!


Perenggan 9:


Kita Anak Malaysia, Bangsa Malaysia, telah sama-sama memainkan peranan penting dalam membangunkan rakyat dan Negara Malaysia yang tercinta ini. Tanpa kerjasama dan komitmen daripada semua kaum , mustahil Malaysia dapat menuntut kemerdekaan dan dapat mencapai kejayaan yang kita kecapi dan nikmati pada hari ini. Kita jangan jadi kacang lupakan kulit. Sudah berjaya, mewah dan kaya raya, kita lupa jasa bakti orang lain dan cuba menindas-nindas orang lain pula.


Komentar 7:


Dalam hal ini, sebenarnya Tan kelihatan seperti buta mata hati dan hilang deria pendengaran. Pernahkah ada mana-mana pemimpin negara (terkecuali individu) terdiri dari pemimpin Melayu yang pernah secara tertutup dan secara terang, sejak dulu sehingga kini menafikan peranan kaum lain terhadap usaha membangunkan negara ini?


Kalau ada berserta dengan buktinya, Penulis sanggup mencium telapak kaki Tan. Demikian juga sebaliknya. Kalau tidak ada, Tan harus bertanggungjawab melepaskan secara rela jawatan Timbalan Menteri yang dipegang sekarang ini.


Tidak pernah, tidak pernah dan tidak pernah ada mana-mana pemimpin Melayu yang menafikan hal sedemikian. Nah kalau demikianlah, apa perlunya Tan menimbulkan perkara sedemikian? Apa perlunya? Permainan bentuk apa yang Tan inginkan?


Demikian juga dengan usaha bersama di kalangan pemimpin kaum dalam usaha menuntut kemerdekaan dari Inggeris. Ucapan demi ucapan, pernyataan demi pernyataan, malah tercatat dalam buku Sejarah kemerdekaan bahawa usaha memerdekaan Tanah Melayu ini adalah berkat usaha sama oleh kepimpinan kaum negara ini yang diketuai Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra.


Penulis minta Tan tolong tunjukkan, kalau-kalau ada mana-mana buku sejarah yang diperakukan (bukan ditulis oleh Tan sendiri) menafikan usaha sama tersebut. Tolong tunjukkan! Tunjukkan!


[Catatan: Sewaktu menulis komentar ini, tangan Penulis menggigil. Tak tau kenapa!]


Bagi pepatah 'kacang lupakan kulit' mungkin Tan hanya maksudkan kepada dirinya sendiri. Atau mungkin juga kepada kaumnya. Sebab itu jugalah agaknya, Tan menyebutkan, 'Kita jangan jadi kacang lupakan kulit. Sudah berjaya, mewah dan kaya raya, kita lupa jasa bakti orang lain dan cuba menindas-nindas orang lain pula'.


Persoalan yang perlu dijawab, siapa yang sudah berjaya? Siapa yang mewah dan kaya raya? Dan juga siapa yang kelihatan cuba untuk menindas orang lain?


NGUPING TRUS: Tan ternyata cenderung untuk bermain dengan api. Ingatlah, api sewaktu kecil boleh dijadikan kawan, tapi kalau dah besar, ia boleh menjadi lawan dan membakar apa saja yang ditempuhinya.

Thursday, October 23, 2008

TELUNJUK LURUS, KELINGKING JANGAN MENGAIT -2


[Sambungan daripada 'Telunjuk lurus, kelingking jangan mengait - 1 ]


Merujuk kepada teks ucapan Datuk Tan Lian Hoe, Ketua Wanita Gerakan Kebangsaan pada 10.10.08 :


Perenggan 5:


"...... Isu korupsi, penyalahgunaan kuasa, tuntutan kaum minoriti, jenayah kekerasan melibatkan kanak-kanak dan wanita, kenaikan harga barang keperluan harian rentetan kenaikan harga minyak, kredibiliti institusi kehakiman yang terjejas, krisis ekonomi global yang melanda dan banyak lagi isu yang memerlukan perhatian segera yang serius daripada kita, terus diabaikan atas persengketaan sesama kita, dan ketamakan mengaut dan merompak harta negara. Natijahnya, ekonomi dan suasana politik negara terus terjejas dan rakyat terus menjadi mangsa dan suasana semakin tegang."


Komentar 4:


Sebagai seorang Timbalan Menteri, Tan tidak sewajarnya mengeluarkan kata-kata seperti di atas. Tidakkah beliau sendiri mengetahui betapa Kerajaan BN yang diketuai oleh Pak Lah berhempas pulas untuk membanteras korupsi, penyalahgunaan kuasa, memenuhi tuntutan kaum minoriti, berusaha menangani jenayah kekerasan melibatkan kanak-kanak dan wanita dan sebagainya lagi. Itu Tan tau! Kenapa Tan tanpa segan silu mengungkapkan "terus diabaikan atas persengketaan sesama kita"? Adakah Tan tidak terlibat dengan usaha hempas pulas oleh barisan kabinet sekarang termasuk kementerian yang beliau sendiri selaku Timbalan Menterinya?


Demikian juga dengan ungkapan 'ketamakan mengaut dan merompak harta negara'. Siapa sebenarnya yang merompak harta negara? Umno ke? MCA ke? MIC ke? Gerakan ke? atau siapa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Tan. Kalau ada individu tertentu, itu bukan atas nama parti. Itu individu. Kalau Tan memang sudah cukup bukti, lapor saja kepada Polis atau BPR. Tak kira Melayu, Cina, India, Kadazan Murut atau sebagainya.


Tetapi bagi Penulis, ungkapan itu tidak seharusnya keluar dari pemimpin parti Komponen BN. Cakap-cakap 'perompak harta negara' itu adalah kata-kata yang sering didendangkan oleh Pembangkang. Mungkin Tan hanya sebagai penyambung lidah pembangkang?


Selaku Timbalan Menteri Penerangan, Tan seharusnya mampu menjelaskan kepada anak buahnya dalam Wanita Gerakan, apa yang sedang dilakukan oleh BN sekarang. Kalau beliau tidak mampu melakukan itu, rasanyaTan lebih baik berundur diri secara terhormat dari Kementerian Penerangan dan serahkan kepada orang yang lebih mampu dan lebih credible.


Perenggan 7:


"Kita lupa atau sengaja lupa bahawa hari semua rakyat negara ini tanpa mengira kaum adalah Abnak Malaysia dan Rakyat Malaysia. Kita bukan penumpang. Asal usul kita sama. Orang Melayu datang dari Kepulauan Melayu di Nusantara. Orang Cina dari Negara Cina. Orang India dari Negara India. Kalau tak tahu sejarah, jangan bercakap tentang sejarah. Orang Asli, orang pribumi ialah anak sejati negara ini. Tetapi malangnya, mereka masih terpinggir dan masih jauh dalam arus pembangunan negara."


Komentar 5:


Tan Lian Hoe tidak pernah menulis buku sejarah atau dijadikan pakar rujukan sejarah Tanah Melayu atau Melaysia. Dia tidak sepertimana Prof. Emiritus Tan Sri Kho0 Kay Kim. Ertinya, Tan Sri Khoo lebih arif tentang sejarah Tanah Melayu dan Malaysia berbanding Tan.


Tidak ada mana-mana pakar sejarah yang pernah membuat kenyataannya sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan bahawa negara ini (nama asalnya) disebut sebagai Tanah Cina, atau Tanah India, atau Tanah Bersama Melayu-Cina-India. Semuanya menyebut 'Tanah Melayu'. Adapun orang Asli adalah tergolong dalam etnik Melayu. Sebab itu sejarah purba menyebutkan adanya Proto Malay, Deutro Malay. Di mana orang Asli adalah termasuk suku kaum Melayu atau orang Melayu. Takkan itu pun Tan tak tau. Penulis dulu belajar masa Tingkatan 1 pada tahun 1971.


Persoalannya adalah, pemimpin Umno (tidak termasuk atas sifat individu), tidak menimbulkan atau mengungkit-ungkit isu pendatang atau penduduk asal, tetapi tumpuan banyak diberikan kepada semangat perpaduan. Bagaimana Melayu, Cina dan India dan lain-lain suku kaum hidup bersatu padu dan berusaha untuk memajukan negara.


Cerita seperti yang disuarakan oleh Tan itu sudah tidak timbul. Kalau pun ada, itu hanya suara picisan saja. Sebab itu sewaktu mula untuk merdeka dulu pemimpin Melayu sudah sepakat dengan pemimpin Cina dan pemimpin India, bagaimana pembentukan kerjasama antara tiga suku kaum yang terbesar sebagai mewakili kaum masing-masing untuk mencapai kemerdekaan dari pihak Inggeris. Dan itulah benda yang disebut sebagai 'Sosial Kontrak'.
Kaum 'pendatang' pada waktu itu (mungkin 5 atau 6 keturunan sebelum Tan) diberikan kerakyatan secara automatik bermula pada 31 Ogos 1957. Dan orang Melayu dijamin tidak kehilangan hak mereka di bumi Tanah Melayu ini, termasuklah Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu, Agama Islam, dan hak-hak keistimewaan orang Melayu. Orang Melayu tidak mengambil apa-apa dari Cina dan India. Mereka tidak hilang apa-apa pun. Melayu hanya ingin menentukan hak mereka terjaga. Itu saja. Dan itulah sejarahnya!


Sememangnya orang Cina dan India di Malaysia berasal dari kaum pendatang dari Negara Cina dan India ke Tanah Melayu. Itu dulu. Tetapi tidak lagi Cina dan India sekarang. YB Datuk Tan Lian Hoe sindiri bukan lagi 'kaum pendatang'. Beliau orang Malaysia. Cina Malaysia. Dilahir dan dibesarkan di Malaysia. Disekolahkan, masuk universiti dan akhirnya jadi Timbalan Menteri Malaysia.
Kalau nak ikutkan merit, banyak lagi orang Melayu dalam Umno yang lebih layak daripada Tan untuk jadi Timbalan Menteri. Tetapi itulah keadilan BN kepada ahli komponennya. Itulah juga sebahagian dari keadilan yang diamalkan di Malaysia, negara milik pelbagai kaum ini.
Walau pun begitu, janganlah pulak telunjuk lurus kelingking berkait!
Oleh itu, kenapa lagi bawak cerita tentang asal usul dalam Persidangan tu? Nak bakar semangat sapa? Nak main sentimen apa? Steadylah Tan!!
Adakah hanya kerana nak marah kepada kes ucapan Datuk Ahmad Ismail, Penang, maka beliau lepaskan geramnya di Perhimpunan Wanita Gerakan? Tan tahu tak, bahawa Ahmad Ismail telah diambil tindakan oleh Umno, gantung keahliannya selama 3 tahun. Adakah Tan juga teringin digantung keahlian oleh Gerakan atas kenyataannya itu?
Ding-dong, ding-dong, sebenarnya siapa yang tak tau sejarah? Adakah Tan sendiri?
Kalau itulah tahap kematangan berpolitik Tan, malanglah bagi Wanita Gerakan!
NGUPINGTRUS : Janganlah hendaknya ada pemimpin BN bercakap bagi pihak orang lain.

[Siri ke-3 (terakhir) akan menyusul untuk tatapan bersama]

Wednesday, October 22, 2008

KHALID SAMAD : LEBIH LAJAK DARI LAJU?

Dalam sesawang rasmi PAS http://www.pas.org.my tanggal 20 Oktober 08 ada berita menarik khusus bagi pemerhati dan penganalisis politik. Khalid, ahli parlimen Shah Alam dipetik sebagai berkata, "Pas sudah mencadangkan portfolio yang dikehendaki dalam kerajaan baru yang bakal dibentuk Pakatan Rakyat (PR)."

Cadangan tersebut katanya adalah hasil perbincangan peringkat pertama pembentukan kerajaan baru dengan PKR dan DAP yang barlangsung baru-baru ini.

"Oleh yang demikian kita telah bersedia untuk mengambil alih kerajaan apabila menghantar lima pemimpin iaitu Presiden, Timbalan Presiden, dua Naib Presiden dan Setiausaha Agung", katanya lagi.
Huhhh alahai Khalid! Tak heranlah dalam blog 'antihusam.blogspot.com' yang disiarkan pada 21 Ogos 2008 "Aku Engkau Dengan Tuan Guru", dia dikutuk teruk oleh penulis blog berkenaan. Penulis blog itu diyakini orang dalam PAS juga. Kita lihat petikan ini:-
Dengan personaliti, ketokohan dan kewibawaan Tuan Guru Presiden sedemikian, sangupkah anda apabila bercakap dengan beliau menggunakan perkataan "aku engkau" dengan beliau? Saya percaya semua tidak sanggup (gamak) samada lawan ataupun kawan termasuk diri saya sendiri. Sebelum ini tidak pernah terlintas dihati saya bahwa ada orang yang sanggup berbuat demikian. Tetapi amatlah mengejutkan dan menyedihkan apabila sekarang saya tahu dan kenal siapa yang sanggup dan memang senantiasa bercakap macam tu. Tak perlu saya berselindung dan orang itu adalah KHALID SAMAD, ahli Parlimen Shah Alam dan seorang ahli dalam Lujnah Politik PAS.
Cubalah kita bayangkan betapa rendahnya martabat Tuan Guru Presiden menurut kaca mata Khalid Samad sehingga di"aku-engkau"kan. Kalau nak cakap "ana anta" pun kita rasa macam dah kasar inikan pula "aku engkau". "Ana anta" kalau ikut penggunaan bahasa Arab pun lebih kurang macam "aku engkau" juga. Kalau Hatta Ramli yang kurang ajar tu memang dia cakap "ana anta" saja dengan Tuan Guru Presiden. Tapi Khalid Samad ni dah lebih teruk dari kurang ajar. Biadab, takdak akhlaq dan menuju ke arah syakhsiyah jahiliyah. Orang UMNO pun tak cakap macam tu kat ketua mereka. Paling kurang mereka akan bahasakan Pak Lah atau Dato Seri.

Dalam Muktamar PAS baru-baru ni kita boleh lihat betapa Khalid Samad begitu terdesak nak jadi juara puak Erdogan dalam PAS. Ucapannya dalam membahaskan usul tempohari hanya menampakkan kebodohan beliau sendiri. Berapi-api macam sapi (yang kena cucuk hidung) tapi takdak isi. Beliau cuba berlagak pandai bila menceritakan kedudukan PAS dengan PKR/PR di Selangor sedangkan beliau tidak terlibat secara langsung dalam pentadbiran negeri Selangor. Apa yang dia tahu? Orang yang layak bercakap hanyalah Dato' Hasan Ali sebagai Exco kanan kerajaan negeri. Ust Salehin yang jadi wakil Selangor dalam muktamar tu pun layak bercakap dan dia lebih tahu dari Khalid sebab dia duduk dalam Majlis Pakatan Rakyat Negeri.

Kesimpulannya PAS kena buang dan turunkan pimpinan yang kurang ajar seperti beliau yang tidak melambangkan keperibadian Parti Islam. Lebih-lebih lagi apabila beliau sendiri tidak ada rasa hormat sehingga bertindak menghina dan merendah-rendahkan martabat seorang ulama besar seperti Tuan Guru Presiden PAS sendiri dengan perkataan "aku engkau". Sedarlah bahawa tiada tempat untuk orang-orang yang biadab dan celupar terhadap kepimpinan ulama PAS seperti Khalid, Hatta Ramli, Hanifa Maidin dll.

Itulah Khalid menurut tulisan Si Penulis blog antihusam!

Sebab itulah dalam isu yang sama, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr.Hassan Ali, yang juga Exco Kerajaan PR Selangor, dalam Sinar Harian (SH) halaman N3 menyatakan bahawa beliau tidak terlibat bincang kerajaan baru.

"Saya tidak tahu menahu mengenai perkara berkenaan. Malah, saya tidak terlibat dalam perbincangan tersebut kerana saya lebih banyak menjaga negeri ini (Selangor)", katanya.

Secara sinis Hassan berkata, "Mungkin Khalid lebih tahu mengenainya sebab dia duduk di peringkat persekutuan (federal). Mungkin juga saya tidak diberitahu mengenai perbincangan itu".

Yang peliknya, kenapa Si Khalid yang buat kenyataan akhbar menyangkut perkara besar parti? Bukan Presiden, atau Timbalan, atau Setiausaha, atau sekurang-kurangnya Ketua Penerangan. Rasa pelik ini bukan kepada Penulis, tetapi cakap-cakap di kedai kopi penyokong PAS, itulah dia!

NGUPINGTRUS : Susah juga agaknya PAS ada orang macam Khalid. Lebih lajak dari laju!

MAHFUZ : TAHAP BERFIKIR MEMALUKAN PAS?


"BN angkuh tidak hirau permintaan PR" .... begitulah head line Sinar Harian 22 Oktober 08, halaman N4.

Wartawan Sinar Harian (SH) memetik Mahfuz Omar, Ketua Penerangan PAS Pusat yang mendakwa bahawa Kerajaan BN terlalu angkuh kerana tidak menghiraukan permintaan Pakatan Rakyat (PR) agar peralihan kuasa dilakukan segera bagi mengembalikan keyakinan masyarakat kepada pemerintahan negara.

Menurut Mahfuz, sepatutnya isu peralihan kuasa dari Datuk Seri Abdullah Badawi kepada Datuk Seri Najib pada Mac 2009 nanti tidak timbul. Yang wajar dibincangkan adalah peralihan kerajaan dari BN kepada PR. Tetapi ketua BN tidak mengendahkan usaha dan permintaan PR.

Rakan-rakan Penulis menggeleng kepala membacakan kenyataan Mahfuz. "Nak katakan tak cerdik, Mahfuz ni Ahli Parlimen. Ketua Penerangan PAS. Nak kata cerdik, takkan benda tu pun dia tak faham", rungut rakan-rakan tadi.

"Kalau PR nak ambil alih kerajaan, dia kenalah menguasai majoriti Dewan Rakyat. Tak kiralah, majoriti mudah ke, dua pertiga majoriti ke!" tingkah kawan yang lain. "Takkanlah BN nak serah kerajaan ni kepada PR sedangkan BN menguasai majoriti", sambungnya lagi.

Penulis sangat setuju 101 peratus dengan hujah-hujah mereka tadi. Di Perak, PR hanya menang dengan majoriti yang sangat tipis, tetapi akur dengan kerajaan yang dibentuk oleh PR. BN menang 28 manakala PR 31 sahaja. Hanya beza 3 kerusi. Tak ada pulak suara BN yang minta supaya Kerajaan PR Perak menyerahkan kuasa kepada BN. Hanya akan berusaha untuk merebut kembali kerajaan Perak dalam PRU-13 nanti. Itu terpulang kepada rakyat. Kalau rakyat masih memilih PR walaupun dengan bermacam masalah timbul, maka PR akan diberi mandat oleh rakyat. Demikian sebaliknya.

Di Selangor demikian juga. Jumlah kerusi semuanya 56. BN menang 20 kerusi, sementara PR 36 (PAS 8, DAP 13, PKR 15). Pun tidak dua pertiga majoriti.

Demikian juga dengan Kedah yang ada 36 kerusi. BN menang 14, sedangkan PR hanya 21 (PAS 16, DAP 1, PKR 4) dan Bebas 1. PR memerintah tidak dengan dua pertiga majoriti juga. BN tak bising macam yang dibuat oleh Mahfuz. Mungkin orang-orang BN lebih cerdik dari Mahfuz kut!

Dalam hal ini, Mahfuz kenalah sabar dan bercakap lebih bijak. Janganlah kerana kuat bercakap, orang tau siapa saudara. Mahfuz kena lihat dan cermin diri @ tau diri.

Rakyat dan penyokong Pakatan Rakyat sudah dapat 'mencium' masalah yang sedang mereka hadapi. PKR dengan ego tersendiri untuk mengepalai PR. DAP pula tetap dengan 'Malaysian-Malaysia'nya dan tidak akan bersetuju sampai bila-bila pun pembentukan negara Islam yang akan diperjuangkan oleh PAS. Sementara PAS pula, sepertimana yang diperingatkan oleh Presidennya tetap istiqomah dengan perjuangan Islam, membentuk negara Islam dan melaksanakan Perundangan Islam sebagaimana tercatat dalam undang-undang tubuh PAS.

Di mana titik pertemuannya? Bolehkah Mahfuz selaku Ketua Penerangan PAS menjelaskan perkara-perkara tersebut secara terbuka dan berdepan dengan PKR dan DAP?

Perbedaan antara PAS dan DAP bukan perkara furu' tetapi perkara prinsip. Toleransi hanya akan boleh dibentuk antara PAS dan DAP sekiranya PAS bersedia menggugur atau mengendurkan perkara asas tadi. Atau DAP sanggup menerima prinsip asas yang diperjuangkan PAS. Persoalannya, sanggupkah PAS? Sanggupkah DAP?

Mahfuz kena jawab isu ini secara gentleman. Atau mungkin juga pihak Agenda Daily boleh menganjurkan satu debat terbuka antara Mahfuz dengan DAP. Biar ahli dan penyokong PAS dan DAP tau cerita sebenarnya. Lepas itu mereka akan nilai. Hasil penilaiannya mungkin akan mereka tuangkan dalam PRU-13 nanti. Mudah cerita!

Semua itu sebagai menjawab hujah Mahfuz di perenggan akhir dalam tulisan SH tersebut, '.......... tidak timbul sebarang isu mengenai ketidaksefahaman antara mereka (PAS, PKR dan DAP). Malah mereka bersepakat dan bermesyuarah dalam banyak keputusan yang dilakukan'.

Buktikanlah !! Syaratnya jangan memalukan PAS.

NGUPINGTRUS : Belum tentu orang pandai berpidato itu bijak. Kadang-kadang semakin banyak dia bercakap, semakin jelas kebodohannya!

Tuesday, October 21, 2008

MAT JENIN OH! MAT JENIN




Hmmmm alahai !! Dalam membelek-belek keratan Harakahdaily yang lama, terjumpalah dua artikel lama, pertama pada 7 September 2008 dan satu lagi 16 September tahun yang sama. Walau pun kedua-dua artikel tersebut bukan terbaru tetapi bukan juga terlalu lama. Dalam bulan Ramadhan baru lalu.


Artikel 7 September bertajuk "86 peratus yakin Anwar mampu bentuk kerajaan 16 September", ditulis oleh Sdr.Suhaimi Taib. Suhaimi memetik dari sebuah laman sebuah politik KL Pos yang memaparkan angka tersebut hasil dari tinjauan pendapat awam, sementara 14 peratus lagi tidak bersetuju Anwar mampu bentuk kerajaan pada tarikh itu.

Penulis tidak mempersoalkan dari segi kesahan dan kebolehpercayaan (validity & reliability) tinjauan tersebut. Berapa orang responden, siapakah gerangan sampel dan sebagainya lagi bukan perkara nak dibahaskan. Namun itulah angka yang diperolehi oleh pengkaji.


Kalau dilihat dari segi peratusan, angka tersebut sebenarnya terlalu tinggi sebagai satu ukuran kepada tahap sokong dan tak sokong. Erti kata lain, tidak ada alasan Anwar tidak bentuk kerajaan pada 16/9 lalu.

Akhirnya 16/9 berlalu begitu saja. Anwar masih sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Itu berita sahih. Pada sidang dewan 13 Oktober lalu, Anwar masih duduk di kerusi Ketua Pembangkang. Tidak di kerusi Ketua Kerajaan alias Perdana Menteri. Masih belum layaklah dia di panggil Yang Amat Berhormat.


Bagi Penulis, kalau nak terbalikkan hasil kajian tersebut mudah saja. Ceritanya boleh bertukar jadi begini, "86 peratus dibohongi oleh Anwar pada 16 September". Hanya 14 peratus sahaja yang tidak termakan pembohongan Anwar. Itu termasuklah Datuk Mustapa Ali dan Penulis sendiri!


Sementara artikel kedua pada 16 September pula adalah "Tukar kerajaan bukan angan-angan Mat Jenin - Nik Aziz" yang ditulis oleh Muhammad Yusri Amin.



Yusri memetik Nik Aziz sebagai berkata, "Usaha ke arah membentuk kerajaan baru 16 September dengan diketuai oleh Parti Keadilan Rakyat tidak boleh disifatkan sebagai angan-angan Mat Jenin". Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Nik Aziz ketika menjawab soalan wartawan selepas perasmian Sambutan ulangtahun ke-18 Tabung Serambi Mekah pada 16 September 2008 di Kota Bahru.


Apa dah jadi ni Tok Guru? Tok Guru sindir sapa sebenarnya?

Yang bawak cerita Mat Jenin berhubung dengan 16/9 tu sebenarnya Datuk Seri Haji Hadi. Presiden PAS. Tok Guru jugak!

Ia timbul semasa Muktamar PAS pertengahan Ogos 2008 di Ipoh. Pada masa yang sama kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh sedang rancak berjalan. Anwar, dalam ceramah-ceramahnya berjanji dengan para pengundi, setelah menang di Permatang Pauh beliau akan membentuk kerajaan baru Pakatan Rakyat pada 16 September 2008. Pengganti Pak Lah adalah beliau sendiri.

Oleh kerana orang yang akan menjadi PM itu adalah Anwar, maka ahli-ahli PAS termasuk perwakilan dalam Muktamar jadi bising. Kenapa pulak Anwar yang akan jadi PM? Sedangkan beliau masih berdepan dengan berbagai tuduhan di mahkamah. Belum tentu lagi beliau akan terlepas dari tuduhan dan perbicaraan.

Maka timbullah suara-suara, bahawa Presiden PAS lebih layak jadi PM. Kenapa nak serah kepada Anwar. Dalam PRU-12 dulu pun, bala tenteranya banyak orang PAS. Pemuda PAS. Orang PAS memang tahan banting. Orang PKR hanya kelompok elit dan tak tahan banting.


Apa kurangnya Hj.Hadi? Atau Nik Aziz? Mereka ini tidak ada isu peribadi. PAS nak tukar pemerintahan negara ini kepada cara Islam. Hj.Hadi dan Nik Aziz lebih tau tentang Islam berbanding Anwar. Anwar hanya lebih pidatonya saja. Bla! Bla! Bla! dan bla!


Itu suara dalam Muktamar PAS. Malah ada yang menyuarakan PRK Permatang Pauh perlu diboikot saja oleh PAS.


Maka, atas kehangatan isu-isu berkenaannya, Hj.Hadi kata dia tak mau jadi ahli politik Mat Jenin. Belum apa-apa lagi, belum menang lagi, belum memerintah lagi dah bincang macam-macam.

Ungkapan itu dikeluarkan oleh Hj.Hadi dalam sidang media yang diadakan. Semua orang tau sebab disiarkan oleh surat khabar dan tv. Haji Hadi kata, "Tulis perkataan Mat Jenin tu". "Tau tak cerita mat Jenin"? tanya Haji Hadi kepada para wartawan.

"Mat Jenin ni kerjanya panjat pokok kelapa. Dia berangan-angan nak kawin dengan anak raja sedangkan duit tak ada. Jadi, dia pelihara ayam. Ayam dah biak dan banyak, jual ayam beli kambing. Kambing biak dan banyak, jual kambing beli lembu. Akhirnya jual lembu untuk beli kapal. Dah ada kapal, bolehlah kawin dengan anak raja. Seronoknya lepas kawin dengan anak raja, sehingga lupa bahawa pada waktu itu dia berada di atas pokok kelapa. Tangan terlepas dari memeluk pokok kelapa. Apa lagi, Mat Jenin terjatuh!" (cerita ini dipanjangkan oleh Penulis. Hj.Hadi tidak menyudahkan cerita Mat Jenin itu).

Tup, tup, Datuk Nik Aziz bawa pulak cerita Mat Jenin yang kontradik dengan Hj.Hadi !! Lebih ironis lagi apabila Nik Aziz menyatakan, "Ini kerana istilah angan-angan Mat Jenin itu tidak ada pada orang politik".

Terlupakah Nik Aziz bahawa orang yang menyebut cerita Mat Jenin terhadap pembentukan kerajaan baru 16/9 itu adalah Hj.Hadi. Presiden PAS?

Tak terfikirkah Tok Guru, konotasi dakwaannya itu adalah 'Hj.Hadi itu bukan orang politik!' Kalau Haji Hadi bukan orang politik, buat apa pulak dia dilantik memimpin parti PAS? Tidakkah PAS itu sebuah parti politik? Atau orang tersalah pilih pemimpin?

Dulu Mustapa Ali dianggap telah tersalah pilih oleh orang PAS Terengganu sebagai Pesuruhjaya. Kini Haji Hadi pula! Malang sungguhlah orang Terengganu.

Lebih malang lagi ahli dan penyokong PAS. Berada dalam sebuah parti politik yang dah berusia hampir setengah abad tetapi berketuakan seorang yang bukan orang politik.

Mungkin juga Nik Aziz tak berapa suka kepada Hj.Hadi. Mungkin Nik Aziz selaku Mursyidul Am lebih cocok dengan Husam. Bukan kerana Hj.Hadi tak Islamik atau Husam lebih reti Islam. Mungkin kerana Hj.Hadi tak berapa suka kepada Anwar. Bagi orang politik macam Nik Aziz dia lebih faham bahawa politik itu adalah Art of possibility.

Rupa-rupanya kisah 16/9 lebih kurang sama saja dengan cerita God Must Be Crazy!

Cerita God Mus Be Crazy (GMBC) mengisahkan seorang penyelidik yang menaiki kapalterbang kecil melalui kawasan padang pasir. Sewaktu berada rendah di udara, penyelidik tadi telah melemparkan botol minuman coca-cola yang telah habis diminumnya keluar melalui tingkap kapalterbang. Kaca botol minuman tersebut jatuh di kawasan perkampungan orang asli di padang pasir tersebut, dan kebetulan terjatuh berhampiran kawasan sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain.

Melihatkan 'benda' pelik tersebut, mereka berebut untuk memegangnya. Oleh kerana tak mau terlepas ke tangan orang lain, kanak-kanak yang sedang memegang botol itu mengetuk kepala rakannya yang hendak merebut darinya. Kanak-kanak yang kena ketuk jatuh pingsan.

Gara-gara berebutkan botol coca-cola, hampir sebuah kampung berbalah.

Lebih kurang jugalah dengan cerita 16/9. Hanya kerana ada yang percaya dan ada yang tidak percaya, kepimpinan dalam PAS saling sindir menyindir, walaupun tidak sampai ke tahap pukul kepala seperti kanak-kanak orang asli di padang pasir dalam cerita GMBC. Sindir-menyindir tu bukan Ketua Cawangan. Tidak juga Ketua Kawasan. Tetapi Mursyidul Am dengan Presiden.

NGUPINGTRUS : Akhirnya Datuk Seri Mat Jenin jatuh dari pokok kelapa bersama juak-juaknya. Yang terselamat Datuk Seri Presiden and the gang. Siannnnnnnn!! Datuk Seri Mat Jenin.

TELUNJUK LURUS, KELINGKING JANGAN MENGAIT - 1


Hari ini sudah 21 Oktober 2008. Ertinya sudah lebih lebih seminggu Persidangan Agung Tahunan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM). Sebenarnya tidak ada perkara pelik sepanjang persidangan tersebut melainkan seperti persidangan sebelumnya yang melibatkan pemilihan kepimpinan parti.

Dr.Koh Tsu Koon telah rasmi dinobatkan sebagai Presiden parti yang sebelum ini hanya sebagai pemangku. Ketua Wanita kekal orang lama YB Datuk Tan Lian Hoe, Timbalan Menteri Penerangan. Dengan kata lain, ada ganti sana, tukar sini. Adatlah! Namanya juga bertanding. Ada yang menang ada yang kalah.

Walau bagaimana pun, Penulis angkat topi dan syabas kepada yang menang dan syabas juga kepada yang tidak menang. Yang menang tidak menang semuanya dan yang kalah tidak kalah semuanya. Itu hakikat!

Namun, dalam ruang ini Penulis ingin berkongsi luahan perasaan yang amat dukacita terhadap ucapan Ketua Wanitanya YB Datuk Tan Lian Hoe pada Persidangan Wanita dan Pemuda pada 10 Oktober. Itu pun setelah Penulis baca teks ucapan yang dikirimkan oleh seorang kawan.

Setelah dua kali baca, Penulis masih meragui isi kandungan teks tersebut. Benarkah ianya salinan dari teks asal Datuk Tan? Atau ia sudah dimodifikasi oleh orang yang memang suka mempolemikkan perkara-perkara yang tertulis dalam teks tersebut?

Apabila dirujuk di sana sini, akhirnya memang itulah teks ucapan Ketua Wanita Gerakan!

Walaupun teks tersebut hanya ada 16 perenggan, namun hanya perenggan pertama sahaja yang normal. Perenggan lain, semua berisi racun berbisa! Olahan bahasanya indah. Mungkin sesuai dengan beliau seorang lulusan Bahasa Melayu dari universiti tempatan.

Kalaulah ruang ini besar, ingin rasanya Penulis muatkan keseluruhan teks tersebut yang berukuran 3 helai lebih (kertas A4). Namun demikian, cukup rasanya Penulis ambil intipati teks dan beri komentar di bawahnya di dalam beberapa siri penulisan blog:-

Perenggan 2:

Pilihanraya Umum ke-12 mencatatkan sejarah buat BN dan parti Gerakan. BN hanya mampu membentuk kerajaan dengan majoriti mudah kerana gagal mendapat majoriti dua per tiga seperti Pilihanraya Umum (PRU) sebelum ini. Malah, empat buah negeri kecundang dan terlepas ke tangan pembangkang dan Kelantan terus berada di bawah kekuasaan PAS. Gerakan kalah teruk.

Komentar 1:

Majoriti mudah tersebut adalah 140 kerusi daripada 222 semua kerusi Parlimen. Namun demikian, berikut adalah pecahan mengikut parti dalam komponen:-

Umno : 79
MCA : 15
Gerakan : 2 (termasuk Datuk Tan Lian Hoe)
MIC : 3
PPP : 0
Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) : 14
Sarawak United People's Party (SUPP) : 6
Sabah Progressive Patty (SAPP) : 2
Parti Bersatu Sabah (PBS) : 3
Liberal Democratic Party : 1
Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) : 1
UPKO : 4
Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) : 4
Sarawak People's Party (PRS) : 6

Melalui data di atas, Gerakan hanya menang 2 kerusi. Malah negeri Pulau Pinang yang diperintah oleh BN di bawah teraju Gerakan tersungkur di tangan DAP. Ertinya, keyakinan rakyat (khususnya masyarakat Cina) terhadap Gerakan merosot jauh. Persoalannya, adakah kemorosotan ini nak ditudingkan jari kepada Umno? Demikian juga dengan komponen parti lain yang turut menerima nasib sepertimana Gerakan. Seharusnya kita muhasabah, di manakah salah silap kita masing-masing?

Komentar 2:

Kegagalan BN mendapat majoriti 2/3 bukanlah perkara luar biasa kepada mana-mana kerajaan yang memerintah di dunia ini. Kelebihan 58 undi sebenarnya sudah dikira kuat. Janganlah 2/3 itu nak dijadikan isu besar sehingga Datuk Tan tega menuding jari seolah-olah angkara Umno. Seharusnya loyaliti dan sifat setiakawan ahli Umno tidak dipersoalkan. Datuk Tan sendiri bertanding di kawasan yang majoritinya adalah orang Melayu dan penyokong setia Umno/BN (lebih 67% Melayu, Cina 20%, India 5%, Lain-lain 8%). Dia seharusnya bersyukur. Kalaulah beliau bertanding di kawasan bukan majoriti Melayu, beliau juga mungkin tersungkur. Kempunanlah untuk jadi Timbalan Menteri! Malah bukan itu saja, nal jadi Ketua Wanita Gerakan pun belum tentu!

Perenggan 3:

Sejarah pahit ini amat sukar ditelan tetapi diperhalusi untuk mencari punca kekalahan teruk ini. Wajar sekali kita ahli-ahli Gerakan mengakui kelemahan-kelemahan kita yang dianggap penakut, tidak berani bersuara dengan lantang dalam menyarakan isi hati dan suara rakyat atas prinsip setiakawan dalam BN. Kita dianggap begitu lemah dan tidak boleh berperanan dalam mengubah BN dan dasar kerajaan kerana duduk di bawah telunjuk Umno, diherdik sesuka hati oleh ahli dan pemimpin Umno. Kita terus dibidas, dikelar, dipijak-pijak dan dihina sedemikian rupa oleh rakan-rakan dalam BN. Inikah semangat setiakawan yang kita laung-laungkan dalam BN.

Komentar 3:

Ungkapan Datuk Tan seperti perenggan di atas dikirakan 'keterlaluan' terhadap seorang 'rakan' dan juga 'abang'. Sangat keterlaluan !! Sebenarnya siapa yang menganggap bahawa Gerakan lemah? Umno ataupun parti rasis DAP? Atau lain-lain parti dalam BN?

Tetapi dalam ayat berikutnya, jelas maksud Tan adalah Umno. Persoalannya, bilakah ada mana-mana insiden pemimpin Gerakan diherdik sesuka hati oleh ahli dan pemimpin Umno? Siapakah dia tukang herdik tu?

Dibidas, dikelar, dipijak-pijak dan dihina sedemikian rupa oleh rakan-rakan dalam BN. Rakan mana yang kelar dan pijak tu?

Tan tidak seharusnya bermain dengan sentimen dan emosi ahli Gerakan. Bila pernah ahli Gerakan dikelar dan dipijak? Sebagai seorang Timbalan Menteri yang tau berbahasa, Tan tidak sewajarnya menggunakan perkataan sedahsyat itu. Bagi orang yang berusia lebih dari usia Tan akan terbayang kejadian berdarah 13 Mei 1969. Kejadian yang tercetus gara-gara permainan sentimen dan emosi selepas keputusan PRU pada 10 Mei 1969. Tercatat dalam http://ms.wikipedia.org/wiki/Peristiwa_1969 (Ensiklopedia Bebas) bahawa ...

"Sebab terjadinya Peristiwa 13 Mei 1969 adalah perarakan kemenangan pihak pembangkang. Penyokong-penyokong Parti Gerakan telah mengutuk dan menghina orang-orang Melayu semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur."

"Peristiwa ini berlaku berikutan pengumuman keputusan Pilihanraya Umum pada 10 Mei 1969. Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan telah menang besar di kawasan Batu, Selangor. Beliau minta kebenaran polis untuk berarak meraikan kemenangan parti tersebut di Selangor yang menyaksikan 50:50 di Selangor. Perarakan tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan hingga ke Jalan Campbell dan Jalan Hale dan menuju ke Kampung Baru. Sedangkan di Kampung Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu yang menjadi kubu UMNO, berasa terancam dengan kemenangan pihak pembangkang. Di sini letaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Harun Idris."

"Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan. Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan menyapu ('menyingkir') orang-orang Melayu ke laut. Dalam masyarakat Melayu, penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial). Ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan."

Tak terfikirkah oleh Tan kesan dan akibat permainan sentimen dan emosi ahli Gerakan yang boleh membakar semangat dan tertanam sifat kebencian di kalangan ahlinya? Sifat kebencian yang akan berkesudahan dengan 'ledakan' yang menghancurkan rakyat dan negara yang telah sama-sama dibina sehingga ke hari ini. Ledakan yang tidak akan menguntungkan sesiapa pun! Atau Tan tidak baca sejarah? Atau juga Tan terlalu kemaruk berpolitik sehingga lupa diri?

Terfikirkah Tan bahawa kata-katanya itu sangat mengguris hati dan perasaan orang Umno dan orang Melayu yang memenangkan beliau sebagai ahli Parlimen. Tak malukah muka Tan apabila balik ke kawasan parlimennya di Grik akan bertemu dengan orang yang telah dilukai hati mereka? Atau Tan sudah tidak ada lagi perasaan malu?

NGUPINGTRUS : Sangat tidak senang dengan orang yang suka bermain kata-kata. Tok Guru kata 'Lidah itu lebih tajam dari mata pedang'.

[Akan bersambung dengan Telunjuk lurus, kelingking jangan mengait - 2]

Monday, October 20, 2008

ISA LAGI! ISA LAGI!


Malangnya engkau duhai ISA !! Tak cukup dengan puak-puak parti pembangkang yang terus menerus mendesak supaya ISA (Internal Security Act / Akta Keselamatan Dalam Negeri) dihapuskan, akhir-akhir ini sekutu dalam BN pun turut mendesak ISA dihapuskan.


Penulis pun pelik dan hairan. Kenapa dok pertikaikan ISA yang sifatnya 'preventive' kepada perkara-perkara yang dijangkakan akan menimbulkan masalah kepada keamanan dan keselamatan negara. Pengganggu gugat kepada keamanan negara bukan hanya datang daripada pengganas seumpama komunis, tetapi ia juga boleh datang dari para pencetus masalah dalam negara seumpama isu raja-raja Melayu, isu perkauman, isu agama, isu bahasa, dan juga isu-isu yang terkandung dalam Konttrak Sosial.


Kalau dinilai secara rasional, ISA adalah salah satu elemen berbentuk akta yang selama ini berperanan menstabilkan keamanan negara. Kalau dahulunya banyak negara-negara luar yang menempelak ISA dengan alasan bahawa ISA itu tidak humanistik. Jauh dari amalan keadilan sejagat. Menahan individu dalam tempoh tertentu tanpa melalui proses perbicaraan di mahkamah.


Namun pada akhirnya, negara-negara yang mencemuh negara dalam isu ISA ini pun turut memperkenalkan akta yang sama di negara mereka dengan alasan 'preventive'. Amerika misalnya menggunakan Patriot Act pada 26 Oktober 2001 oleh Presiden Bush, selepas kejadian dahsyat dan memalukan Amerika 11 September 2001 di mana World Trade Center di New York hancur dilanggar oleh pesawat terbang pengganas.

Walaupun banyak pihak di Amerika, terutama pembangkang dan pengamal undang-undang menentang akta tersebut, namun atas sifat kerajaan yang memerintah memikirkan bahawa akta tersebut 'sangat perlu' untuk melindungi keselamatan dan keamanan negara agar tidak diganggu gugat dan dicerobohi seperti kejadian 911 itu, maka ia tetap dipertahan dan didaulatkan di negara Polis Dunia itu. Bagi Amerika, Patriot (Providing Appropriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism) Act bertujuan untuk "Uniting and Strengthening America".


Di negara kita pun demikian, pihak polis bertanggungjawab melaksanakan ISA, dari sudut perisikan maklumat individu atau kumpulan tertentu sehinggalah kepada urusan penahanan. Agensi tersebut tidak terlepas daripada dikecam dan dihina oleh pihak-pihak yang sememangnya tidak berkenan dengan ISA. Pihak Polis dituduh sebagai 'orang suruhan Umno', 'anjing pemerintah', dan berbagai lagi tuduhan liar dan jijik, namun demikian orang terlupa bahawa agensi tersebutlah yang bertanggungjawab untuk menjaga ketenteraman dan keamanan negara Malaysia ini dari sebarang anasir yang boleh mencetuskan huru hara. Justru kerana negara amanlah maka golongan peniaga dapat terus berniaga, kakitangan kerajaan terus boleh bekerja dan menerima gaji, dan orang awam dapat hidup selesa dan tenteram.


Kalaulah nak ikutkan hati 'rajuk', biarkan saja apa yang hendak dilakukan oleh kumpulan pelampau agama, pelampau kaum, pelampau politik dan berbagai lagi jenis pelampau untuk melakukan apa saja yang mereka mau lakukan, beraja di mata bersultan di hati, apa agaknya akan jadi kepada bumi tercinta kita ini?


Kita jangan alpa bahawa kalau negara sudah berada dalam keadaan tidak aman, jangankan nak pergi ke masjid, gereja, tok kong, kuil dan lain-lain tempat ibadat keagamaan, nak tidur pun tak lena. Nak pakai baju pun payah, jangankan nak fikir masalah bertudung dan menutup aurat!!


Ini jarang diperhati dan fikirkan!


Jadi, bagi orang politik, kalau negara sudah tak aman, tak senmpat lagi nak fikir tentang bermuktamar, bersidang, mesyuarat agung, konvensyen dan lain-lain aktiviti politik, nak keluar rumah pun takut. Tak tengok ke bagaimana keadaan negara yang sekarang ini tidak aman?


Oleh itu jangan dipersoalkan sangat tentang ISA. Orang yang banyak mempersoalkan ISA adalah orang atau kelompok yang ada intention untuk melakukan perkara-perkara yang boleh mencetuskan keadaan tidak aman.


Bayangkan kalau ISA sudah dikuburkan, orang Malaysia tanpa segan silu lagi akan mempersoalkan tentang isu raja-raja Melayu, isu agama, isu kaum, dan lain-lain isu yang terkandung dalam Kontrak Sosial, apa akan jadi agaknya?


Waktu itu tidak mustahil akan keluar selepang merah, pedang terbang, kuntau, karate, silambam dan berbagai lagi ilmu pertahanan diri sebagai manifestasi pertembungan antara kaum.


Sedarilah, justru kerana ada ISA dapat turut sama membantu negara ini mengekalkan kemerdekaan dan keamanan walaupun kita dikenali sebagai sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian agama, kaum, adat resam, budaya dan latar belakang.


Oleh itu, tak usahlah kita terlalu persoalkan tentang keberadaan ISA dalam negara kita ini! Yang penting, jangan buat perkara-perkara yang membolehkan ISA dikenakan kepada kita!


NGUPINGTRUS : Sesungguhnya masih banyak lagi perkara-perkara di atas bumi Malaysia ini nak kita perjuangkan, daripada terus berpolemik dengan ISA.

Tuesday, October 14, 2008

ANWAR! HANG TUKAR SENDIRI BAJET TU NANTI


Memang tak anih lagi ! Apa yang ditulis dalam blog ini semalam, memang benar. Tidak ada usul undi tak percaya kepada PM. Sidang Dewan Rakyat hari pertama sesi kali ini setelah tertangguh sepanjang Ramadhan berjalan dengan tertib. Tidak ada kecoh. Tidak ada kejadian lari keluar dari dewan, melainkan MP BN yang kelihatan terlalu bosan dan meluat dengan gelagat Anwar yang kemaruk bercakap di Parlimen setelah bercuti panjang lebih kurang 10 tahun.


Dalam membahaskan Bajet 2009, Anwar berlegar-legar di 'point' yang hampir sama yang memberikan konklusi bahawa bajet tersebut tidak relevan dan perlu dibuat semula. Dek kerana petah berpidato, maka ucapannya jadi panjang. Singgung sana, singgung sini, siku orang itu, siku orang ini, orang itu tak betul, orang ini tak kena. Semua orang tak betul. Dia saja yang betul. Dia saja yang hebat!


Itulah Anwar bin Ibrahim.


Dia dok desak Pak Lah dan Kerajaan BN buat semula Bajet 2009. Hal sedemikian teringat Penulis masa zaman persekolahan dulu. Buat 'homework' tak betul atau tak sesuai menurut guru berkenaan, maka disuruhnya buat lain. Maka lembik leherlah balik semula ke meja tulis untuk buat semula kerja yang disuruh guru tadi.


Demikianlah agaknya yang dikehendakkan oleh Anwar kepada Pak Lah (atau Najib selaku Menteri Kewangan baru).


Dalam hal ini, pandangan Penulis kepada Anwar mudah saja. Hang tak payah suruh Pak Lah dan Kerajaan BN buat bajet baru. Hang tunggu saja Kerajaan Pakatan Rakyat yang hang nak tubuhkan sebelum Raya Haji nanti. Masa tu nanti, hang sendiri selaku Perdana Menteri dan mungkin Menteri Kewangan, buatlah bajet sebagaimana yang hang mau. Abis cerita! Nak syarah panjang-panjang buat apa?


Orang sebenarnya bukan tak tau sapa Anwar dilihat dari sudut 'intelektual'nya. Kawan-kawan sama universitinya dulu tau semua. Dia pun bukan cerdik sangat. Malah ada kawan-kawannya mendakwa keputusan akhir pengajian di universitinya bukan bagus sangat. Penulis tak tau, tapi tanyalah pada 'rodong-rodong'nya.


Saat sekarang Anwar seharusnya mendahulukan proses menukar Kerajaan BN kepada Kerajaan PR. Bukan bahas bajet yang diutamakan. Bawa usul undi tak percaya tu dulu. nanti dah jadi pemerintah, bajet tu boleh buat baru. Buat revision. Buat Bajet 2009 yang paling baik. Mahfuz Omar boleh bantu. Dia pun hebat juga. Dia banyak tau tentang selok belok macamana nak parking kapalterbang! Kerja nak susun kapalterbang kat airport pun dia boleh buat, takkan nak susun kertas bajet dia tak boleh bantu.


Syaratnya, janganlah lupa masukkan sekali nama Ahli Parlimen Pokok Sena tu sebagai Menteri kabinet. Janganlah lantik budah muda Ahli Parlimen tukang foto Lingam!


lainlah pulak, kalau Anwar dah tak berapa yakin Kerajaan BN akan boleh ditumbangkan. Tapi kalau mengikut nada cakap Anwar tentang usahanya menumbangkan Kerajaan BN, dia dah semakin 'loyo' dan tidak begitu yakin. Hanya dibuat-buat yakin saja supaya suku sakat dalam Pakatan Rakyat tidak berpaling belakang darinya. Sebab itulah kata-katanya dah ada sandaran kepada 'kalau rakyat mau perubahan, takkan ada siapa boleh menghalang'. Tidaklah macam dulu, beliau sangat pasti bahawa 16 September 2008, Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan baru. BN akan tersungkur! Perjalanan ke Putrajaya sudah terlalu hampir!


NGUPING TRUS : Siakap senohong gelama ikan duri, banyak kali cakap bohong baru boleh join Datuk Seri ...!


Monday, October 13, 2008

KAPAN LAGI NI ?


Aneh bin Ajaib juga ya! Tanggal 16 September berlalu begitu saja walaupun ada rakyat Malaysia ternanti-nanti dengan sedikit debaran. Maklumlah, Amerika pun dah tahu kerajaan BN Malaysia akan ditumbangkan oleh Mr.DSAI. Disebut juga tanggal tersebut akan melakarkan satu peristiwa penting dalam lipatan sejarah negara Malaysia tercinta ini. Namun ia berlalu begitu saja! Tidak ada perkara aneh berlaku. Tanggal 16 berlalu, berganti dengan tanggal 17. Seterusnya tanggal 18 dan begitulah selanjutnya!

Sebelumnya, Mr.DSAI berucap berapi-api di mana juga pentas. Bukan saja pentas dalam negeri, malah di luar negeri juga bahawa tanggal 16 beliau akan jadi PM Malaysia yang baru. Di Dewan Rakyat, beliau akan duduk di kerusi PM. Tidak lagi di kerusi yang beliau duduk sekarang. PM Pak Lah pula akan bertukar mengambil alih kerusinya sebagai Ketua Pembangkang. Beliau akan dinobatkan dengan gelar Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Kit Siang pula disebut-sebut akan bergelar YAB Lim Kit Siang, Timbalan Perdana Menteri. Begitulah ceritanya yang dendangkan sejak PRK Permatang Pauh.
Makanya suku sakat Parti Keadilan Rakyat yang sama-sama duduk sebumbung dalam Pakatan Rakyat (PR) percaya habis! Masing-masing sudah berkira-kira nak duduk di blok mana dan bangunan mana di Putrajaya nanti. Walaupun masih ada suku sakat yang tak yakin dengan dakwaan Mr.DSAI itu, namun suaranya tenggelam dek suara-suara yang mempercayainya.
Cikgu Pa Ali Terengganu kena 'marah' oleh Mursyidul Am PAS gara-gara tanggal 16 September.
Bagi kumpulan Endorgan dalam PAS pula, mati balik hidup sangat yakin tanggal tersebut adalah tanggal keramat. Mereka cukup meluat dengan sanggahan dari Cikgu Pa. Dan bila Cikgu Pa kena 'marah' dengan Mursyidul Am, baru mereka puas hati. Senyum sinis mereka pada Cikgu Pa.
Alkisah apabila tanggal 16 kerajaan baru tidak bertukar, Mr.DSAI beri alasan. Sepatutnya dah jadi, tapi Pak Lah bawak lari Ahli Parlimen BN ke Taiwan. Kerana itu, Mr.DSAI hantar pula Group Mission Impossible yang diketuai oleh Pengarah Strategik PKR Mr.Saifuddin Nasution untuk menjejaki puak-puak MP BN di sana. Tapi mereka ibarat Lebai Malang. Mereka ke sana, MP BN balik ke Malaysia. Selisih kapalterbang. Walaupun Mr.Tian Chua kata ada jumpa MP BN, tapi dinafikan oleh MP BN. Akhirnya Tian Chua kena 'marah' oleh DSAI kerana 'lebih sudu dari kuah'.
Bila usaha Mission Impossible tak berjaya, Mr.DSAI berusaha pula mendesak supaya Pak Lah mengadakan Sidang Dewan Rakyat Khas untuk membolehkan Pakatan Rakyat mengemukakan undi tak percaya kepada PM sekaligus menukar kerajaan. Mr.DSAI kata mereka sudah cukup orang untuk menukar kerajaan setelah lebih dari 30 MP BN bersetuju untuk melompat ke PR.
Pak Lah kata tidak sebab untuk adakan Sidang Dewan Khas. Tunggu sajalah 13 Oktober nanti Dewan Rakyat akan bersidang lagi.
Nah! hari ini 13 Oktober. Dewan Rakyat bersidang lagi. Mr.DSAI seharusnya menggunakan sidang pada hari ini untuk mengemukakan undi tak percaya kepada PM. Peluang dan ruang pada hari ini cukup baik sebagai medan Mr.DSAI mencapai cita-citanya.
TETAPI sehingga ke saat tulisan ini dimuatkan dalam blog ini, tidak ada apa-apa benda pelik terjadi di Parlimen. Tak taulah kalau esok, atau lusa, atau tulat, atau tubin atau bila-bila. Yang jelas adalah sewaktu berucap dalam Ceramah Perdana Idilfitri di Padang Perdana, Kelantan baru-baru ini, Mr.DSAI memujuk hati orang Kelantan, "Puluhan tahun kita sanggup tunggu, takkan hendak tunggu sekejap lagi pun tidak boleh", katanya.
Namun, apabila ditanya oleh pemberita di Kota Bahru pada Jumaat lepas, Mr.DSAI meletakkan sasaran baru tarikh pertukaran kerajaan, yakni sebelum Hariraya Aidil Adha, Disember nanti. Tarikhnya tidak dinyatakan.
Yang terbaru, dalam majlis rumah terbuka PKR yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kg.Baru, Kuala Lumpur pada 12 Oktober lalu Mr.DSAI mendakwa, "Saya tidak akan sebut (tarikhnya). Pada ketika yang sesuai .... kita akan menyaksikan perubahan. Kalau rakyat mahukan perubahan ... tidak ada kuasa yang boleh menghalang dan menahan", katanya.
Itulah Mr.DSAI! Beliau memang bijak melakukan provokasi dan bermain dengan sentimen masyarakat. Apatah lagi pidato! Beliau memang petah berpidato. Mengolah bahasa. Mengolah cerita. Orang yang mendengar pidatonya confirm akan melopong mulut. Walaupun cerita itu dah jelas tak betul!
Kapan lagi Mr.DSAI!
Penulis, 101 peratus setuju denganmu duhai Mr.DSAI. Kalau rakyat mahukan perubahan ... tidak ada kuasa yang boleh menghalang dan menahan. Tapi jangan lupa, semua ketentuannya diqudrat Allah swt jua! Kalau Allah berkehendakkan, tidak ada kuasa yang boleh menahannya. Dan kalau Allah swt tidak berkehendakkan, buat macamana pun takkan terjadi.
NGUPINGTRUS : Allah swt berkehendakkan Pak Lah jadi PM selepas Tun Mahathir, maka jadilah ia, walaupun Mr.DSAI telah pernah memangku jawatan PM, tetapi Allah swt tidak berkehendakkan beliau maka beliau tak jadi PM.

SALUT DATUK ZAID IBRAHIM!

Nah! Ini baru tak pelik. YB Senator Datuk Zaid Ibrahim, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri memang hebat. Dia bukan saja sanggup meletakkan jawatan menteri penuh baru-baru ini yang dikabarkan tidak setuju dengan ISA, tetapi dalam suasana yang dikirakan agak kontroversi, beliau hadir ke majlis Rumah Terbuka Idilfitri PKR di Kelab Sultan Sulaiman, Kg.Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Di satu sisi, sifat yang ditunjukkan oleh Zaid itu bagus. Mengeratkan tali silaturrahim di antara beliau dan DSAI. Tapi, di sisi yang lain yakni bacaan pemerhati politik, tindakan Zaid itu tidak kena pada masanya.

Beliau baru saja meletakkan jawatan menteri kerajaan BN kerana tidak setuju dengan ISA yang pada pendapat beliau ISA hanya perlu digunakan kepada kumpulan pengganas bukan kepada orang atau kumpulan yang boleh mencetuskan keganasan atau huruhara. Tak ramai orang macam Zahid. Beliau bukan Timbalan Menteri, tapi Menteri Penuh. Beliau bukan menang dalam PRU-12 dan jadi Ahli Parlimen kerana bertanding pun tidak. Tiba-tiba saja YAB PM tergerak hati untuk melantik beliau selaku Senator dengan tujuan diberikan jawatan Menteri. Jawatan yang didambakan oleh setiap ahli politik.

Tup-tup baru beberapa bulan saja selaku menteri, beliau letak jawatan. Hanya jawatan Senator saja masih belum dilepaskan. Agaknya dalam masa terdekat ini, jawatan itu pun akan ditinggalkannya!

Alasan dan cara beliau meletakkan jawatan itu pun banyak di kalangan pemimpin UMNO dan BN tidak setuju. Memang benar, ada di kalangan anggota BN yang berpandangan bahawa ISA perlu dikaji dari sudut implementasinya, tetapi semua itu perlu dibawa ke dalam perbincangan kerajaan secara menyeluruh dan komprehensif. Apa baik dan apa buruknya. Janganlah kerana pandangan dan alasan kita terhadap ISA tidak atau belum diterima oleh orang lain, maka kita terus letak jawatan. Kita harus menghormati pandangan orang lain. Itulah namanya perjuangan. Tetapi Zaid tidak melihat itu! Itu bukan orang perjuangan namanya!

Zaid juga harus menghormati Perdana Menteri yang berani melantik beliau selaku Menteri Penuh walaupun sok-sek sok-sek di kalangan ahli UMNO dan BN yang tertanya-tanya apakah gerangan PM melantik beliau sebagai menteri? Nak kata hebat, beliau bukanlah hebat sangat. Nak kata ramai pengikut, bertanding Ketua Bahagian UMNO K.Bharu pun tak menang walaupun pada waktu itu beliau berjawatan Menteri dan lawannya Datuk Fatmi tidak pegang jawatan apa-apa. Hanya bekas Setiausaha Politk kepada YAB TPM! Jadi, apa hebatnya sehingga PM sanggup melantik beliau ke jawatan menteri?

Perkara ini seharusnya jadi pertimbangan dan difikirkan oleh Zaid sebagai menghormati 'Orang Tua' tu (Pak Lah). Itu pun, setelah Zaid menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan, Pak Lah masih lagi menasihatkan Zaid supaya bercuti. Tapi Zaid masih bersitegas (bersikap tegas) untuk melepaskan jawatan.

Tak terfikirkah oleh Zaid betapa terguris hati Pak Lah dengan perlakuannya itu? kalaupun tak hormat Pak Lah selaku Perdana Menteri, hormatlah beliau selaku orang tua. Orang yang banyak mengharungi asam garam dan ombak badai dalam perjuangan politik.

Namun, walau macamana pun, itulah Zaid!

Eh! Eh! Eh!.... Dalam pada orang politik masih terngiang-ngiang kisah perletakan jawatannya, beliau berada di majlis sambutan Idilfitri PKR di Kelab Sultan Sulaiman. Hadir itu tidak menjadi persoalan sangat sebenarnya, tetapi Zaid kelihatan begitu 'mesra' dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar.

Menurut perbualan di kedai kopi dengan beberapa orang pemerhati politik, "Biar betul Zaid ni. Kalau nak 'duduk' dengan Anwar, buatlah 'declaration'. Biar semua orang tau siapa dia sebenarnya. Janganlah sekali-sekali nampak macam ayam, sekali-sekali macam musang".

NGUPINGTRUS : Kalau ayam katakan ayam, dan kalau musang katakan musang.






Friday, October 10, 2008

ANWAR BERLINDUNG DI BELAKANG DATO' NIK AZIZ?




Pelik juga ya! Kepimpinan PAS yang lain kelihatannya tidak begitu 'jelira' dengan Anwar (DSAI). Presiden PAS sendiri, Dato' Seri Haji Hadi (Haji Hadi) nampaknya hanya biasa-biasa saja dengan DSAI. Bak kata orang tua, ala kadar saja. Demikian juga dengan Timbalan Presiden, Ustaz Nasaruddin, Haji Mat Sabu (Naib Presiden) dan lain-lain kepimpinan tertinggi PAS, termasuk di peringkat negeri. Yang lebih menonjol adalah Dato' Mustafa Ali (Pesuruhjaya PAS Terengganu).



Tapi Dato' Nik Aziz (Pak Nik) suka dan sayang benar dengan MP Permatang Pauh tu! Sebab apa? Entahlah! Ada pendapat, hanya Husam Musa dan rakan-rakannya saja yang tahu!


Banyak keadaan yang memberikan indikasi terhadap dakwaan di atas. Antaranya adalah sewaktu PRK Permatang Pauh. Nik Aziz adalah pimpinan PAS yang turut memimpin Solat Hajat Perdana untuk kemenangan DSAI.

Demikian juga dalam isu Mustafa Ali yang tidak telah memberikan komentar terbuka kepada dakwaan DSAI menjatuhkan kerajaan BN pada 16 September lalu. Mustapha manyatakan, berdasarkan pengetahuan dan pengalaman politik beliau, perkara itu takkan terjadi. Hujah-hujahnya telah diberikan. Mustafa bukan tak mau kerajaan BN ditukarkan, tetapi tak mau rakyat, terutamanya orang PAS terperangkap dengan dakwaan DSAI yang dianggapnya hanya satu ilusi.


Akibat dari itu, Mustafa 'dimarahi' oleh Nik Aziz. Kata-kata dalam suratnya sangat menghiris perasaan Mustapha, walaupun Mustafa tidak meluahkannya. Apa tidaknya, kenyataan Mustafa diibaratkan oleh Nik Aziz sebagai 'lidah UMNO'. Jawatan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang disandang oleh Mustafa diibaratkan telah tersalah pilih orang. Ertinya Mustapha bukan sepatutnya dilantik oleh PAS Pusat selaku Pesuruhjaya. Malah, lebih ironis lagi, Nik Aziz mengaitkan tindakan Mustafa menjurus kearah tindakan Dato' Asri Muda (almarhum), yang meninggalkan PAS dan menyertai UMNO.


Penilaian Nik Aziz terhadap Mustafa, dilihat oleh kalangan orang PAS sebagai keterlaluan. Malah ada yang mengatakan kata-kata itu bukan dari lidah Nik Aziz. Tetapi kelompok lain yang memang tidak senang dengan Mustafa.


Bagi Mustafa, beliau yang telah lama dalam politik, dan pernah menjadi Timbalan Menteri sewaktu PAS bergabung BN satu ketika dulu, hanya menyatakan pendangan peribadinya terhadap dakwaan DSAI. Beliau juga menyatakan, "Kita sama-sama tengoklah nanti, tarikh 16 September, akan berlaku ke tidak".


Akhirnya, semua orang tau dakwaan Mustafa benar!


Berita terbaru adalah, Majlis Aidilfitri di kediaman DSAI di Ceruk Tuk Kun pada Sabtu ini (11 Oktober), menurut sumber Harakahdaily, Nik Aziz akan hadir sama. Di samping meraikan, Nik Aziz juga akan mengadakan pertemuan dengan DSAI dan Guan Eng.


Ada yang bertanya, kalau pertemuan itu untuk membincangkan perkara-perkara pentadbiran kerajaan negeri, kenapa pulak DSAI ikut sama? Dia bukan MB atau KM! Kalau nak bincang tentang kerjasama parti politik, kenapa pulak Hj.Hadi tak terlibat (sehingga berita ini ditulis, tidak ada maklumat Hj.Hadi akan terlibat). Nik Aziz bukan Presiden PAS. Dia adalah Mursyidul Am. Dari segi pengurusan organisasi, urusan parti diketuai oleh Presiden Parti. Kalau Presiden tak dapat hadir, diwakilkan kepada Timbalan, atau Naib.


Atau, adakah DSAI dan Guan Eng tidak selesa untuk berbincang dengan Hj.Hadi bagi pihak PAS? Ataukah Nik Aziz orang perantaraan kumpulan Erdogan dengan DSAI?


Hujah bahawa DSAI tidak begitu selesa dengan Hj.Hadi, ada logiknya. Dalam isu kerajaan 16 September, Hj.Hadi dilihat hanya 'selamba' saja. Tidak terlalu ghairah. Malah dalam ceramahnya di Kota Sarang Semut Ramadhan baru lalu secara jelas mengingatkan orang PAS supaya tidak terpesong dari landasan perjangan asas PAS yang meletakkan Islam di depan. Sekali imbas, seruan Presiden PAS itu biasa-biasa saja. Tetapi jika dilihat secara dalam, ia mempunyai mesej tersendiri. Mesej kepada orang PAS supaya bersitegas (bersikap tegas) dengan asas perjuangan. Tidak hanyut dengan fenomena yang menghayalkan!


Dalam erti kata lain bahawa, Hj.Hadi sudah dapat mengesan trend dan kecenderungan sekelompok orang PAS yang dilabelkan sebagai Kelompok Erdogan yang semakin terbuai dengan alunan lunak DSAI akan menumbangkan BN pada 16 September, dan dirinya sendiri diuar-uarkan jadi PM.


Justru kerana ketegasan Hj.Hadi sedemikian menyebabkan DSAI tidak selesa dengannya. Kalau nak ikutkan, DSAI akan lebih selesa dan mudah untuk berbincang dan 'mengarahkan' Husam (Naib Presiden), Kamarudin Jaafar (S/U Agung), Khalid Samad (Timb.Pesuruhjaya Selangor) dan beberapa orang lagi yang memang terkenal dengan kelantangan bersuara dan berpengaruh di kalangan orang muda dalam PAS. Mereka mungkin diperkirakan lebih mudah mengikut telunjuk DSAI.


Cuma mereka sendiri yang mungkin 'malu mata' dengan saf kepimpinan lain. Tak mau melangkah bendul.

Maka jalan penyelesaiannya adalah, ketengahkan Nik Aziz untuk berurusan dengan DSAI. Pemimpin PAS lain mungkin tak tergamak pula nak kritik orang tua tu! Sementelahan pula Nik Aziz adalah Mursyidul Am. Selamat!!


Persoalannya adalah, kenapa Nik Aziz sanggup jadi macam tu? Tidakkah orang yang lebih wajar dalam urusan rundingan parti dengan parti lain adalah Presiden?


Adakah kerana daya fikir MB Kelantan tu sudah kurang bernas? Kurang bernas kerana faktor lanjut usia? Cara berfikir sudah 'mentok' (sudah sampai tahap maksimal)? Atau sudah mengalami kecelaruan berfikir akibat dari dirasuk oleh daya fikir kumpulan Erdogan? Entahlah! Hanya Allah saja yang tahu!


Apa pun halnya, yang untung adalah DSAI dan kumpulan Erdogan.


NGUPINGTRUS : Ribut dalam cawan kopi PAS semakin kencang. Ombaknya semakin tinggi. Dalam siri yang lain, Penulis akan cuba ulas satu perjumpaan khas PAS yang akan diadakan di Langkawi dalam masa terdekat ini. Demikian juga pandangan Ustaz Ahmad Awang (salah seorang Naib Presiden PAS) tentang 'kemurungan' tarbiyah dalam PAS.

Thursday, October 9, 2008

PRASANGKA BURUK, GODAAN SYAITAN

Aneh juga ya! Lidah yang sentiasa menyebut nama Allah dan menjunjung perintah RasulNya, berjuang dalam organisasi yang disebut-sebut Wadah Islam, tapi rupa-rupanya mudah juga digoda oleh syaitan la'natulLah.

Maksud Penulis ialah, dengan memetik satu tulisan Sdr.Basiron Abdul Wahab, wartawan Harakah (lidah rasmi PAS) yang diterbitkan dalam media elektronik HarakahDaily.net berjudul "Felda: Peneroka kesal jadi mangsa sabotaj".

Tulisan tersebut memuatkan dakwaan dari seorang peneroka Felda Koyan 1, Pahang Sulaiman Hamzah 72 tahun yang kononnya permohonan mendapatkan pinjaman membaiki dan membina rumah telah disabotaj oleh pihak tertentu. Akibatnya permohonan kira-kira dua tahun yang lalu telah gagal. Menurut Basiron lagi, sabotaj tersebut telah dilakukan oleh pihak tertentu yang ada kaitan dengan parti politik. Dalam erti kata lain, UMNOlah tu!

Setelah membaca tulisan tersebut, Penulis lantas menghubungi YB Dato' Wan Rosdy Wan Ismail, Exco Kerajaan Pahang merangkap ADUN Jelai di mana kes yang didakwa termasuk dalam wilayah DUN Jelai.

Menurut Wan Rosdy, dakwaan tersebut adalah prasangka buruk individu terlibat. "UMNO tak terlibat dengan permohonan tersebut kerana dia terus dihantar kepada pihak pengurusan Felda", katanya.

"Saya selaku Wakil Rakyat dan pimpinan UMNO di kawasan ini tidak mengamalkan sikap pilih kasih seperti yang didakwa. Buktinya, permohonan biasiswa atau pinjaman pendidikan dari Yayasan Pahang saya sokong untuk kelulusannya tanpa mengira pemohon berkenaan dari kelompok mana. Terpulang pihak Yayasan untuk menimbangkan sama ada layak atau tidak. Ada anak orang UMNO yang tak dapat. Ada juga anak orang PAS yang tak dapat. Janganlah kalau anak orang PAS tak dapat, tuduh pula saya dan UMNO melakukan sabotaj. Mungkin terdapat kesilapan di mana-mana di pihak pengurusan Felda", jelas Wan Rosdy panjang lebar.

"Demikian juga dengan permohonan-permohonan perkara lain, "tambahnya lagi.

Dalam isu permohonan pinjaman rumah ini , Penulis difahamkan, Setiausaha UMNO Bahagian Cameron Highlands, yang juga anak peneroka Felda Koyan, terpaksa menunggu lebih kurang dua tahun untuk mendapatkannya. Tohmahan bahawa kegagalan Suliman Hamzah dan 'ramai lagi rakan ahli PAS' yang menerima nasib sama, hanyalah prasangka buruk dan jahat yang dipengaruhi oleh godaan syaitan semata-mata.

Memanglah syaitan memiliki keistimewaan untuk menggoda anak Adam a.s tanpa mengira status dan darjat. Semakin basah lidah bercakap perkara agama, semakin kuat godaannya, tanpa disedari!

Terhijab pandangan mata dan pendengaran telinga terhadap kebaikan orang lain. Yang sentiasa bermain di sudut 'dhomir' adalah, orang yang tidak sewarna kita semuanya jahat dan busuk hati! Tanpa disedari, hati sendirilah sebenarnya yang busuk.

Sedarilah, segala apa yang dicakap dan ditulis akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Azzawajalla di akhirat nanti.

NGUPINGTRUS : Duhai Allah, jauhilah diri ini dari godaan syaitan yang sentiasa memiliki prasangka buruk keterlaluan kepada orang lain.

Wednesday, October 8, 2008

HAJI HADI PUN TERTIDUR


Adalah 'jahat' bagi mereka yang sering menyiarkan gambar Pak Lah 'tertidur' dalam satu majlis dengan tujuan untuk dijadikan bahan momokan. Sebagai manusia biasa, Pak Lah (Presiden UMNO) juga ada masanya mungkin terlalu letih dan terlalu mengantuk, justru itu beliau 'tertidur'.
Demikian juga dengan Haji Hadi (Presiden PAS). Beliau sebagai manusia biasa sepertimana Pak Lah, ada masanya 'tertidur' juga dalam majlis.
Jadi, Penulis berharap semoga isu Pak Lah 'tertidur' tidak lagi dijadikan bahan cemohan. Sehingga kini, Penulis tidak nampak dan tidak dengar puak-puak UMNO atau BN yang menggunakan gambar Haji Hadi 'tertidur' sebagai bahan momokan. Mungkin kerana ada rasa hormat kepada beliau sebagai 'orang tua' dan juga pemimpin masyarakat.
Penulis ada lagi simpanan gambar-gambar pemimpin politik yang tertidur dalam majlis. Namun Penulis tidak berhasrat untuk menggunakannya sebagai bahan 'celaan' dan 'ejekan' kepada pemimpin tersebut.
NGUPINGTRUS : Retilah sikit menghormati orang lain. Jangan dok kira dalam kepala otak untuk menghina orang saja!